Friday 26 August 2016

Kerana cinta, aku hidup dilahirkan semula dari tanah yang mati ini. Bersemadi pula dalam alam yang tiada hentinya puji-pujian untuk sang romantika. Puitis kasih menghiasi alam ini, warna warni indah ini mewarnai pandangan ini. Betapa aku tercengang duduk bersimpuh pada taman-taman ini kerana tiada lagi aku mampu menahan rindu yang menenggelam diriku ini. Rasa ini begitu berat, tetapi semerbak harum kasturi membuka lembaran mekar hati yang ditumbuni debungaan. Wahai kasih! Ku sambut tanganmu dan di sinilah kisah kita bermula - kata nuraniku pada sanubariku.

Fahamilah akannya bahawa kata-kata ini cumalah kulit yang menutupi isi yang enak. Jika kau dapat sentuhi hatiku, kelak kau akan rebah di sisiku. Air mata ini mampu mengubati jiwa yang duka lara dihimpit sengsara. Api ini terpadam dari membakar, namun debu-debu abu ini berterbangan bersama angin yang bersepoi akan bahasanya - kata aku pada diriku.

Dengarkanlah hai kekasih! Dendangan dingin malam ini bagaikan selamanya. Hilang detik waktu dalam cinta kita bersama! Inilah pancaran sebuah kegemirlapan dunia yang berseri perhiasan indah - bisikku pada suaraku.

No comments:

Post a Comment