Tuesday 30 August 2016

Kembali asas mengenal diri sebenar diri adalah jalan terbaik untuk pulang ke pangkal jalan. Jika tidak, berjalan ke alam kerohanian akan menambahkan jauh sesatnya sehingga hilang pudar rahsia yang ingin dibuka. Dan jika silap pengenalannya, maka boleh jadi kekacauan dalam perjalanan sehingga terumbang-ambing yang membawamu hanyut dalam tenggelam lautan. Sulit dan bingung bukanlah penghalang untuk mencapai matlamat yang sejati, namun kerana tekad dalam tawakkal dan sabar merintangi takdir yang berjalan akan membuka sayapmu untuk terbang ke hadrat ilahi. Perlahan, lambat, cepat, mudah, sukar atau sekejap bukan ukuran..... bergantung pada tuah masing-masing, tetapi itu semata-mata karunia Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang - kata hatiku pada jiwaku.

:::Moga manfaat dapat keberkahan, dalam berkah tertumpahnya rahmat yang banyak, semoga kita dipertemukan kebenaran sejati::::

Sudah sampai masanya untuk tinggalkan perbahasan yang berpanjangan yang tiada keberhasilannya. Dalam dunia yang dilupakan ini, bukanlah mahu terus hanyut dalam permainan yang terus membawa kita jauh pada realiti. Maka, kesedaran seorang hamba yang sejati itulah perlu diwujudkan supaya tampak nyata kebenaran yang terserlah dalam sembunyi dan itulah pencarian yang hakiki mudah-mudahan Tuhan yang ingin kita sandarkan segalanya mendapat tempat di sisi-Nya. Kerana kita semua mahu bahagia, maka bersamalah kita dalam tali-Nya yang tiada cerai-berai........ kerana dalam perselisihan, terselitnya suatu kebenaran!

:::Kalau rezekinya bukan hari ini, maka esoklah gamaknya.... tetapi ku terus menanti dan menanti, walaupun nafas ku semakin sesak untuk menyaksikan waktunya::::

Biasalah tu.. dalam bab salah menyalah ni masing2 mahu mendabik dada mereka berlepas diri dari golongan tu. Tetapi yang khuatirnya kalau cermin yang harapnya dapat membiaskan kepada orang itu terpantul semula pada yang berkata-kata. Memang sedap dapat tundukkan orang supaya jatuh rebah di hadapan kita, namun yang mengalah belum tentu kalah. Satu lubang yang kecil mampu menenggelamkan kapal yang besar, maka berhati-hatilah dengan siapa kamu tudingkan jari!

::::Kalau gajah boleh tumbang dengan bisa ular, inikan pula mesin rumput yang mampu menggondolkan hutan!:::::

Merasa senang rasa kelu lidah dan masa susah pun terkatup lidah. Entah mahu apa lagi ingin diperkatakan. Jadinya, aku terus diam dan mendiam... jika banyak bicara pun tidaklah mendatangkan keberhasilannya, melainkan omongan kosong. Bergolak hati mencari erti kesedaran yang sebenar.... ingin melepaskan permainan perasaan yang membawaku terawangan, namun apakan daya, jiwa sentimental terus berkocak... pecah hati dalam tangisan yang disembunyikan. Air mata yang entah kekeringan membasahi hatiku yang meronta mengharapkan pembelaan. Entahlah! Entahlah! Entahlah! Biarkan sahaja.... dalam sebuah pertanyaan yang membawa penantian yang lama. - Kata hatiku pada jiwaku.

::::Kalau sudah tenggelam dalam perasaan, eloknya ikhtiar supaya tidak lemas di dalamnya, namun apakan daya... ku tak berdaya::::

Dalam terang masih jua ada tersembunyi dan pada terang jua boleh membawa jauh sesat pada orang. Kerana rahsia itu suatu khazanah yang tersembunyi, namun berharga mereka menemukannya. Dalam pendakwaan masing-masing sedang mendabik dada mereka benar dan menyalahkan sesiapa yang disukai, namun dalam perselisihan itulah adanya pencarian sebuah kebenaran. Dalam kekaburan dan kesamaran sebuah kenyataan, akhirnya kau temui kebenarannya setelah sekian lama engkau menempuh lautan derita untuk memperolehnya. Maka, simpanlah rahsia itu.... jangan harungkan susu belanga kepada nila setitik, kerana itulah yang akan menghancurkan kenikmatan sebenarmu.

:::Bahagia bukanlah pada yang sentiasa merasa kegembiraan, namun kita jua mencari kesedaran sebenar seorang hamba yang sejati... semoga dipertemukan oleh kita akannya::::

Jika ditanya tentang pengorbanan, ku katakan berikan aku petunjuk tentangnya (kerana aku tidak memahaminya). Dalam dilemma melayani hati yang sedang berkecamuk dalam sesat mencari kebenaran yang sejati, aku sesekali tidak faham sebuah tangisan yang lahir dari kepedihan bergelut di dalamnya. Kerana aku mencoba melepaskan permainan perasaan yang terus membelenggu aku berpanjangan. Hari demi hari... aku duduk di takuk lama, entah bila lagi dapat keluar dari penjara ini? Merantau sana sini, rupanya kebenaran sudah menanti pada dalam diri. Bintang bersinar dengan cahaya yang benderang.... maka berikan aku tanda, kerana aku tidak memahaminya!

::::Hujan renyai membasahi bumi... yang terkorban menjadi perwira, namun siapalah tahu di sebalik misteri sebuah bayangan yang disembunyikan oleh azazil?:::

Betapa sukarnya untuk melepaskan kehidupan yang lalu untuk menghirup nafas yang baru hari ini. Sudahnya sahabat lama yang menjadi teman sepengajian dan seperjuangan, terpaksa mencari jalan untuk berjauhan semata-mata untuk menempuh apa yang aku lalui sekarang ini. Hanya tersenyum dari jauh melihat kehadiran dan kebahagiaan mereka. Kerana haluanku sekarang berbeza, maka apa yang dahulunya aku adalah bukan yang seperti ini. Minta maaf sahabat yang lama, bukanlah mahu melayani jiwa sentimental, tetapi harapnya kita tahu di mana takdir yang kita berpijak kerana di situlah diri kita berdiri. - kata hatiku pada jiwaku.

:::Sunyi malam merenung erti pengorbanan... eermm untuk apa kehidupan ini sebenarnya?::::

Kerana lebih bermain dengan fikiran, maka ilusi khayalan akan melakar pandangannya untuk mengatakan sesuatu yang ia belum alami dan rasai, lebih-lebih lagi yang ia tidak ketahui. Kalau bukan kerana persangkaan yang menebal, sudah tentu lebih menjulang fantasinya menembusi era batasannya sehingga musnah sebuah realiti. Namun, keterbatasannya yang mendapat penasihat iblis menyebabkan hilangnya nilai sebuah permata dari hikmah bijaksana dan kesedaran sebenar seorang hamba yang sejati. Sebab itulah kita menanti cahaya petunjuk dengan tawakkal dan mencari jalan dengan kesabaran untuk sampai fahamnya erti pengorbanan yang dimujahadahkan dalam diri dengan penghayatan dari sebuah kesedaran yang sebenar-benarnya.

::::Kadang hendaknya mahu menangis kerana tidak dapat fahami mengapa diberikan kehidupan, tetapi suatu hari kita akan memahaminya dengan sebenar-benarnya..... semoga berbahagia dalam kefahaman masing-masing::::

Sekali lagi, jika ditanyakan tentang pengorbanan... entahlah, aku pun tak tahu. Aku pun cuba memahaminya baik dengan membaca, mendengarkan, menyaksikan, merasakan dan mengalaminya, namun apa yang aku temui tidak menemukan makna pengorbanan yang memuaskan jiwaku. Tak apa, aku menanti sahajalah jawapan itu... tawakkal dan menanti dalam penantian yang entah berapa lamanya. Dan jikalau aku tekun dan bersabar dalam mencarinya, entah berapa jauh jarak perjalanannya. Entahlah apa lagi untuk diperkatakan melainkan berbuat apa yang patut. Tetapi harapnya apa yang mendatang itu sebuah keredhaan dan manfaat untuk aku memahaminya - kata hatiku pada jiwaku.

::::Dalam penjara ini, aku kesunyian berseorangan...... tetapi lagu yang sudah tersemat di dada sudah memadai untuk mengubat duka yang lara::::

Hati tenang dalam kelembutan... kerana rindu yang terpancar, Kau adalah ingatanku setiap masa. Dan aku mencari setiap penjuru semata-mata menemukan diri-Mu yang terus melimpahkan rahmat. Namun, tidaklah ku temui melainkan kekosongan semata-mata. Lalu ku tilik dalam diriku dalam hembusan nafasku setiap saat, dan aku menemukan diriku yang sebenar yang mudah-mudahan tawakkal ini dapat menyampaikan aku pada-Mu. Dan apabila masanya yang Kau izinkan, jodoh pertemuan kita akan disambut dengan kegembiraan. Biarpun mengambil masa yang lama untukku, namun aku bersabar menantinya. Walaupun saat siang yang aku terdesak dan Kau pula datang di malam hari yang lapang, aku tidak peduli akan sengsara ini. Kerana rinduku ini sudah cukup memberikan kedamaian yang berpanjangan ini. - kata hatiku pada jiwaku.

:::Orang kata alangkah indah jika dicintai, tetapi aku lebih suka mencintai... semoga jodohnya dipertemukan::::

Tidak sia-sia dijadikan kepelbagaian bakat kerana itulah yang akan memberikan inspirasi sesiapa yang mengambil pelajaran. Manusia bergerak di atas takdir berbeza dan mereka kadang berbalah terhadap apa yang mereka lalui. Maka sebab itulah kita mencuba memahami dalam toleransi. Musuh yang tidak berwajah itu sering sahaja mahu memecahkan kesatuan kita atas nama perbezaan. Dalam kepuakan tersisipnya kepalsuan dalam persamaan. Ideologi yang mereka tebarkan meracuni pemikiran kita menjadikan kita menjadi bahan permainan mereka untuk merencanakan agendanya. Dalam kita menempuh derita, rupanya mereka berhibur sambil menghamburkan provokosi supaya kita terpisah dalam keasingan! - Kata hatiku pada jiwaku.
https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/623034511080479
Terus menerus dalam perbahasan yang berpanjangan sememangnya melegamkan hati. Sebab itulah kadang diam lebih baik daripada berkata walaupun perkara kebaikan. Namun, lidah para 'arifin merupakan hikmah dari sanubari hati yang bercahaya. Cukuplah sedikit bicaranya sudah membuka rahsia seluas lautan tanpa perlu lagi menggali sedalam-dalamnya untuk menemukan isi air terbenam bawah tanah. Malang sekalikalau ucapan mereka dinaqalkan semata-mata dijadikan subjek untuk diperbahaskan dan diperdebatkan tanpa mahu memahami apa yang sebenar-benar ia fahami. Sedang kita sibuk bergelut di pintu gerbang yang entah tidak diketahui jalan penghujungnya, mereka (para 'arifin) sudah sampai ke puncak destinasinya sambil tersenyum melayani karenah kita yang terlebih ghairah dan bersikap kebudak-budakan - kata hatiku pada jiwaku.

::::Walau apa jua jalan kita tempuhi, itu bergantung pada pengalaman dan kefahaman masing-masing, kepelbagain diwujudkan supaya kita saling mengenali dan mengambil manfaatnya, maka semoga kita semua bahagia dalam bahtera masing-masing::::

Sunyi sepi dalam bayangan malam... sedang sahabat berteriak sorakan dengan permainan yang menghiburkan mereka, aku pula memandang jendela di luar... memikirkan tentang dirimu..entah apa lah yang kau fikirkan sekarang? Oh! Ku seolah-olah dihanyutkan perasaan yang terus membuai.... mungkin sahaja jiwa sentimental ini menarik untuk terus mendekatimu lalu ku cuba fahami dan selami, tentang apa yang telah aku peroleh... untuk hadiah dan kongsikan bersama mu supaya kita menikmatinya bersama. Fahamilah... dengarkanlah bisikan ku ini, kau mendengarnya walaupun ia sembunyi dalam keheningan. Hayatilah nya! ku tujukan khas untukmu sahaja!


Bulan bersinar menyinari sinaran,
nyata sebuah lukisan yang terlakar,
dalam gubahan sebuah hati
yang diisikan sebuah cinta,
dalam mahligai inilah ku bersemayam,
pada hembusan nafasmu yang tenang,
menikmati keindahan romantika,
yang bersembunyi dalam maya,
fatamorgana gemerlap menghiasi pandangan,
kerana kau dan aku saling berdekatan,
dalam kasih yang menyatukan...
Ambillah masa perlahan, tenang dan tertib untuk memahaminya, usah gopoh dan tergesa-gesa untuk menghadamnya. Perjalanan ini panjang, entah pantas atau lambat, entah sukar atau mudah, entah sampai atau tidak... itu adalah semata karunia Tuhanmu. Lautan yang luas engkau tak mampu renangi untuk diteroka kan seluruhnya, namun cukuplah kau punya sebuah kunci untuk membuka khazanah yang ada pada lautan itu. Apa pun, pengakhirannya adalah beramal soleh dan tidak menyekutukan Tuhan walaupun apa yang ada itu sedikit, kerana sedikit itu sudah mencukupi jika dimanfaatkan daripada banyak yang disia-siakan. Pohon sakura yang berdiri megah dengan bungaan yang mekar bermula dengan benih yang kecil dan hina.

::::Kerana itulah kita hidup dalam kepelbagaian supaya kita saling mengenali. Tak kenal maka tak cinta. Kerana anjuran Rasul untuk saling mencintai::::

Khuatir kerana merasa banyak benda yang bakal terlepas, padahal rezeki untuk tiap-tiap orang telah ditetapkan kecukupannya. Sehinggakan jika kita menyedarinya betapa tidak layak untuk kita meminta lagi kerana semua yang diberikan sudah pun dipenuhi pada setiap nafas yang dihembuskan. Maka, tidak layak seseorang itu menyamakan setiap orang lain dengan yang lain ataupun dengan dirinya sendiri keranakepelbagaian yang Tuhan aturkan adalah kerana rahmat-Nya yang mulia. Sewajarnya seorang hamba itu menyedari tentang apa yang ia sebenar-benar tentang sebuah kesedaran sebenar terhadap ia diadakan dan diteruskan kehidupan ini supaya dengannya diri itu mendapat kemuliaan di sisi Tuhannya yang mnejadi rahsia sebuah kebahagiaan.

::::Jauh tidak bertepi, dekat tidak kesampaian.... namun jika dunia ini berharga di sisi Allah, nescaya tiada diberikan seteguk air kepada orang kafir::::

Bermulalah satu perjalanan,
menemukan pencarian yang lama,
menantikan sebuah kebenaran,
indah terhias dalam nyata,
hilang fatamorgana dalam khayalan,
kaki ku melangkah dengan nafas yang baru,
menempuh kehidupan dengan kesedaran,
seorang hamba yang mengharapkan kasih
dari Tuhan yang sentiasa mengalirkan cinta,
dengan rahmat-Nya yang agung,
aku menyambut tangan-Nya,
menuju ke mahligai indah,
sebuah makrifat yang teragung,
kisah abadi tersemai dalam realiti,
selamat tinggal diriku yang lalu.......

Inilah dia kebenaran....
tentang pencarian yang direnungi,
gali dan menggali di perantauan,
tersemat dalam diri yang tersembunyi,
terang cahaya membiaskan rupanya,
sehingga hilang jejak yang terhampar,
temui padanya dalam sengsara,
kerana diri terus bermain...
dalam sebuah ilusi yang tercipta,
dari lakaran sebuah khayalan,
pecah angan-angan ini dalam percikan,
bercaya terang kebenaran sejati,
hilang sudah mimpi yang membuai,
kini kesedaran menawan diri,
hiduplah ia dalam ketenangan,
syahdu di jiwa yang berkelocak,
menerima rahmat Tuhan yang agung....

:::Semoga menemukan jalan para 'arifin::::

Mengapa tangisan hanya dilihat pada mata?... sedangkan dari dalam pandangan matanya terkelocaknya jiwa yang berkecamuk namun ia sedaya upaya menyembunyikan... dalam sembunyi ia misteri, dalam mimpi ia berilusi, dalam realiti ia dizahiri tetapi terang cahaya.. rahsia terselindung, itulah romantika yang syahdu. Alangkah indahnya kesedaran seorang insan yang memahami tentang dirinya.

:::Kerana itulah apa yang dikatakan lamunan::::

Cerita yang berfikir-fikiran ini sememangnya tidak mampu disampaikan fahamnya. Walaupun ibarat itu indah dalam bahasanya, namun apakan daya bagaimana ia mampu membuka sesuatu yang tidak punya bahasa. Hitam dan putih itu berlawanan dan saling merebutkan haknya, namun pabila ia mencantum jadilah ia kelabu yang mengelabui pandangan. Dalam kesamaran tersembunyinya rahsia yang tertutup tersimpan rapi. Sesak nafas karena mencuba menempuhnya namun berbaloi hasilnya dengan pengorbanannya. Cukuplah ia menjadi sesuatu nilai untuk kita bawakan dalam setiap hembusan nafas dalam menikmati kebahagiaan abadi.

::::Tiada ada apa-apa yang patut diperkatakan kerana ia bukanlah sesuatu kata-kata... maka berhiburlah ia dalam kesedaran yang malamnya hilang dari pandangan siangnya:::

Entah bagaimana untuk dilepaskan dosa ini. Sentiasa sahaja merasa tidak selamat bagaikan air yang tenang tersembunyinya buaya. Serba salah untuk merenanginya di sana. Namun, sungai ini jualah yang menyucikan daki yang terlekat pada badan ini. Maka, keseronokan bermandi-manda pada sungai ini biarlah bijaksana untuk bermain-main di dalamnya agar yang berbahaya tersembunyi itu membaham kita. Perjalanan kerohanian ada sahaja iblis datang untuk mengelabukan pandangan kita. Entah2 tak sedar sudah disesatkan dalam alam yang tidak diketahui di mana sesatnya. Pulang2 mencari pangkal jalan rupanya sudah hanyut jauh ke laut. Penat mendayungnya untuk kembali ke tepian, namun setimpal jualah hasil nya daripada duduk lama di lautan akhirnya ditenggelamkan oleh ombak yang besar. Sebab itu, taubat jua yang membawa kesedaran sebenar tentang hamba itu! - kata hatiku pada jiwaku.

:::Kat mana2 pun tak selamat, namun semua yang mendatang itu ketetapan Tuhan jua, semua yang terjadi biarkan terjadi.. maka hadapilah dengan senyuman::: 

Menangis sebak kerana melihat diri yang serba kekurangan. Ingin meniti di jalan para 'arifin namun apakan daya kita dengannya jika mahu membuat perbandingan. Maka, tunduk malu lah kita kerana tidak mampu mencapai apa yang mereka lalui. Tetapi kesedaran untuk terus cari dan mencari sebuah kebenaran yang sejati itu membawa kita tekad untuk tekun menghadapi gelora lautan semata-mata untuk menemukan khazanah yang tersembunyi di balik lautan. Air mata, peluh dan darah yang ditumpahkan, serta diri yang sengsara... musnah dalam kegempitaan, akhirnya mengangkat tangan menyatakan syukur pada Tuhan kerana selama ini apa yang dikorbankan mendapat nikmat yang besar ini. Dalam tawakkal yang kuat dan sabar yang teguh, membawa makrifatullah yang teragung... maka semoga dapat bersama tempat para 'arifin.

::::Mahu atau tidak... kekurangan akan diakui dan ego terpaksa dilepaskan kerana kehinaan layak tertuju pada kita. Kerana kesenangan dalam kesusahan, maka apa yang terjadi biarkan terjadi.... kita hadapinya dengan senyuman:::

serba salah pulak nak memperlakukan kehidupan seharian.... ada jee masa terpampang kekurangan dan kesilapan kita... tak de sapa2 pun mau benda tu terjadi, tetapi bila sudah dibongkari orang dan disedari oleh sendiri. Terima je lahh... asyik2 kehinaan tempias kat kita je.. bertempek kat muka kita hari2... bagaikan hujan ludah membasahi kita setiap masa. Oh sudah! buat je lah apa yang patut... kang cuba yang terbaik dikata lagak perfect plak.. kalau buat cara biasa2 dikata tak ada kesedaran untuk berubah.. kalau tak buat pape, dikata pemalas pula!.. itulah pandangan orang sentiasa... hhmmmmm 

Budak-budak sememangnya aktif dan semangat. Ceria dan ghairah sentiasa sahaja mewarnai kehidupan mereka. Mereka lebih menyukai sesuatu yang baru, sebab itulah mereka banyak bertanya dan bersuka gembira apabila mendapat apa yang baru baginya. Jika mereka tidak memperolehnya, bersungguh-sungguh ia mencarinya walaupun terpaksa melepaskan egonya dengan tangisan yang menderaukan keheningan. Dan mereka jua suka mendapat perhatian orang dan berharap sentiasa orang memahami perasaannya supaya apa yang ia kongsikan dapat dinikmati bersama.

Jadi, maafkan saya kerana bersikap kebudak-budakan. Ghairah tak tentu pasal sampai terlebih mentebarkan sesuatu yang tidak patut dibawa bersama dan menyebabkan kemarahan orang dewasa. Maafkan saya yaa.

"...ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami dan bantulah kami terhadap orang-orang kafir" (Surah Ali Imran ayat 147)

Jangan kamu bertanya jika kamu tidak mengharapkan jawapannya... dan jangan mengambil jawapannya jika itu bukan bahagian untukmu.

Jika waktunya belum tiba, maka menantilah dengan sabar sehingga sampai waktunya. Kita marah pada lampu isyarat yang berwarna merah untuk cepat2 berwarna hijau, tetapi ia langsung tidak mengendahkannya kerana ia sedang menjalankan tugasnya mengikut ketetapan yang ditentukan, walau hina dimarahi orang. Jangan gopoh, nanti pabila hijau nanti, maka pecutlah sesuka hatimu. Khuatir tertinggal sesuatu dan terlepas banyak perkara, tetapi pernahkah kita mempersoalkan bahawa apa kurniakan kepada kita selama ini tidak pernah cukup? walau untuk sesaat? - kata hatiku pada jiwaku.

:::Syukur untuk apa yang ada walaupun sedikit, daripada banyak sehingga lupa untuk berserah pada Tuhan. Kerana itulah kesabaran perlu teguh:::

Ada orang nak belajar sebab nak syok bercerita... maka sebab itulah lihat semula apa niatnya.... adakah sebenar-benar seperti yang dilafazkan dan dihebahkan itu?

Rezeki Allah jua yang memberi faham, namun harapnya pemberian itu bukanlah sebuah istidraj. Mengambil masa yang agak lama untuk memahaminya. Setelah bersabar menantikan kehadirannya, menanggung beban yang berat dan menyelam ke dasar lautan api, akhirnya temukan jua kebenaran yang dicari. Apa pun, haq tetap kepunyaan-Nya juga, maka diserahkan kembali walaupun sedikit yang diperoleh. Sehingga tiada lagi apa untuk diserahkan lagi! Barulah ia menyedari apa yang dikorbankan itu begitu sedikit sekali nilainya jika dibentang di hadapan rahmat Tuhan yang agung! Perlahan-lahan.... dengan ketenangan yang abadi.... menghiruplah ia dengan nafas yang penuh berkah dan kecintaan. Bersemayamlah ia dalam kasih abadi dalam bayu rahmat-Nya.

:::Harapnya apa yang kita perkatakan bukanlah hanya seumpama tin kosong, tetapi ia sebenar-benar nyata daripada sanubari hati yang jujur lagi tasdiq:::

Mencari kesedaran yang hilang.... mengenangkan semula saat menggapai sebuah keindahan abadi yang terselaputnya kebenaran sejati. Dan sekarang menagih kembali dengan rindu yang telah pudarnya sebuah ilusi angan-angan. Harapan yang datang dengan sebenar-benar pengharapan. Menantikan dengan sabar pabila tiba sampai waktunya. Duduk di sini sambil merenung apa yang di luar jendela dan menghirup udara malam semoga dapat mengubati gelocak jiwa yang bergetaran. Mabuk melayani perasaan kerana tidak dapat lagi menahan lagi keindahan. Dalam sebak tangisan air mata, aku gembira dalam sebuah ingatan yang tulus dari cinta semerbak haruman bunga.

:::Berjiwa sentimental sambil memetikkan gitar menyanyikan lagu rindu buat sang kekasih yang sentiasa mendapat sentuhan cinta yang berbalas:::

Perlahan-lahan... nikmatinya dengan tenang. Angin yang kencang mampu memusnahkan harta dan mengorbankan nyawa. Makan yang gelojoh menyebabkan tercekik dan tersedak. Lampu isyarat yang merah jangan dimarahi untuk cepat2 berwarna hijau. Sabarlah dalam meniti sebuah kehidupan ini. Panjang atau pendek umurnya yang penting dapat dimanfaatkan. Dengki dan cemburu lihat orang punya kelebihan yang lebih dari kita, namun tidak cukupkah apa yang telah dikurniakan pada diri? Terburu-buru itu sifat manusia, namun demi masa, telah ramai yang kerugian. Hiduplah dengan jiwa yang tenang. Kedamaian itu pada kebahagiaan hakiki... dalam naungan mentari rahmat Tuhan.

:::Kadang mereka yang berpesan itu bukanlah mahu menampilkan orang yang mulia dan mereka yang dipesan itu menunjukkan kehinaannya. Pandanglah dengan kebaikan kerana semua ketetapan Tuhan itu baik-baik sahaja:::

Sunday 28 August 2016

Bermadah puisi untuk menggambarkan kesenian sebuah kehebatan, namun bahasa tetap bahasa. Manakan mahunya menyampaikan pada yang tiada bahasa. Digali melalui rasa dari sanubari hati yang hidup. Jiwa ini sememangnya mengharapkan keindahan sebuah olahan bingkisan perasaan yang mewarnai seribu ketenangan. Lepaskanlah ia daripada syarahan dan pendebatan, lalu tenggelam ia dalam bayu rasa yang tiada bertepi. Sesaat bagaikan tiada penghujung, maka timbulllah ia ke permukaan dengan lambungan sorakan kegembiraan.

::::Apakan mahu dicarikan melainkan sebuah kesedaran? lupuskanlah yang memerangkap kamu pada teks-teks dan masuklah dalam kefahaman sebuah dimensi rohani yang halus::::

Terawang-awang dalam cinta, ke mana ia perlu mencarikan memori yang telah hilang? Ketikamana dahulu ia menikmati sebuah keindahan abadi dari belaian kasih dari sang pecinta yang sejati. Dalam kemabukan yang berpijak di atas muka bumi ini, dirinya bagai terbang merentasi alam yang luas kerana rindu yang membara. Oh! Perasaan ini begitu mendalam, ku sentiasa merasakan kehampirannya, namun ini bukanlah suatu permainan hidup yang mencari apa yang tersembunyi. Tetapi sebuah kesedaran yang belum dizahirkan. Pembukaan ini akan memusnahkan diriku, namun demi kekasih yang ku cintai.... pengorbanan ini cumalah sedikit daripada rinduku yang bergelojak.

:::Perlahan-lahan, aku bersabar menantikan waktu detiknya pintu itu terbuka. Dan terus berjuang pada musuh yang menyelimuti diriku ini:::

Dengki kerana orang lain mendapat bahagian sedangkan diri sendiri telah terpenuhi keperluannya. Patutkah orang kaya mendengki pemberian yang disalurkan pada yang miskin? Kekayaan apakah yang patut dipanggil kaya jika apa yang telah disempurnakan masih lagi terbeluaknya ketamakan untuk memperoleh lebih lagi? Kasihan sang miskin itu terpaksa bersabar karenah orang kaya yang tergugat kedaulatannya. Bukankah dicukupkan rezeki sang burung yang berpagi-pagi kelaparan dan petangnya pulang dengan kenyang? - kata hatiku pada jiwaku.

:::Jiwa bersih dengan qanaah pastinya malu untuk meminta lagi, namun apakan daya kekurangan sentiasa terpampang sehingga faqir memakai pada diri kita::::

Melayani mimpi yang panjang, merasakan tiada penghujungnya. Sedar dan jaga menjadi mimpi dalam mimpi. Rasa tidak terdaya untuk keluar dari alam yang menyelimuti diriku ini. Entah gelap atau terang, tidak ada lagi yang boleh diperkatakan. Seolah-olah aku telah menjadi boneka sebenar dalam pentas dunia tersebut. Seksa dan dibaham tidak lagi peduli, tetapi aku tetap diwatakkan tanpa kerelaanku. Mengapa dan mengapa jadi begini? Oh! Janganlah ini menjadi kecelakaan buatku! - kata hatiku pada jiwaku.

::::Bagaimana untuk dikatakan seseorang itu tidur tetapi kesedaran yang ada itu dalam dimensi berlainan? Perjalanan hidup bagaikan tiada kehabisan, maka hidup itu tiadalah matinya, namun yang dikatakan mati itu bagaimana yang dimaksudkan itu?:::

Jikalau Yahudi pun mengambil masa untuk membina semula kejayaan pada hari ini dengan pengorbanan jutaan penganutnya, mengapa tidak kejatuhan Islam hari ini akan berbangkit pada masa akan datang? Tentu sahaja musuh tidak henti-henti mempropagandakan kegagalan umat Islam hari ini dengan keburukan yang ada, padahal sejarah gelap Eropah cuba dihilangkan kesannya perlahan-lahan. Bukannya kebenaran itusudah hilang, tetapi apabila datangnya haq itu maka lenyaplah bathil itu. Inilah janji... jangan gopoh untuk cepat2 terlaksana kerana perjalanan seribu batu bermula dengan satu batu - kata hatiku pada jiwaku.

:::Kerana itulah Nabi Muhammad SAW diutuskan pada akhir zaman kerana sebuah cerita itu hampir menanti pengakhirannya!:::

Bagaikan sebuah kelahiran semula... setelah menempuh mimpi yang panjang dirasakan tiada penghujung, dengan izin Tuhan, ku melihat lagi pandangan sebuah jaga dan sedar. Pada tempat yang tiada boleh diperkatakan lagi, kini masuk pula tempat yang tidak boleh diperkatakan juga. Cahaya terang benderang bersinar memenuhi alam ini. Cerahnya sehingga pecah mataku memandangnya. Namun, kehangatan cahaya ini mendamaikan nafas dan jiwaku. Aku merasakan hidup yang baru setelah mati terdampar di bumi yang kekeringan. Sekarang, melangkahlah aku mencari kekasih yang sejati. Oh Tuhan yang tidak pernah berhenti mengurniakan rahmat, dampingilah bersamaku dengan kasih yang berkekalan selamanya - kata hatiku pada jiwaku.

:::Kerana itulah sang bayi menangisi menempuh realiti yang sebenar. Perjalanan yang mungkin sahaja infiniti ini bagaikan berputar-putar dalam gelombang yang tiada penghujung. Tetapi belaian ibu dan kasih ayah, sang anak kecil itu bahagia dalam dakapan mereka::::

Kalah dan menang itu adat biasa. Namun, janji haq itu akan melenyapkan batil tetap berkeadaan di situ. Bilamana orang gopoh mahukan kemenangan itu dicepat-cepatkan, akhirnya hasil yang diterima cumalah emas yang tiada ketulenan. Siapa tahu keruntuhan hari ini bakal membakar persepsi buruk orang akan datang seperti mana hari ini? Barulah tahu betapa serba salah sangkaan dan andaiannya yang direka-reka dahulu untuk generasi akan datang. Tertipulah ia pada sebuah lukisan yang dilukiskan atas dasar keilusian. Mahu atau tidak, generasi akan datang yang memperbodohkan perjuangan itu akan menerima malu atas apa generasi terdahulu sangkakan - kata hatiku pada jiwaku.

:::Mengekalkan kejuaraan tentunya payah, apabila kemenangan yang berturut-turut mendapat kekalahan yang pertama, bermulalah gelombang persepsi buruk orang. Pelajaran buruk bagi yang tiada merenung, maka itulah pemusnah sangkaan yang meraba-raba dalam gelap:::

Perkataan benar, namun maksudnya bathil. Pabila syuhud tidak diletakkan pada tempat yang betul, ia akan berlaku zalim tanpa sedar. Memanglah sudah rasa hebat berjaya mendiamkan lawan dan menusuk kata-kata maut pada teman sehingga tiada lagi bantahan, namun khuatir sahaja kebenaran yang tersembunyi itu masih belum kita sedari sehingga jika ia tampak zahirnya, maka andaian yang difikir-fikirkan itu pasti akan lenyap dibakar kepanasannya. Sebab itulah syaitan meraung kesakitan pabila menerima tempikan nyala kehangatannya sebab bathil sememangnya lenyap dalam haq. Mengalah bukan ertinya telah kalah. Pelanduk yang tangkas boleh sahaja tumbang dengan jerat yang berdiam diri. Maka berjaga-jagalah! - kata hatiku pada jiwaku.

:::Sudah penat melayani sindiran orang ke atas kefahaman kita, tetapi teguh keyakinan di hati itulah yang mahu dibinakan kerana kepahitan itulah penawar buat penyakit::::

Mendengki kelebihan orang lain, tetapi apabila ditanyai tentang hasil apa yang diusahakan, berkata ia tidak punya apa-apa, namun kenyataannya ia melunaskan kedengkian yang ia tercabarnya kedaulatan ke atasnya. Pembohong ini punya olang! Sikit tak bersyukur dan banyak semakin tamak, hati kalau tidak berhati perut memang kekapitalisan itu akan terserlah nyata dalam kebuluran orang-orang yang malang! - kata hatiku pada jiwaku.

::::Sebab itu jiwa berserah sememangnya payah menghadapi pancaroba godaan fatamorgana, tetapi khayalan itu sentiasa memikat sang merpati masuk pada sangkar yang terpangkar::::

Sikit tidak bersyukur, banyak semakin tamak. Itulah tanda kebenaran tertutp di hati. Kealpaan sentiasa menyelubungi hati kerana dek dilalai dengan ilusi yang tercipta. Perlahan-iblis meracuni sehingga maut yang dibawa hanyut tiada kesedaran. Bila datangnya azab dan bencana, barulah mengerti bahawa apa yang telah dikurniakan ini lebih daripada yang dikatakan keperluan, kemewahan dan berlebih-lebihan. Cukuplah apa yang diterima ini mudah-mudahan menjadi orang yang bersyukur - kata aku pada diriku.

:::Bukan sengaja untuk berbuat kesilapan atau melubangi kekurangan, tetapi harapnya dapatlah saling memaafkan terhadap kecuaian diri ini::

Mahu mengalir air mata ini kerana terbukanya kebenaran yang terpendam. Beberapa lama menanti dan mencarinya, akhirnya cahaya itu berpancar terang benderang. Terangnya itu menumbuhkan kehangatan dalam hati ini. Jiwa menjadi tenang seperti bumi yang mati hidup kembali dengan hujan yang membasahi kekeringan ini. Sungguh menyenangkan suasana jiwa yang dilanda hakikat kehambaan hakiki. Oh! Romantikanya hal keadaan ini... inginku tenggelam dalam cinta, lemas dalam rindu, hanyut dalam kasih dan lenyap dalam sayang - kata hatiku pada jiwaku.

::::Apabila mengenal, maka bersemilah sebuah keharuman cinta. Dalam ombak menderau, rindu ini berputik dalam buih tenang lautan yang luas:::

Kekacauan bersepah merata. Lari ke penghujung dunia bagaikan berpusing-pusing dalam bulatan. Jalan keluar hanyalah impian yang tinggal semata-mata harapan. Mahu berpasrah banyak pula sengketa yang mendatang. Taip-menaip di atas komputer meluahkan resah di hati agar suaranya terterobos ke saentero penjuru menjadi peluru yang meracuni bumi ini. Oh! Ke mana lagi untuk ditujukan? Bahkan seluruh derita ini menjadi permainan bagi kelahiran seorang anak. Sengsara apakah yang tiada memberi belas kasihan ini? Tiada yang dapat ditenangkan melainkan ketakutan yang menjadi selimut malam. Terik mentari membakar cebisan-cebisan saat gembira. Dan apalah mahunya yang menjadi serba tidak kena? - kata aku pada diriku.

:::Harapnya dapat tenggelam dalam fantasi untuk selamanya, namun pintasan realiti sentiasa memotong pertalian untuk sampai ke sana. Hendak buat bagaimana lagi? Sebab itulah sang bayi menangis demi menempuh cabaran kebenaran yang pahit:::

Karena dakwa dakwi semuanya berhak dipersalahkan kononnya, maka muncullah hero yang datang untuk mempropagandakan pemikiran baru semata-mata mengalihkan pandangan musuh yang telah ditembak bertubi-tubi untuk pahlawan yang palsu. Masing-masing mendabik dada manhajnya adalah terbaik untuk diikuti dan difahami, lalu kebenaran terpalit yang sembunyi dalam keterangan. Entah apa lagi yang dikatakan janji melainkan mereka telah buta hatinya untuk mentafsiri sebaik-baiknya. Lenyaplah haq itu dalam lautan kebathilan yang tertopengkan cahaya yang gemerlap indah - kata hatiku pada jiwaku.

Maka 'arif billah bukanlah seorang pengecut bersembunyi dalam keramaian dan melarikan dalam pengasingan, tetapi kerana warna sirna ilusi itu membungkam pandangna kita, menjadilah perkataan sang 'arif itu tiada kedengaran dalam telinga yang pekak yang tidak kedengaran pekak - kata aku pada diriku.

Jangan kau cabar aku kerana kesombonganmu kerana angkuh aku jauh lebih hebat daripadamu. Kerana iblis yang handal petah bicara akan hujjahya, namun kebenaran cahaya memadamkan segala ilmu yang ia miliki. Maka, benarlah jua kasih sayang itu sememangnya jalan yang dianjurkan Rasul kerana kebenaran terpalit dalam Ar-rahman Allah. Siapa tahu syurga yang diimpikan kita bertemu sama dalam sengketa yang kita tempuhi? Oleh itu, pudarkanlah kekotoran hati demi kecintaan bersama yang disempurnakan oleh sang utusan rahmat sekalian alam - kata hatiku pada jiwaku.

Betapa indahnya kasih sayang itu. Kerana itu bayi tenang dalam dakapan ibu dan kasih bapa. Aman damai dalam kehidupan yang hidup dengan kasih sayang bersama kerana sebaik-baik akhlak adalah akhlak al-Quran - kata aku pada diriku.

Saksikanlah aku di dalam aku yang tersembunyi dalam terang pada diriku, dirimu, dan diri mereka. Dalamnya tiada lagi mimpi yang terus dihanyutkan jauh daripada kesedaran sebenar. Memahaminya akan membuka ruang rahsia untuk dipenuhi sehingga terisi dada dengan hikmah. Alangkah indahnya sebuah pengenalan tentang diri itu jika dihayati dengan sebenar-benarnya. Mencari punya mencari dari perantauan rupanya lebih luas terhadap apa yang terdapat dalam diri. Inilah permulaan dan kemuncak bagi segala perjalanan bagi para perantauan yang sememangnya mencari pencarian yang sebenar - kata aku pada diriku.

Angan-angan pecah dalam cahaya haq yang menerbitkan sebuah cita-cita yang tulus daripada kesedaran realiti sebenar. Itulah zikir yang paling agung sehingga diri hidup dalam nafas rahmani yang tenang dalam buaian sepi tiupan udara yang penuh dengan kecintaan - kata hatiku pada jiwaku.

Kegerunan menguasai dunia ini. Di sebalik seram sejuk lagu yang dikumandangkan untuk ditakutkan orang tidak bersalah, tersimpannya kejahatan yang penuh dengan dendam dan dengki demi melunaskan ketamakan haloba yang mencengkam jiwanya. Seruan-seruan mereka tidak lain tidak bukan adalah membina tamadun Dajjal yang dinantikan mahligai dan empayarnya untuk memperhambakan sejagat manusia demi kemenangan palsu. Itulah kenyataannya.... berat untuk diterima dan perit untuk menghadapinya. Suatu hari nanti, kebenaran itu pasti akan tertegak kembali kedaulatannya. Walaupun sirna cahaya itu belum dizahirkan lagi, ketahuilah bahawa pahlawan sejati itu datang tepat pada masanya! - kata hatiku pada jiwaku.

Apabila terlakarnya sebuah kemuncak cerita, itulah sebuah kesempurnaan klimaks. Pentas dunia yang menjadi tontonan bagi mereka yang sedar pastinya akan sedar harapan yang diperjuangkan itu pastinya tiada sia-sia - kata aku pada diriku.

Pandangan mukasyafah yang diabaikan dan penglihatan musyahadah yang dilupakan. Apabila orang benar dituduh gila dan sesat, maka yang taghut pula akan diangkat dan dipuja. Jaja sana sini dengan kepaderian atas nama ugama membenarkan hal-hal bathil sehingga terpenjara dalam sesat yang tidak tampak sesatnya. Di hadapan masyarakat lagaknya hero yang cuba membawa minhaj yang adil dan sebenar, tetapi topengan yang berselindung tetap nyata walaupun muzabzib nya menjadi permainan. Demi melunaskan kedengkian yang tersimpan dari hati yang benci, itulah kerana ia sanggup menghinjak kebenaran yang telah terzahir. Demikianlah! - kata hatiku pada jiwaku.

Janji tetap janji, kebenaran pasti akan melenyapkan bathil. Namun, pentas dunia ini tetap berjalan akan sebuah ceritanya. Hadapi sahaja dengan bijaksana kerana jika dapat membuka simpulan rahsia sebuah rahsia, maka kenallah musuh sebenar yang berselindung dengan rupa-rupa yang berwarna warni - kata aku pada diriku.

Mahsyur bukanlah punya keagungan dan terasing bukanlah tiada kedaulatan. Sedikit bukanlah kekurangan dan banyak bukanlah kelebihan. Pandang satu pada yang banyak dan pandang banyak pada yang satu. Selaraskan syuhud pada yang sebenarnya hak supaya tiada ditipu akan putaran alam yang berligat. Terjerat dalam penjara yang luas tetapi diheret perlahan-lahan ke arah perangkap yang binasa. Duduk bersimpuh atas kesedaran dan berjalan dengan ingatan yang tulis, maka penuhilah dunianya dengan sirna yang benderang dari mimpi ilusi yang tiada berkesudahan - kata hatiku pada jiwaku.

Tulisan tetaplah tulisan. Jika ingin mencedoknya maka buatlah sepertimana yang disukai kerana persespsi masing-masing. Namun, adanya had yang telah ditetapkan, maka jangan melampauinya supaya samar jerat itu tidak memakan diri kita - kata aku pada diriku.

Mungkin sahaja kebenaran itu perlu difahami sebaik-baiknya.

Kau dinihari mentari yang bersinar. Terik cahayamu membakar jiwa yang melompong. Kering yang tidak membasahi bumi ini membuatkan aku rindu pada gemerlap keindahanmu. Mari ke mari ke hulur ke hilir mencari penenang dahaga yang bergelora. Namun, apakan daya lemahku ini membuat ku rebah di atas tanah yang mati ini. Hidup ini apalah erti tanpa tiadamu di sisi. Lautan yang diberikan untuk ku meneguk kasih ini sama sekali tidak menandingi cintaku padamu. Oh! Dengarkanlah melodi ini untuk menikmati asrama di malam hari yang bakal menjelang - kata hatiku pada jiwaku.

Angan-angan musnah dalam impian,
itulah harapan yangt tinggi sang kekasih,
meredah lautan api bukan kepalang,
demi cinta yang sejati itulah pengorbanan,
sekelumit mahligai hanyalah sebutir pasir,
hanyut dibawa arus dalam rindu yang mengalir,
kasih dan sayang bersua semuka,
dalam pertemuan kehidupan yang abadi...
inilah kebahagiaan hakiki wahai kasih! - kata aku pada diriku

Apabila kata-kata cuma kata-kata sahaja, maka berkejarlah ia ke arah air khayalan di padang pasir. Penat berlari-lari mengejar dalam penuh kegembiraan, akhirnya kering kontang jua yang didapatinya. Mencari tempat berteduh menahan terik mentari yang membakar dengan jiwa yang penuh kehampaan, namun sesekali keselesaan tiada mewarnai dirinya untuk menikmati nyaman udara yang berhembus indah. Mengharapkan hujan yang turun tetapi dibalas pula ribut pasir yang menghanyutkan diri dalam sengsara. Apalah erti cinta ini? Jiwa sentimental yang mabuk dalam perasaan tetapi hanyalah bertepuk sebelah tangan! - kata hatiku pada jiwaku.

Kebodohan ini telah menghijab diriku. Mungkin bukan hari ini pintu ini dibuka, namun terus tunggu menunggu dalam keraguan sememangnya menggugut semangat yang membara. Tetapi ku percaya di sinilah bermulanya seorang mumayyiz yang mulai mengenal siapa dirinya - kata aku pada diriku.

Entah apalah yang ku rasakan sekarang ini, bermadah puisi melayan dendam hati yang bergelojak tidak keruan. Apa pun, semoga apa yang kita peroleh itu mudah-mudahan sesuatu yang membuka simpulan diri yang terlitup dalam misteri yang tersembunyi - kata nuraniku kepada sanubariku.

Friday 26 August 2016

Cuba memahami kehambaan kadang meletihkan. Kesakitan yang diterima bukan calang-calangnya. Di situlah berpucuknya musuh yang bersembunyi. Meniti di atas jalannya sememangnya diisi dengan derita, namun semua itu tiada nilai bagi sang hamba. Semuanya telah diserahkan kepada Empunya yang menggenggam dirinya. La haw la wala quwwata illa billah tersemat dalam hati dengan erat. Kamalul yaqin telah menghiasi dirinya. Keindahan dan kesempurnaan melembuti jiwanya yang sentiasa dilanda badai syahdu kerinduan yang mendalam. Tetapi, mengapa pula kebingungan masih terbawa-bawa? - kata aku pada diriku.

Aduh! Aku ni cumalah sang faqir yang menagih kasih, hina mengharapkan tempat yang seadilnya, jahil yang mencarikan kesedaran, serba kekurangan yang mahunya diisikan hikmah dan kesilapan yang sentias dinaungi keampunan dan rahmat. Manakan aku mendapatkannya melainkan Allah yang tempat bergantungnya seluruh makhluk? - kata hatiku pada jiwaku.

Maghrib menjelang lagi dan malamnya mula menyinsing. Mendengar seruan azan yang agung, ku melangkaui nan angkasa yang jauh demi sang kekasih yang sejati - kata nuraniku pada sanubariku.

Memanglah sedap ngutuk orang, tetapi tak merasa sakitnya, mana maunya kasih sayang? Kalau sentimen kebencian sudah tertanam dalam, pastinya apa yang terpampang di hadapan matanya mencetuskan ammarahnya. Tenang yang entah tenang, setiap masa mulut2 lancang menjadi zikirnya. Apa lagi yang dapat memuaskan hatinya? Itulah, yang kita mau tanyakan pada diri masing-masing. Tidak mampu untuk membuat seribu kawan dengan seorang musuh, tentu ada sahaja yang menyelinap masuk memperkukuhkan kebencian padanya - kata hatiku pada jiwaku.

Berpada-pada dalam waspada. Beringat-ingat akan diri yang sememangnya akan dimusuhi dalam adat dunia ini. Hidup melantak menjadi sombong, hidup bermasyarakat bertambah beban dan menyendiri pula menjadi terasing. Itulah perasaan yang dilemma mengusik jiwa - kata aku pada diriku.

Jadi, apa ertinya kasih sayang? Memahami hakikatnya kadang tiada jawapan pengakhirannya. Persepsi yang berbeza-beza inilah membawakan celaru bagi yang mencari. Tetapi, pastinya akan dibukakan kefahamannya - kata nuraniku pada sanubariku.

Sedar atau tidak sedar, itulah kekurangan kita. Mahunya sentiasa memerhatikan kekurangan pada diri ini - bisikanku pada suaraku.

Kerana cinta, aku hidup dilahirkan semula dari tanah yang mati ini. Bersemadi pula dalam alam yang tiada hentinya puji-pujian untuk sang romantika. Puitis kasih menghiasi alam ini, warna warni indah ini mewarnai pandangan ini. Betapa aku tercengang duduk bersimpuh pada taman-taman ini kerana tiada lagi aku mampu menahan rindu yang menenggelam diriku ini. Rasa ini begitu berat, tetapi semerbak harum kasturi membuka lembaran mekar hati yang ditumbuni debungaan. Wahai kasih! Ku sambut tanganmu dan di sinilah kisah kita bermula - kata nuraniku pada sanubariku.

Fahamilah akannya bahawa kata-kata ini cumalah kulit yang menutupi isi yang enak. Jika kau dapat sentuhi hatiku, kelak kau akan rebah di sisiku. Air mata ini mampu mengubati jiwa yang duka lara dihimpit sengsara. Api ini terpadam dari membakar, namun debu-debu abu ini berterbangan bersama angin yang bersepoi akan bahasanya - kata aku pada diriku.

Dengarkanlah hai kekasih! Dendangan dingin malam ini bagaikan selamanya. Hilang detik waktu dalam cinta kita bersama! Inilah pancaran sebuah kegemirlapan dunia yang berseri perhiasan indah - bisikku pada suaraku.
Sudah lama dosa dan noda ini menyelaput pada diriku. Berat dan payah sering menghalangi perjalananku. Berpusing-pusing dalam keperitan, hanyalah merit yang mendatang bertimpa-timpa. Mahunya menikmati cinta sejati tetapi apakan daya hijab ini terus meracuniku perlahan-lahan. Sakit yang tidak sakit, luka yang tiada berdarah, air mata yang tiada tangisan, memandang dalam kebutaan dan permainan tipu daya semuanya telah merenyukkan hati ini. Apalah diriku ini? Masih lagi terpalit dalam kekotoran yang berpanjangan! Ku puhon keampunan dan rahmat untuk dikasihani, tetapi layakkah aku yang hina, jahil, faqir, kekurangan dan tersalit dengan kesilapan ini menanti di hadapan pintu makrifat-Nya? - kata hatiku pada jiwaku.

Kadang berkata-kata tiadalah bekasnya, hanyalah indah khabar dari rupa yang terkial-kial dalam ilusi. Sibuk berpancaran dalam kegelapan yang terus melenyapkan kesedaran, rupanya setelah dibukakan akal itu, terbakar hanguslah apa yang diperoleh itu. Hanyalah kesia-siaan yang tiada berkat.... redha sahajalah kehilangannya, asalkan nikmat yang tiada terputus akan rahmatnya sentiasa berkekalan. Semoga demikiannya! - kata aku pada diri.

Entah di mana pula berdiriku di sini? Di sana pun bukan, di situ pun bukan, ke mari pun bukan dan ke nun hujung sana pun bukan. Apa pun bukan, maka sesatlah aku dalam tiada penghujung arah petunjuknya. Oh! Siapalah yang sanggup menyambut tanganku yang mengharapkan pertolongan? - bisikku pada suaraku.

Ya Tuhan! Apakah layak diriku menerima sebagai hamba-Mu yang dikasihi? Inikah yang terbaik buatku? Oleh itu, tunjukkanlah aku kebenaran yang sejati! Tiada yang lain dapat menuntut si buta melainkan hanya Engkau Yang Maha Melihat menunjukkan kami ke jalan yang lurus! - kata nuraniku pada sanubariku.

Kata hatiku pada jiwaku - Biasalah kalau dah hilang kasih sayang, memang tidak habis-habis akan mempropagandakan kebencian. Caci maki jadi zikir harian dan hentaman jadi ibadah. Apa sahaja yang melebihinya, dengkinya akan membuak-buak. Sebarkan ketakutan dan kegerunan pada orang supaya mereka berlari pada mereka untuk meminta perlindungan. Rupanya hanyalah kepalsuan berita-berita yang diulang supaya dicuci akan minda orang bahawa kebenaran itu tidak akan berhenti berjalan. Usah lagi minta pertolongan darinya, kerana kesempatan yang ingin dibolot berselindung di balik ukiran wajah yang manis. Kalau sedar musuhnya siapa, tentu tidak ada permainan yang tipu daya dengan berhelah yang bermuslihat.

Masakan tidak jika mahu meletakkan jenama eksklusif pada dirinya. Jika ada pasaran yang mampu bersaing dengannya, pastinya monopoli ingin dicantas sehabis-habisnya demi kekayaan yang tamak. Kasihan orang-orang baru, yang mentah dan lemah dicincang selumat-lumatnya semata-mata diperhambakan untuk penyembelihan kenyang nafsu serakahnya - kata aku pada diriku.

Kemudian, Rasulullah diutuskan membawa rahmat sekalian alam yang menyempurnakan akhlak. Kesempurnaan yang tertutup dibalik keindahan kulit lapisan luar yang berkilauan. Siapa sangka apa yang dipersangka orang tidak sepertimana yang digambarkan dan digembar-gemburkan daripada indah khabar dari rupa? - kata nuraniku pada sanubariku.

Biarlah orang mahu kata apapun, jika kami salah, kami memohon ampun dan tunjuk ajar. Jika kebenaran ini berpaksi pada jalan kami, maka kami terima seadanya dengan kesyukuran. Maka berserah dan munajat sahaja yang kami mampu panjatkan - bisikku pada suaraku.

Bangun sedar dari tidur yang panjang. Merasakan sekejap sahaja bagai bersin yang matinya sesaat. Saat itulah dunia yang panjang bermain dalam mimpi yang tidak dijangka akan pengembaraannya. Bermacam-macam disaksikannya, semuanya telah peroleh pada diri. Berpanjangan dalam dunia ini kadang meluputkan kesedaran, maka dengan itulah terpetiknya mata untuk sekali lagi celik melihat dunia yang tersisipnya cinta yang abadi. Realiti tetap realiti, hadapinya sahaja dengan tabah hati kerana bermanfaat bagi mereka yang berakal - kata hatiku pada jiwaku.

Berlamunan seorang diri di jendela petang hari hilangnya diri yang duduk bersama teman yang ceria gembira. Nan angkasa lepas telah pun menembusi, sesaat ibarat seribu tahun. Itulah perjalanan yang panjang, namun terbatasnya sebuah kemampuan, maka kembalilah ia pada diri yang berdiri di sini - kata aku pada diriku.

Wahai diri ini, dalam hembusan nafas yang tenang ini, nikmatilah kesegaran sebuah kesedaran sebenar yang menghiasai warna warni dunia ini. Kerana keindahannya bakal merubah dirimu yang pegu dalam kehanyutan! - kata nuraniku pada sanubariku.

Pagi mentari bersinar kembali. Bersama harapan yang beriringan. Entah apa lagi yang akan berlaku pada hari ini. Namun, ku tetap teguhkan tawakkal dan syuhud ini pada yang sebenarnya walaupun sentapan musuh mendatang bersama. Pancaroba hari ini, harapnya ada pelajaran buatku. Semoga hidup kesedaran yang ku ingin temukan dimudahkan jalannya. Bersedih-sedihan pada pagi ini sememangnya menghampakan. Riang burung ceria yang menghiasi sunyi pagi ini menghiburkan ketenangan kampungku yang tercinta. Di sinilah bersemadinya sebuah kasih yang tertanamnya kenangan perjalanan hidup yang panjang. Terbanglah wahai diriku ke angkasa, bersama sang pipit yang mencari cinta sejati! - kata aku pada diriku.

Sang abid menangisi kerana malam yang panjang telah berlalu. Kini sang zahid pula mewarnai siang ini dengan tebar langkahnya menuju kepada pekerjaannya. Bersemai keabdian yang berpanjangan sepanjang masa, setiap kerdipan mata dan tiap-tiap hembusan nafas. Lelah dan penat bukanlah untuk selain kekasih sejatinya. Hanya semata-mata telah tunduk dalam kemurahan rahmat Tuhan yang terbentang luas - kata hatiku pada jiwaku.

Ah! Indahnya perjalanan hidup ini diisi dengan ma'rifatullah yang hakiki. Kerana apalagi kesedaran yang sebenar ini membawa kemanisan sebuah jiwa pecinta melainkan di dalam kebersamaan Allah dengan pujian dan pengagungan terhadap-Nya setiap getakan jantung berdegup! - kata nuraniku pada sanubariku.

Kata hatiku pada jiwaku, kata aku pada diriku, kata nuraniku pada sanubariku dan bisikku pada suaraku kan terus bermain dalam diri ini yang bernama "aku". Kerana itulah teman bicara itu sudah mencukupi buat untuk diri sendiri. Tersimpannya banyak khazanah yang melangkau sempadan mata sehingga tiada perlu lagi menarik yang lain dem kepuasan diri ini. Segala ungkapan, ucapan, nukilan, tulisan, petikan, gambaran dan segalanya mencerminkan wajahku. Kemana sahaja dibawa di situlah tali yang beserta erat bersambung. Setiap detikan masa, setiap kerlipan mata dan setiap detik nafas ini, ku cuba menghidupkan diri ini di dalam "aku" yang bertakhta - kata aku pada diriku.

Otak sudah jammed kerana terlalu melebihkan fikiran. Gusar entah apakah yang melanda ini, hingga terbitnya gamam yang membuatku terkelu. Mati jalan untuk meneruskan langkah ini, maka harapan tinggal harapan sahaja. Doa dipanjatkan pada Tuhan mudah-mudahan ketenangan dan kemudahan ini dibuka seluasnya - kata hatiku pada jiwaku.

Satu meliputi banyaknya dan banyak merangkumi satunya. Suasana yang tidak menentu ini kadang menjadikan tercengang untuk memahamkannya. Apa pun, jangan dikusutkan diri dengan bermacam-macam karenah fikiran yang suka berandaian - kata nuraniku pada sanubariku.

Hai aku yang tersembunyi dalam diri. Lenyapkanlah kegusaran ini dalam tawakkal yang sepenuhnya kerana sesungguhnya kau tidak akan larut dalam kebimbingan yang berpanjangan - bisikku pada suaraku.

Sinar pagi disinari mentari,
tasbih memuji nama Ilahi,
germa burung pada dinihari,
dingin ini mencengkam diri,
pada ketenangan mewarnai,
berkat terbenam sebuah rezeki,
sang zahid bingkas melangkahi,
ke arah sebuah kehidupan abadi,
duai mimpi telah menyedari,
alangkah panjang perjalanan ini,
biarlah tiada penghujung ditempati,
asal berkat dan rahmat dicucuri,
semoga hari-hari penuh diisi,
akan makrifatullah yang diperolehi.... - kata nuraniku pada sanubariku.

Jangan pernah berhenti mengisi hati ini dengan kebaikan yang terbaik kerana tiada yang diterma Allah melainkan yang baik-baik sahaja - kata hatiku pada jiwaku.

Lagu indah berinai indah. Corak warna warni ini mengisi kesunyian hati yang kekeringan. Dahaga yang membakar ini akhirnya terpadam dalam kelembutan cinta yang hangat. Hadirmu di sisiku menjernihkan sebuah cerminan wajahku yang menyinari sinar mentari di pagi hari. Engkaulah cahaya petang hari yang bersatu dalam dua garisan yang bertemu. Dekat tidak bertembung, jauh tidak berpisah. Selangkah kakiku melangkah, seribu perjalanan ku harungi dalam meredah lautan api. Semoga kau menjelma sentiasa di sisiku wahai kekasih! - kata hatiku pada jiwaku.

Malam yang tiada sinar rembulan, namun anggun wajahmu cukup menerangi gelap yang tiada berkehujungnya. Suaramu merupakan deruan angin yang berhembus lembut menghidupkan taman-taman bunga yang menghiasi jiwa ini. Oh! Romantika engkau sehalus ombak yang memukul. Nyaman syahdu memabukkan kesedaran. Tenggelam aku dalam sentuhan kasihmu - kata aku pada diriku.

Berkarya bersastera berceloteh atas pena pada lembaran kertas yang bersih ini, di situlah terukirnya keindahan dirimu yang memukau pandanganku. Tatapanmu pada jendela di beranda ini, kau mengufuki seribu kisah dalam senyuman manismu - kata nuraniku pada sanubariku.

Semoga kau memahami diriku yang hanya buangan jalanan sahaja. Hanyalah penagih kasih yang telah hilang cita-cita dihanyutkan dalam kepahitan era percintaan. Hanya engkaulah harapan bagiku dan pendamba jiwa yang telah celik matanya melihat dunia yang dilahirkannya - bisikku pada suaraku.

Siang engkau digeruni,
malam engkau ditakuti,
bayangan kegelapan mewarnai,
sebuah episod yang mengkaku,
hilang kewarasan dalam misteri,
jejak yang lama ditampil kembali,
hidup dalam pukauan igauan,
tentang apa yang dipertanyakan,
ke mana engkau harus tujukan?
tentang jawapan yang tiada perolehnya?
karena itu engkau terus bertanya,
mencari dalam kesamaran,
penghujung yang tiada penamatnya,
tempat yang terselindung,
di sebalik kekusutannya......

VILLA NABILLA...

Senyap malam diselubungi ketakutan,
ketenangan digoncangkan melandanya,
hati tiada menjadi keruan,
dalam dendangan piano sang gereja,
menghamparkan tenaga yang dingin,
menggigil dingin dalam keseraman,
fikiran jahat mula bergelojak,
entah apakah ia berhadapan,
musuh yang tidak ketahui meliputinya,
enam penjuru bagaikan terawangan,
dalam bayangan yang tiada petanda,
lampu yang dipancar tiada menerangi,
hanya terbatas dalam pandangan,
engkau lah tanda tanya yang tiada soalan,
dan jawapan yang tiada penjelasan,
tentang apakah yang disembunyikan kamu?
sebuah identiti yang tiada pengenalannya.......

jangan biarkan hidup anda diselubungi dengan....... misteri - kata hatiku pada jiwaku.

seram sejuk menyelimuti diri, entah apalah bayangan menakutkan muncul di hadapan, namun goyah tiada pincang kerana kejahatan pada fikiran sudah terbatal dalam keyakinan teguh - kata aku pada diriku.

terpaku dalam ketakutan yang entah berentah, sebenarnya nafas ini sentiasa sahaja menghimpit dada ini kerana kegerunannya, namun apalah dibandingkan dengan sekelumit misteri yang tiada berwajah? - kata nuraniku pada sanubariku.

tiada kaitan dengan villa nabilla - bisikku pada suaraku.

Engkau mewarnai sebuah lakaran. Indah hiasan memukau pandangan. Warna warni bersinar menerangi ufuk alam. Cahaya yang terpancar mengukir sebuah identiti. Kegelapan yang menyelubungi hilang di dalam kekabutan. Tunggal berdiri sebuah benderang yang berkelihatan. Tiada nafi, tiada ragu, tiada penolakan, tiada waham, tiada persoalan, tiada jawapan, tiada ulasan, tiada penerangan, tiada takwil dan tiada segalanya. Hanya engkaulah yang terbit dari sinaran dan menenggelamkan aku dalam pengelanan - kata hatiku pada jiwaku.

Kemelut melanda yang memijak-mijak diri yang lemah ini, ku tetap tabah walaupun tangisan ini membasahi diri. Diri dihina yang kecewa menahan derita pedih dari terbuangnya segala keberatan yang sengsara. Mahu atau tidak dan rela atau tidak, inilah hakikatnya sebuah kehidupan. Menghiasi sebuah kesempurnaan demi kefahaman yang utuh tentang kebenaran - kata aku pada diriku.

Biarlah apa pun, hanya Allah jua yang lebih mengetahui tentang cerita dan keperluan seorang hamba. Berserah diri dalam pengheretan yang bermacam-macam namun semuanya membawa kehampiran aku pada-Nya. Biarlah kepahitan disisipkan kemanisan yang tersembunyi dalam kejelekan pandangan - kata sanubariku pada nuraniku.

Hai diri ini, kebodohan seseorang pada meninggalkan keyakinan diri dengan mengikuti persangkaan orang. Itulah pesanannya - bisikku pada suaraku.

Diam membuka banyak makna. Di sebalik diam itu, tersimpannya persangkaan orang tentang apa yang dapat ditafsiri. Andaian dan pelbagai teori yang dibuat-buat semata-mata menyampaikan faham maknanya melalui apa yang diperolehinya. Namun, boleh sahaja satu bicara itu membatalkan apa yang didakwa dakwi dan keyakinan bulat daripada orang-orang itu. Memahaminya terkadang bukanlah sesuatu yang mudah. Menerobos di dalam hatinya tentu memperoleh apa yang dikehendaki, namun hanyalah tenggelam di dalam lautan luas yang entah jalan ke luarnya. Hanyutlah ia dalam bayangan sebuah misteri yang terzahir pada diamnya - kata hatiku pada jiwaku.

Perangkap jerat yang diam di sebalik rerumput semak lalang dan dahan yang tegap berdiri mahupun terduduknya ia pada di mana pun, ia mampu menumpaskan seekor kancil yang lincah dan pelanduk yang tangkas. Itulah kegerunan yang menghasilkan banyaknya kehatian-hatian dalam melangkah. Ingatlah sesekali pelanduk atau rusa melupakan jeratnya, namun jerat tiada lupa padanya dan tetap menanti sehingga saat ia mengena! - kata aku pada diriku.

Jika sudah berani "poke" orang, maka terimalah hempukan orang. Usah mencari pasal kalau tidak mahu mahu jadi bahan. Jika tiada mahu dilambung ombak, manakan ia berdiri di tepian pantai. Pengecut yang zalim mereka merosakkan bumi, lalu menutupi aibnya "kami berperang atas keganasan". Ptuuiihh untuk mereka - kata nuraniku pada sanubariku.

Ambush dan serangan hendap pasti ada dalam peperangan. Hidup ini adalah peperangan. Sama ada terkorban dengan mati katak atau bijak seperti seorang pahlawan - bisikku pada suaraku.

Makin belajar, semakin ingin mencabar, maka terserlah kurang ajarnya. Kalau sudah namanya ghairah semuanya mahu disumbat pada orang meskipun mereka tidak rela dan tidak mampu menelannya. Itulah Ku Klux Klan yang taksub atas perkauman diri mereka. Atas dasar itulah Nelson Mandela menghapuskan Apertheid semata-mata keadilan yang sebenar. Maka, apakah ertinya kebenaran jika hanya mahu dieksklusifkan pada suatu jenama tertentu? Luasnya ilmu Allah boleh terhamparnya beribu-ribu kebenaran, apa lagi mahu ditamakkannya? Satu pun sudah cukup, malah lebih daripada apa yang diperkatakan mewah dan berlebihan. Pilihlah yang seadilnya bagimu - kata aku pada diriku.

Orang tamak sememangnya rugi. Semua benda mau dikautnya. Monopoli sang kapitalis semestinya memusnahkan penyambungan jurang masyarakat yang terpisah. Ekstrimis dan terorist pasti akan mewarnai pandangannya. Jangan terlebih bertindak kerana hakikat tanah bumi ini sememangnya tempat pertumpahan darah dan kerosakan. Imbangilah ia dengan neraca (mizan) yang seimbang - kata hatiku pada jiwaku.

Umat Yahudi bersorak gembira ceria melihat kekalahan umat Islam hari ini, walhal sejarah sengsara mereka 2000 tahun perlahan-lahan dilenyapkan ditelan zaman dan ditutup dengan kekaburan. Keberhasilan mereka selama itu akhirnya berdiri di tengah-tengah negara Arab. Sabar! Satu hari akan disaksikan kebenaran itu, walaupun ia mengambil masa lama! Jangan gopoh! Biarlah mereka bermain-main dalam kesesatan! - kata nuraniku pada sanubariku.

Fahamih baik-baik kerana yang merenung pasti akan terhasilnya kebaikan - bisikku pada suaraku.

Thursday 25 August 2016

Bingkisan hati yang mewarnai jiwa ini memperhalusi sebuah penceritaan tentang diri pada dalam aku. Indah gemerlap menghiasi sebuah pandangan sememangnya tiada kehabisan untuk dicoretkan di sini, namun cukuplah yang ringkas dan padat itu memenuhi keperluan asas sebuah kefahaman. Corak yang terhasil dari bakat-bakat penulisan itu bukanlah daripada rekayasa ilusi yang berfantasi, tetapi hasil dari sebuah kreativiti yang mencetuskan innovatif dari sang bijaksana yang memandang sesuatu dengan suluhan cahaya. Ilham yang menjadi sumber inspirasi melengkapkan lagi sebuah lakaran dari saduran warna yang meliputi ufuk penjuru alam ini - kata hatiku pada jiwaku.

Berceloteh sambil melayan sindiran orang yang cuba mencari hibur bersama, sakit di jiwa menghentam tertubi tetapi biarkanlah ia menjadi suatu kesan kerana boleh sahaja apa yang mendatang itu suatu perkara yang banyaknya renungan perlu diteliti demi mengambil manfaat darinya. Tentunya kena tabah hati untuk menerima kebenaran yang sejati kerana orang-orang berserah yakin di mana jalannya perlu dilalui - kata nuraniku pada sanubariku.

Keajaiban yang memetir sepintas lalu membuat terlopongnya sang penyaksinya. Namun, sesekali penipuan tidak mampu menerobos ke sembilunya kerana kukuhnya durian menahan renyetan sang limau. Menggilis hebat dan berdiri gagah namun isinya semerbak haruman bunga ros yang mekar - kata aku pada diriku.

Biarlah apa pun yang berlaku, walaubagaimana pun pentingnya untuk jadi bijaksana supaya makanan yang dihadam itu bukanlah daripada pengambilan yang haram - bisikku pada suaraku.

Hidupkanlah dendam ini, akan ku semarakkan kebencian ini. Dengdangkanlah lagu-lagu permusuhan, akan ku marakkan api yang membara ini. Pukulan dram dan petikan gitar dari sang pemuja setan akan mewarnai darah ini. Aku berdiri di hadapan wajahmu menanamkan kegelapan padamu. Dengan ilusi yang menghiasi pentagram ini, ku ukirkan kehidupan yang penuh dusta. Selaput angkasa diterangi cahaya bintang, karamlah ia dalam lohong hitam dan menelanlah seluruhnya sehingga tiada tersisa. Jeritan, tangisan, desakan, kekejaman, kezaliman, kemusnahan, ketakutan dan kegelapan menggoncangkan dunia ini. Nikmatilah sandiwara yang telah ku ciptakan untukmu! Bermain-mainlah kamu sehingga kepuasan yang tiada hentinya! - kata azazil pada iblis.

Ketulusan hati akan menjadi tanya. Kebenaran itu nyata dalam kerlipan. Godaan ini menghambarkan sebuah kilat yang berpantar. Tiada yang dapat digoyangkan melainkan lemah dalam perhambaan kekuatan yang tipu daya. Dalam kemanisan pujian, keagungan sastera daripada ucapan dan silap mata yang memukau, aku mampu menembusi hatimu sehingga lumat awang-awangmu dalam kesesatan - kata syaitan pada nafsu.

Merapu, merepek dan mengarut semuanya tiada hujjah. Tetapi pukulan ombak kebenaran mampu melangkaui logik yang dibuat-buat. Semua tipu daya bakal lenyap dalam pembungkaman dari tangan-tangan yang berpegang setia janji - kata hatiku pada jiwaku.

Subuh membuka lembarannya. Lalu menjelmalah siang yang bersinar. Hujan yang merintik tiada mampu memberi kehangatan pada pagi yang dingin. Tenggelamlah dalam aroma haruman syahdu pada pecinta yang hakiki - kata nuraniku pada sanubariku.

Diri yang berdiri di sini. Bekas yang terzahir daripada bakat di dalam hati memanifestasikan zahirnya. Batin yang tersembunyi di dalam diri menceritakan sebahagiannya pada jasad ini. Dengan hembusan nafas ini, ku memuji nama Tuhan yang agung. Hilang nafas dari pandangan kembalilah ia pada sebagaimana yang selayaknya. Ruang alam yang terbentang luas pasti tercengang untuk mendapatkan penghujungnya, namun semua penceritaan terkandung dalam diri Adam ini. Pada al-Quran yang hidup, semuanya terpampang di setiap pancaindera yang berpancar - kata aku pada diriku.

Dayu-dayu mentari yang membenamkan dirinya untuk kembali pada Tuhannya agar malam seorang 'abid terisi dengan keheningan angin yang dingin. Enaknya sebuah pemergian sang siang merehatkan kepenatan seorang mujahid yang melangkau jauh ke pesisiran semata-mata bermujahadah menemukan kebenarannya. Namun, sujud tangisan yang lemah di hadapan-Nya terlukis pada diri romantika yang bersenandung buaian cinta sang perenung menemukan kesedaran di ketika tidurnya orang - kata hatiku pada jiwaku.

Tersungkurnya aku lemah di atas hamparan kuasa-Nya. Kebersamaanku dengan-Nya berpisah tiada. Tiada jauh yang membatasi kedekatannya. Berpijak dan melangkah di atas bumi yang nyata, menggenggam langit yang tinggi. Aku terbang menuju kasih yang berkilauan terang rembulan-Nya - kata nuraniku pada sanubariku.

Biarlah apa pun, semoga ceritanya terbaik untuk kita semua yang mencari jalan orang-orang 'arifin. Berserah dirilah pada yang sebenarnya - bisikku pada suaraku.
https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/644094142307849
Kesilapan semalam harapnya dapat terbaiki hari ini. Selagi belum dikatakan terlambat, selagi itulah pupukan terhadap kesedaran dihidupkan. Mengenangkan esok yang tidak pasti, maka berserahlah segalanya terhadap apa yang bakal terjadi. Redha dan takwa menjadi bekalan sepanjang masa. Hari ini yang berpanjangan sebuah hari-hari biasa, semoga pertemuan dan kebersamaan dalam kebenaran seiring dalam masa yang tiada henti detik saatnya - kata hatiku pada jiwaku.

Meraba-raba semula apa yang hilang daripada diri ini setelah jauh menyusur ketinggalan mengejar yang telah berpergian. Tangisan dan penyesalan sudah tidak berguna. Impian yang musnah ditelan dalam putus asa. Namun, harapan yang mudah-mudahannya mengisi kekosongan hati yang kekeringan tanahnya untuk bumi terus hidup - kata aku pada diriku.

Nafas semakin tersekat-sekat sangkanya ajal semakin mendekat. Bersin sekelip mata hidup semula sesaat yang telah merasakan petikan kematian. Tidak sedar ilham yang dipamerkan pada diri, akhirnya terus bermain-main dalam kesesatan yang penuh dengan prasangka. Oh! Semoga dijauhi ilusi yang terus membawaku jauh dari cahaya gemirlap ini - kata nuraniku pada sanubariku.

Semoga Tuhan berkati kita semua dengan rahmat Subuh dan pagi yang dihiasi mentari serta tumbuhan debungaan ceria dengan riang giang burung berkicau memulakan tawakkal yang tinggi terhadap-Nya. Temukan pintu rahmat-Nya semoga dipimpin jalan yang hakiki - bisikku pada suaraku.

Tampak nyata sebuah ma'nawiyyah, lalu terukirlah ia sebuah ma'ani. Berdirinya aku di sini dalam gambaran yang tiada lukisan. Wajah yang tiada rupa, aku lenyap dalam cahaya yang tiada warnanya. Sebuah cinta daripada kata-kata yang tiada kedengaran suaranya. Namun ku menggapai kemuncaknya pada yang ruangan tiada bahasa. Kemurahan yang dipersembahkan darinya, aku memujinya tanpa huruf. Dalam keghaiban diri ini, aku berdiri pada aku di dalam aku yang tersembunyi dalam terang. Temuilah aku pada sang kekasih sejati yang tiada hentinya melimpahkan rahmat - kata aku pada diriku.

Tersusunnya kalimat dan lakaran coretan ini, mengilustrasikan sebuah bakat-bakat yang agung. Tampak penzahiran sebuah rahsia yang terselindung pada dalaman yang dekatnya tiada bersentuh dan jaraknya tiada berantara. Bekas-bekas menapaki sebuah perjalanan yang panjang tiada penghujungnya, namun semakin dekat aku melangkah ke hadratnya. Penantian yang lama ini mungkin selamanya, namun sesekali rindu ini tiada terpadam dalam ingatanku terhadapmu, wahai kekasihku! - kata hatiku pada jiwaku.

Tawakkal dan berserah menjadi pakaian. Terbakar daku dalam lautan api merenanginya diriku semata-mata menyahut panggilannya dari kasih tercurah sedingin salju yang berkelibung. Oh! Sehangat cinta ini meleburkan aku.... apalah ertinya sebuah imaginasi tanpamu sebagai pautan dakapanku di sisi? - kata nuraniku pada sanubariku.

Semoganya tiada yang dapat merobekkan kebahagiaan ini. Namun, tiada yang dapat menjualkan cinta ini terhadap selain untuk kekasih yang dicintai sejatinya - bisikku pada suaraku.

Masih ada kah harapan ini? Setelah mana lamanya ku lemas dalam ilusi ini. Meraba-raba dalam awangan, hanyalah kekosongan yang mengelilingi aku. Kesedaran apa yang perlu untuk dibukakan? Cari-cari mencari mengumpulkan perbahasan demi memenangkan logika sememangnya menutup cahaya akalku. Tertutup pintu hati ini membawa kepada kebenaran. Duduk bersimpuh di atas kekeringan tekak yang menyeksa diriku, apakah tiada lagi hujan yang membasahi bumi ini.... untukku merasai kehidupan yang panjang? - kata hatiku pada jiwaku.

Cabar mencabar demi menggugat keyakinanku untukku berlari menuju mereka sememangnya doktrin yang menyesatkan. Mahunya bertarung habis-habisan sehingga tiada lagi tersisa, namun keras daya dan titik peluh tiada membuahkan hasil. Menanti waktu kejahutan empayar mereka sememangnya sebuah penantian yang menyakitkan. Tetapi, janji itu tetap tertunai walaupun lambat, hanya keyakinan yang teguh sahaja dapat membuka basirah melangkaui cahaya yang menerangi seputar alam ini - kata aku pada diriku.

Mungkinkah tidak layak untukku ke syurga, tetapi apakan daya, ku tak mampu menerejah neraka ini. Bingung yang membawa penerusan berpanjangan, menghalang segala kenikmatan untuk dirasai. Menggigil ketakutan terhadap nasib yang bakal menerpa, tetapi hanya berserah sahaja yang dapat meleraikan kekusutan ini. Biarlah mata-mata itu terus menyinsing kelemahan diriku, kerana selayaknya aku tidak menerima apa-apa bekas untuk dimiliki - kata nuraniku pada sanubariku.

Hmmmmmmmm.. - bisikku pada suaraku.

Renungan tajam matanya, aku terpaku dalam pandangannya. Tetapi wajah yang berseri bercahaya sinarnya. Bak rembulan memancarkan cahaya di malam bintang yang berkelip. Ku dapat sentuhan gelora hatinya dari jiwa yang bergetar. Ku tahu yang diam ia menyimpan rahsia yang tersembunyi. Lalu, ku harap perkataan daripadanya, namun ucapannya tiada terukir pun kata-kata. Suara yang tiada kedengaran, bahasa yang tiada difahami, huruf yang tiada bentuknya dan gambaran yang tiada ilustrasinya, bagaimana lagi ingin ku fahami tentang dirinya? Terpakai ia pakaian kebiasaan yang tiada luar biasanya, tetapi semat dirinya mewarnai sebuah sentoasa yang tiada rasa dan tiada puncak yang tiada hujungnya - kata aku pada diriku.

Kita tidak tahu siapa yang berhadapan. Kekasih Allah bersemi di mana jua ia bertebaran. Tanda-tanda itu kelihatan bagi yang menyaksikan dan memahami isyarat yang mendatang. Pada keramaian, ia berseorangan dan pada keseorangan, ia berselindung. Bukan melarikan diri ataupun menyembunyikan diri, tetapi kerana rahsia itu sememangnya tertutup rapi pada kesamaran bayangan - kata hatiku pada jiwaku.

Menjadi kekasih Allah itu cita-citanya kita, tetapi jika sudah nampak menara Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, jangan semberono merempuh liku-liku jalannya agar tidak berparking kereta di tepian tasiknya. Biarlah tarekat itu sebenar-benar jalannya supaya matlamat yang tertinggi itu tercapai jua ke hadratnya - kata nuraniku pada sanubariku.

Allah tiada pandang pada rupa kamu, tetapi pada hatimu. Namun manifestasi zahir itu terbitnya pada batin. Keterbatasan manusia pada penglihatannya semata-mata jisim yang nyata, sedangkan seni yang tiada lakaran sememangnya rumit untuk dinyatakan. Jika tampak rupanya, maka awasilah yang mendatang akan wajahnya kerana topengan dari tipu daya iblis sememangnya handal licik - bisikku pada sanubariku.

Duduk muhasabah sambil melayan sepi diri demi bermuzakarah dengan hati dan jiwa yang saling berkacauan melalui hari-hari mencabar seperti alah tegal bisa biasa. Menyeluk ke saku biar sampai ke pangkal lengan, biarlah apa pun mendatang, melantak sahajalah yang dibawa bekal untuk perjalanan kerana tidak lagi peduli akan endahan orang. Pujian dan cacian semuanya ditepis seperti lalat yang berterbangan, kadang sampai jenuh mahu berulang-ulang kali berbuat begitu, tetapi mahu atau tidak tempuhi sahaja rayau-rayau lalat itu sampailah salah satu daripadanya jemu. Entah apa lagi yang mahu diperkatakan lagi kalau segalanya sudah tercerita pada kefahaman masing-masing - kata hatiku pada jiwaku.

Kritikan orang kadang pedas dan bodekan orang kadang lembut, tetapi semua itu hanyalah permainan hidup di atas jalan raya yang beraneka ragam kenderaan yang menyatakan lagaknya. Masing-masing punya cerita dan rasa, biarlah ia jadi hiburan daripada diri sendiri memberontak dengan mencangkul angin yang akhirnya melelahkan diri sendiri dek kerana kesepian yang menanahkan kepanasan - kata aku pada diriku.

Duai perasaan yang tidak menentu sememangnya tidak sempat untuk dikemaskinikan apa yang lalu dan memaparkan idea baru untuk menyambung yang lama. Aliran angin yang kadang berputar atau berligat sehingga terusan yang sebaris sememangnya payah untuk difahaminya. Hentam sahajalah, asalkan maksudnya dapat dicapai - bisikku pada suaraku.

Pada setiap hembusan nafasku,
aku menyebut nama-Mu,
pada setiap kerdipan mataku,
aku menyaksikan keindahan-Mu,
pada setiap detik masaku,
aku dalam kebersamaan dengan-Mu,
pada setiap denyutan nadi ini,
aku agungkan kebesaran-Mu,
pada setiap degupan jantungku,
aku mengingati diri-Mu,
sepanjang pengaliran pendarahan ini,
tiada henti deras arus rinduku pada-Mu,
pada hujung kepala hingga hujung kakiku,
aku dalam cinta-Mu yang berpacaran,
hujung akhir nyawaku di permulaah ruhku,
aku lemah dalam penyerahan terhadap-Mu,
saat kesedaran dalam kehambaan,
aku bertarian dalam ketuhanan-Mu,
hidup bertuhan tanpa perkata,
semuanya terisi dalam rahmat-Mu,
terimalah daku sebagai kekasih-Mu,
wahai Tuhan Yang Maha Pengasih....

Beribadah tanpa mengharapkan syurga dan perlindungan dari neraka, hanya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, adakah sebenar-benar ucapan itu berbetulan pada kenyataannya? Jika dengan bidadari syurga sudah tergiur, usah lagi bermimpi mencari dan berhadap Empunya bidadari itu, kerana jika bidadari itu menyimpan pelbagai keindahan, apatah lagi Tuan punya bidadari yang menawan itu, jauh lagi indah yang tiada bandingan dan tandingannya. Belum pula ujian yang bertimpa-timpa ke atas dirinya yang berbagai-bagai badai, jika sudah hanyut dalam kegoyahan, maka jangan pula cuba berumah di tepian pantai kalau tidak mahu dilambung ombak. Neraka jauh lebih menggegar daripada apa yang dipersangka dan diimaginasikan. Muhasabah atas diri masing-masing pada mana diri itu berada - kata hatiku pada jiwaku.

Jauh perjalanan menuju Allah yang agung. Atas jalan Muhammadur Rasulullah, sememangnya melimpah jenama dan fesyen yang mendatang. Tetapi janji Allah akan menempati pada siapa yang dicintai di akhirat kelak, maka tiliklah atas diri masing-masing pada mana disandarkan tujuan atas segala yang diperbuat itu - kata aku pada diriku.

Tidak perlu kita menjadi wali Allah untuk diwakilkan atas diri kita supaya dapat bersimpuh di hadapan-Nya, cukuplah Allah sebagai wali kita untuk kita wakilkan segalanya pada tawakkal yang mutlak dan penyerahan yang total pada-Nya - kata nuraniku pada sanubariku.

InsyaAllah, mudah-mudahan Allah merahmati kita semua - bisikku pada suaraku.

Hari ini yang mendatang bukanlah bermakna esoknya pendapatannya. Apa yang ada pada hari ini, belum tentu ia sepertimana esoknya. Bermain-main dalam ketentuan hanya membawa ketidakpastian yang terus soal menyoal tentang apakah yang keberhasilannya nanti. Penat dan lelah bekerja dan beraktivitas hasilnya hanyalah keraguan yang mendapat. Sudahnya banyak disediakan untuk menghadapi apa yang tidak diketahuinya, tetapi sebuah penyerahan yang mutlak pastinya akan mengisi segala kekurangan yang terkurang - kata hatiku pada jiwaku.

Kesilapan kadang bukanlah satu kecelaan, cuma untuk menyatakan apa yang layaknya diterima. Mungkin sahaja kesilapan padanya itu adalah kesilapan yang terakhir tanpa lagi kemungkinan-kemungkinan yang hanya terus menggoyahkan keyakinan dan mengapi-apikan keraguan. Usah terus melayani fikiran itu dan biarkanlah semuanya berjalan menurut ketetapannya supaya tahu penyerahan itu di mana letaknya - kata aku pada diriku.

Musibah dan keuntungan itu lumrah kehidupan. Terima sahajalah aliran yang termaktub dalam hukum alam yang telah dilegalitasikan pada sunnatullah. Jangan kemurungan dalam putus asa kerana harapan sentiasa sahaja terbuka. Maka, bukalah hati itu untuk memperhatikan tanda-tanda kebaikannya - kata nuraniku pada sanubariku.

Tangisan hari ini kadang lebih berbaloi daripada hari esoknya. Pura-pura bertenang dalam masalah akhirnya terus merugikan yang bertambah-tambah. Mahu atau tidak mahu, hadapilah akannya dengan bijaksana - bisikku pada suaraku.

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/651131891604074
Dasar yang digubal dan perlaksanaannya kadang bukan selari. Kerana itu perlunya salah seorang daripada mereka ada yang muktabar berdiri untuk mempamerkan prinsip yang sebenarnya. Bukan daripada kepura-puraan yang bersembunyinya agenda tersembunyi, tetapi daripada lubuk hati yang benar-benar untuk memperjuangkan apa yang telah diikrarkan. Kerana itu kadang anak buah menghasilkan buah-buahan yang tidak ranum tetapi pokoknya tegap berdiri dan terus hidup menyempurnakan kehidupannya. Mungkin kenyataannya tidak pada kebanyakan, tetapi yang sedikit itu akan terus bertahan sehinggalah disambungkan generasi akan datang yang berpegang teguh dengan manhajnya. Walaupun bukan hari ini penzahiran keenakan sebiji buahnya, tetapi esok hari mungkin sahaja terbitnya kebangkitan dan nyata serimbun buah-buahan yang lazat dinikmati itu. Nantikan sahajalah dengan sabar - kata aku pada diriku.

Terpecahnya kita dengan bermacam sebab. Tetapi kesannya akan menghasilkan seperti apa yang telah kita saksikan. Berteori falsafah tetapi hanyalah kekosongan pada pelakunya yang terus bermain-main dalam andaian. Berhujjah mempertahankan cubitan ke atas dirinya, namun kegatalan ini terus menerus walaupun tidak rela untuk dilibatkan diri dalam sengketa itu. Permainan kehidupan terus berjalan sedangkan kita masih berpijak pada khayalan yang tidak berpenghujung. Padahal mereka yang telah menemukan kebenaran sudah berbahagia di taman syurga yang orang-orang dengki menyangka semuanya berakhir dengan kekelaman yang litup - kata hatiku pada jiwaku.

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/652442104806386
Kau telah menemukan kehidupan yang sebenar, maka bergembiralah di atas nikmat yang telah dikurniakan Allah. Sesungguhnya Allah tiada menyia-nyiakan rezeki untuk orang yang beriman. Lalu datangnya Rasulullah menyempurnakan akhlak yang agung dan menebarkan kasih sesama kita. Bersaudara kita teguh atas mukmin, berpesan-pesan atas kebenaran, kesabaran dan kasih sayang sememangnya menghiasi sepanjang kehidupan ini. Masyarakat mempamerkan pelbagai celoteh namun semuanya saling menyempurnakan yang lain kepada yang lain. Itulah keindahan kepelbagaian yang Allah jadikan untuk kita semua agar saling berkenalan. Jadinya, hiduplah dengan tenteram wahai teman... engkaulah sahabat sejati - kata aku pada diriku.

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/652606054789991
Kata hatiku pada jiwaku : Cerita sedap2 memang akan terhasil ghairah pada orang, tetapi belum tentu mereka akan komitmen untuk merubahkan keberhasilan mereka selama ini. Sebabnya mereka mahu lihat pendapatannya itu diperoleh dengan pantas, mudah dan cepat. Jika tidak mendatang dengan sedemikian, maka keraguan itu akan terus bermain sehinggalah menghasilkan persepsi yang berbagai-bagai untuk menolak dan berdalih daripada terus meniti atas titian itu. Memang itu kadang yang dihadapi para agen untuk mengembangkan bisnesnya. Perlahan-lahan semakin ramai melarikan diri dan menyembunyikan di balik wajah yang tidak dikenali dan tidak mengetahui kerana mahunya berlepas diri daripada apa yang mereka perbuatkan. Biarlah apa pun, bagi yang sudah menyedari hakikat ini dan faham kemas akannya, maka semua itu tiada lagi masalah yang terus membuka ruang masalah lagi.

Kata aku pada diriku : Dia tidak mahu, biarkanlah. Kuasa pengguna jangan dihimpitkan atas monopoli dan kekerasan kelak akan mengganggu circulation of equilibrium economy. Menindas dengan kuasa rejim di tangannya, bakal mengundang kejatuhan yang sengsara. Janganlah mengeksklusifkan pada pihaknya demi menghapuskan persaingan dan etnik yang kepelbagaian. Semua itu wujud semata-mata mengimbangi timbangan yang telah ditentukan takarannya.

Kata nuraniku pada sanubariku : Perbezaan pada fleksibeliti dan tegap pada konsitensi. Sememangnya perjalanan yang tidak putus. Innovatif akan memberuntungkan dan kreatif akan memperhasilkannya, namun bijaksana akan menyinari ufuk cahaya yang bakal menyentuh hati untuk menggerakkan sesuatu yang dicenderungi akan naluri.

Bisikku pada suaraku : .....................

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/653228248061105
Pada diam tersimpannya pelbagai yang berlegar. Persepsi dan persangkaan orang kadang boleh sahaja menjadi salah akan tanggapannya. Sebab itulah ia kadang menjadi musuh yang menakutkan kerana tidak tahu apakah yang bakal mendatang dan dinyatakan. Cuba memahami tentang apa yang ia diamkan, tetapi sayang tidak dapat untuk sentuhinya kerana ia menutup rapi pintunya. Terbiarlah akannya dengan andaian yang terus bertanya dan uraian yang tiada kekukuhannya. Entah apalah yang ia sembunyikan, tetapi mungkin sahaja dia lebih tahu daripada kita - kata hatiku pada jiwaku.

Seseorang kadang memilih jalan berdiam diri pabila dicucuknya dilemma padanya. Bukan kerana ia tidak tahu untuk berbuat apa, tetapi ia berat untuk diserlah untuk penyelesaiannya kerana pelbagai kekhuatiran yang mendatang. Demi menjaga fitnah dan goncangan akibat daripada lidahnya, maka ia terus menyelak tirai jendela agar tiada ketahuan akan orang tentang dirinya. Biarkan sahajalah, suatu hari kita akan mendengar bisikkan suara hatinya - bisikku pada suaraku.

Berkata-kata bukanlah semestinya ia menjelaskan tentang apa yang ada pada dirinya. Konteks itu boleh sahaja berlainan daripada lakuan yang ia gemerlapkan kerana indah khabar dari rupa itu bukanlah bagaikan selembar bunga matahari yang memancarkan sirnanya, cumalah supaya orang-orang itu akan kecewa padanya dan ia terseksa dengan dirinya yang dihanyut entah berentah - kata aku pada diriku.

Keindahan sang kekasih,
tergambar di tatapan ini,
wajah yang berseri,
mengukir senyuman diri,
terpikat hati menawan gayanya,
hilang bayangan sebuah misteri,
cinta bersemi bergetar jiwa,
di lubuk dalam hati ini
aku terbuai dalam syahdu,
nikmat rindu terisi meliputi,
bagaikan mentari yang terang,
sinar rembulan mewarnai malam,
engkaulah jelita yang berseri,
dakapan kehangatanmu....
merasakan kedamaian padaku....

Apakan daya lemah ini,
hanya menagih simpati,
dari orang yang tiada peduli,
terus meluahkan kekosongan,
melara di penghujung dunia,
menikmati sengsara yang berpanjangan,
dunia yang tiada kehabisan,
tidak tahu lagi di mana ingin berpijak,
tempat yang dituju hilang dalam pandangan,
semuanya lenyap sekelip mata,
tentang kebahagiaan yang ingin dikecapi,
kini merundum pedih menghiris sembilu,
pada hati yang kelembutan ini,
oh! apalah diriku ini?
menatap di langit sambil munajat,
mengharapkan cahaya mentari bersinari pagi.....

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/655496734500923

Tuesday 23 August 2016

Tuhan...
yang dicintai dan dirindui,
yang dipuja dan diabdikan,
cahaya-Nya sangat terang,
memenuhi temasya dunia,
sebati dalam Nur Muhammad,
mewarnai bayangan Adam,
kerana insan adalah karya seni,
di dalam qalbu yang dalam,
rahsia dalam rahsia...
tajalli ketuhanan yang terpancar,
di sini dan di sana...
wajah-Mu sangat indah..
jiwa ini sentiasa mencium haruman-Mu,
sentuhilah aku....
dengan tangan kanan-Mu yang perkasa,
renggutlah kerongkongku..
dan bawalah aku ke hadrat Arasy-Mu...
biarkan aku bersemadi di sana...
dalam dakapan-Mu..

ingatlah dan ingatlah!
kerana kita sentiasa pelupa,
di saat yang begitu genting,
bagai nyawa di hujung ajal,
kita mengejar dalam terdesak,
mencari untuk apa yang dituntut,
memenuhi diri yang kekosongan,
walaupun darah menjadi korban
atau orang lain ditumbangkan,
atau harta ini dilerahkan,
kita sudah tidak peduli,
biarkan huru hara bergelumang,
dan dosa bertaburan meratah,
makhluk tamak mengejar serakah,
hawa nafsu yang sangat merapah,
bukankah sentiasa Azazil bertepuk riang?
dengan irama permainannya?
kita mengabdi dalam kuburan genggamnya,
ah! mengapa perlu untuk mengerti akan halnya?
biar kita nikmati semuanya dengan rela...
biarpun paksa merungut jiwa!

Nota Untuk Kekasih : Cinta - Pembeza Antara Kelazatan Dan Kebahagiaan.

Selamat menempuh hari-hari yang menjadi warna-warna cinta kita. Setiap saat yang kita lalui, adalah menjadi detik-detik yang bermakna untuk kita. Di samping untuk kenangan yang menjadi keindahan dalam memori, tetapi untuk menggapai kebahagiaan di hati. Sesungguhnya tidak ada yang lebih berharga melainkan kegembiraan dan ketenangan yang sentiasa sahaja menyinari hati kita.
Kekasihku! Kita hidup di era pasca di mana cinta semakin tidak dihargai. Bukan kerana kebenciaan dan persengketaan yang menjadi wabak dan epidemik yang telah pun semadi di dalam hati yang begitu dengki, tetapi disebabkan nilai cinta itu dieksploitasikan ke noda yang mencemarkan kesuciannya. Mereka hidup dalam fantasi dengan berpegangkan falasi yang mentafsirkan cinta dengan interpretasi yang salah. Mereka terhijab untuk menggapai hakikat sebenar kemuncak cinta itu sendiri. Biarlah aku jujur dan terus kepada poinnya secara langsung, iaitulah mereka tidak mampu membezakan antara kelazatan dan kebahagiaan dalam hidup bercinta.

Kekasihku! Tahukah kamu apakah perkataan yang sentiasa digunakan dalam komentar lamanweb Pornografi? Kajian daripada Pornhub pada 2014 yang telah dipublish dalam “Year In Review” di lamanweb-nya menyatakan bahawa ia adalah “Cinta”. Wow! Siapa sangka itu akan menjadi kalimah sebutan? Tetapi mengapa kalimah ini dipilih menjadi sebutan di tempat yang bersarangnya lucah yang tidak dapat digambarkan lagi? 

Kekasihku! Betapa ironik perkataan ini dijadikan untuk mengungkapkan hati yang terliur dari berahi seksual. Adakah ini cinta yang benar untuk diassosiasikan di dalam masyarakat di zaman pornografi sangat mudah untuk akses? Inikah cinta yang akan diciptakan, dihiaskan dan dimanifestasikan di zaman yang semakin ingin berkukuhnya otak-otak yang nakal di dalam masyarakat?

Kekasihku! Barangkali benar hipotesis Fight The New Drug, organisasi di Barat yang menentang pornografi; “Jika seks semakin mudah untuk akses, maka cinta semakin sukar untuk diperoleh”. Dengan suasana yang begini, kita akan semata-mata terliur dengan ketampanan jejaka atau kecantikan wanita untuk melelehkan sperma dan melegakan rakus rangsangan klitoris. Perlahan-lahan cinta akan berubah fasanya kepada yang lebih fasad. Mengerikan hidup di sekeliling yang penuh dengan kekotoran yang ditumpahkan! Tidak sanggup lagi untuk bersemadi di tempat yang bermandikan air mani yang melekit dan berebut takhta vagina yang menggodakan.

Kekasihku! Apakah kita ingin terus menjadi hamba cinta monyet yang meruntuhkan nilai-nilai kemanusiaan yang penuh dengan hikmah dan ahwal? Jika sedemikian cinta itu difahami, maka itu bukanlah hakikat yang dicapai. Bahkan selapis kulit daripadanya pun masih belum menyentuh lagi. Betapa tebalnya hijab mereka untuk mencapai isi yang penuh dengan makna. Sebab kita telah didoktrinisasikan, didodominasikan, dikuasai, dimononpoli dan dimomokkan oleh para perosak cinta.
Kekasihku! Di sebalik keseronokan dalam pornografi, ada sesuatu yang ia tidak menyampaikan sesuatu hakikat kepada kita. Iaitu nilai romantik, kasih sayang dan perhubungan emosional. Ini jugalah yang tidak ada dalam suasana cinta monyet yang menjadi tunggangan para hawa nafsu yang serakah. Komitmen terhadap cinta sejati telah hilang. Diganti pula dengan keghairahan terhadap seks semata-mata. Jadi, apa yang mereka kejar bukanlah cinta, tetapi keghairahan. Dan apa yang mereka ingin capai bukanlah kebahagiaan, tetapi sekadar kelazatan. Sekalipun mereka hias dengan puitis dan sesuatu yang dianggap cinta, ianya adalah palsu.

Kekasihku! Apakan lagi yang tinggal jika cinta sudah tidak bersemi lagi? Tinggal hanya ego dan ketamakan, bukan lagi kasih sayang dan romantik. Mereka tidak bertahan di dalam arus cinta sebenar. Kelazatan telah mencengkam dalam jiwa mereka tanpa sedar, yang merupakan hijab di hati mereka. Sebab itulah mereka enggan untuk menghadapi kepayahan dalam bercinta. Mudah merajuk apabila berlaku perselisihan, cepat mengalah apabila di-reject, enggan untuk menghadapi emosi yang negatif daripada pasangan, tidak mahu tabah dalam kepayahan yang mulai menimpa mereka, takut menghadapi keraguan dan kebingungan. Semua ini tidak ada dalam keghairahan dan kelazatan yang di dalamnya ketamakan dan ego.

Kekasihku! Bukankah apabila seseorang itu mulai berseminya cinta, maka kegembiraan kekasih adalah hembusan dingin salju yang romantis, kemarahan kekasih adalah kehangatan api cinta yang membara, kesenangan bersama kekasih adalah hembusan udara yang segar dan kepayahan bersama kekasih adalah merenangi duri tajam yang penuh dengan cinta. Semuanya menjadi sastera yang bernyawa di dalam hati. Alangkah indah sekali kehidupan ini. Sama ada kepahitan atau kemanisan memori yang dikenangkan atau apa jua liku kehidupan yang dilalui, kita merasa puas, redha dan sentiasa terbuka dengan arus yang dibawa oleh cinta ini. Inilah yang seninya. Seni yang tidak akan mengerti melainkan mereka yang benar-benar menyelami hakikat cinta.

Kekasihku! Demikianlah sedikit sebanyak pembeza antara keghairahan dan cinta. Juga antara kelazatan dan kebahagiaan. Ketamakan dan ego hanya mengambil sebagai pemilihan buffe yang mereka boleh bersikap selektif untuk sesuka hati atau tanpa mereka sedari. Namun, tidak pada romantik dan kasih sayang yang menerima pakej yang ditentukan untuk kepentingan yang lebih baik lagi. Bagi para peghairah, mereka seolah-olah hanya mengambil lambung kapal itu sahaja dan mengabai bahagian lain. Ya, kesudahannya mereka menenggelamkan kapal itu sendiri! Belum merenang arus gelora sudah pun hanyut. Begitulah mereka yang belum sampai pun pada kulit daripada isi cinta itu sendiri.

Kekasihku! Itulah apa yang telah diungkapkan oleh Allah Ta’ala tentang sikap orang yang menyembah-Nya. Dia berfirman :

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَعْبُدُ اللَّـهَ عَلَىٰ حَرْفٍ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ ﴿١١

“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi; maka jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah ia ke belakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata” (Surah al-Hajj ayat 11).

Sekarang adakah engkau faham, wahai kekasihku?

Kekasihku! Jangan lagi memperjuangkan ketamakan dan ego. Hanya ada dua pilihan sahaja jika engkau menempuh di atas jalan ini. Jika kau mendapat, hanya pelir dan puki sahaja yang mendapat kemanisan, tetapi di hati tidak ada apa-apapun yang mendapat. Jika kau tidak mendapat, maka kekerasan akan mulai terjadi. Demi menjustifikasikan delusi yang diangan-angankan. Nilai kasih sayang dan romantik yang hilang akan diakhiri dengan sadis dan kejijikan. Dan itulah yang terlakar di dalam catatan sejarah dan juga apa yang kita lihat sekarang ini.

Wahai kekasihku! Dengan itu kita mulai bersama-sama untuk muhasabah dan menilai semula terhadap diri kita. Tentang intepretasi cinta yang telah kita semikan. Apakah di dalam delusi yang direka-reka tanpa disedari atau di atas hakikat cinta yang sebenar? Suasana yang penuh dengan tipu daya adalah kesukaran untuk kita. Bukan kerana banyaknya pendapat tentang pentafsiran, tetapi kerana tertutupnya mata kita dalam menilai cinta. Penggalian untuk sampai kepada kemuncak tidak mudah, lebih-lebih lagi cinta monyet dan pornografi yang meluas empayarnya dan berkukuh pula di dalam sanubari masyarakat. Itulah cabaran bagi pecinta. Melepasi keghairahan dan kelazatan yang terisinya ego dan ketamakan, tanpa kita sedari atau walau kita menafikan adalah kesukaran yang begitu pedih sekali ditelan. Tetapi percayalah bahawa jika cinta sejati itu ditemukan, segala kepalsuan akan hilang dan kebenaran akan terzahir. 

Kekasihku! Ilusi memang menyeronokkan dan menggiurkan. Kita akan sanggup berbuat apa sahaja mempertahan akannya daripada musnah, tetapi mahukah kita untuk sesuatu yang lebih baik dengan mengorbankan apa yang menjadi lumuran pada darah daging, jasad dan jiwa kita? Dapatkanlah cinta sejati itu dan perkenalkan kepada dunia tentang cinta yang sebenar. Dunia memerlukan kemerdekaan dan pembebasan daripada kenodaan cinta yang terus menerus merogol dan meliwat mereka.
Kekasihku! Hiduplah di atas cinta. Cinta itu penuh dengan keindahan dan kebahagiaan. Di sinilah tempat kita bersemadi dan melangsungkannya. Kerana kebenaran dan keadilan yang ada di dalamnya, kita bertahan di sini.

Sekian.
Yang sentiasa mencintamu,
Marzuka Martillo

Rujukan