Monday 5 September 2016

Kalau mulut dah asyik menyebut "baik daripada Allah, buruk daripada manusia"... yang terasa hati orang hina tu kenapa? Dah namanya manusia... mestilah dapat tempiasnya akan keburukan, apa masalahnya lagi? Biarlah mereka terus menghina, sebab memang kehinaan memang layak dituju pada kita. Carilah jua keredhaan Allah itu. Adakah dikritik itu tanda dihinakan?

Ma'rifatullah. Sangat berbeza orang yang berkhayal dan merasa. Sangat berbeza jua orang yang yakin dan bersangka. Masing-masing pertahankan pendirian terhadap apa yang ia genggamkan. Terus menerus berselisih sehingga tertimbulnya kekeliruan mereka yang berjalan mencari kebenaran untuk direnungi. Ada juga yang ingin menjadi hakim. Menjadi hero di hadapan orang tetapi dikuasai oleh iblis yang bersembunyi. Nyata makrifat itu... semata-mata untuk menyatakan dirinya sahaja. Jangan tersilap faham kenyataannya kerana itu akan memalingkan diri kepada kesesatan yang jauh. Kalau Allah membukanya, entah apa lah yang bakal terjadi mereka menyaksikan dan merasakannya. Hanya Allah dan dirinya sahaja yang mengetahuinya.

Oh makrifat..
keindahan gubahanmu,
tidak terlukis dalam wajah,
misteri yang menyimpan rahsia,
tersergam indah dalam sembunyi,
debaran yang menggegar jiwa,
aku mencarinya mengapa tidak ditemuinya?
aku menunggu mengapa tidak dihadirkan dirinya?
aduhai... entah apa lagi yang perlu aku lakukan lagi?
untuk sampai bila aku terus
bersangka tentang Tuhan Yang Agung?
Oh! alangkah pilunya jiwa ini...
mengenangkan kenistaan yang menyelimut diriku..
siapa lagi yang boleh selamatkan fitnah ini...
melainkan hanya Allah Yang Pemurah?
Nafsi... nafsi... nafsi...

Bab hakikat usah diminta penjelasan, kerana ia memang tidak ada penjelasan. Orang marah kalau terangkan secara sekerat-kerat yang menyebabkan kekeliruan orang, tetapi nak buat camna hakikat ini memang sekerat-kerat penerangannya. Bagaimana nak menguraikan rasa manisnya iman? Hanya ibarat atau perumpamaan diberikan mudah-mudahan membawa ia kepada faham akalnya, supaya dari akal turun ke hati untuk benar-benar merasa. Bersyukurlah orang beri ibarat tentang hakikat sesuatu, kalau tak entah sampai bila orang nak mengerti? Diberikan ibarat atau perumpamaan bukannya jenis orang yang tidak menyampaikan dengan jelas, menyembunyikan kebenaran, sengaja menimbulkan kekeliruan, mencari perbalahan dan menyusahkan orang.

Kalau masih mahu bersyarah-syarah dalam ilmu, berterusanlah ia dalam persangkaan. Sangat berbeza orang yang benar-benar merasa dan berkhayal tentang manisnya iman. Sangat berbeza orang yang yakin dan bersangka tentang manisnya iman. Jika disuruh mencari sendiri jawapan itu bukan bermakna orang itu kedekut ilmu. Cubalah renungi bagaimana hendak menceritakan manisnya iman. Mampukah ia disyarah panjang berjela-jela? Merasa sendiri manisnya iman, barulah mengerti apa yang ingin difahami. Kalau mahu berhujjah lagi bab hakikat ini jangan diharapkan ditemukan jawapannya. Kalau peroleh pun hanya gambaran kasar sahaja yang bakal diperoleh, selebihnya jawapan itu tinggal diusaha sendiri.

Kasyaf paling penting adalah dapat mengenal tipu daya syaitan. Setakat dapat tengok rupa menakutkan syaitan tetapi syirik yang tersembunyi masih melekat dalam diri buat apa? Mencari kasyaf bukan mahu mencari karamah, tetapi mahu selamat dari bisikan kesesatan syaitan. Sampai bila mahu mengaku kenal Allah tetapi hatinya kotor dengan syirik? Sampail bila mahu terus menipu diri sendiri? Sampai bila mahu diinjak-injak oleh syaitan sampai ke neraka. Jangan pandang kecil dan remeh terhadap syaitan. Ia lebih penting dari makan dan tidur! Kalau makan dan tidur masih dalam tipu daya syaitan, alamat celakalah nasibnya.

Iblis nyata khayalan tentang sesuatu dan bersangka-sangka dalam pegangan. Kasihannya, tertipu dengan permainan bahasa. Bermain-main dalam gubahan indah sastera yang menggiurkan pembacaan. Akhirnya bertaut pada tulisan, bahasa dan kalam yang mati. Kalau sudah tidak melihat kenyataannya dan tidak mengenal tipu daya syaitan, sampai itulah masuknya dalam kesesatan yang jauh dalam kelicikan dan kehalusan. Mabuk tapi pura-pura mabuk, masih mencari-cari takwil dan meraba-raba yang betul, akhirnya terhijab daripada kebenaran.

Cubalah bersabar sikit nak cari kebenaran. Jangan gopoh. Ikut tertib dan berdisiplin. Kalau semua nak sumbat secara terus, tak ada gunalah penantian dan kesungguhan mencari jawapan itu sendiri. Jawapan yang tidak diberi secara direct bukan bermakna orang itu tak sudi menjawabnya, tetapi mungkin sahaja kamu masih belum layak menerimanya lagi, atau jawapan itu hanya diri sendiri tahu, tinggal mencarinya sahaja atau mungkin sahaja belum waktunya untuk dibuka fahamnya. Tidak berikan jawapan secara direct belum bermakna ia tidak mengetahui jawapannya atau ia tidak menyampaikan secara jelas. Kadang-kala diberi kiasan atau penerangan ringkas supaya kita mengenal erti penantian waktu yang bakal tiba dan kesungguhan mencari jawapan itu sendiri.

Orang-orang kafir bertanya bila waktunya kiamat? Jawapannya tunggu sahajalah saat itu dan kamu akan saksikannya. Tunggulah kerana kami juga termasuk orang yang menunggu. Tak guna terus bahas lagi, biarlah mereka nak ejek kita tak memberi jawapan kerana tidak semua soalan perlu dijawab. Dan Allah suruh memerhatikan langit ini, ada apa pada langit ni? Pergilah keluar rumah, tengok ke langit, kemudian rasailah dan saksikanlah sendiri apa hasil yang kamu dapat. Jawapan itu bergantung pada masing-masing. Kalau minta jawapan dari orang pun, kadang tak sama untuk orang lain. Setakat tahu macam tu je la. Jadi, tak perlu nak desak orang supaya beri jawapan secara direct dan cepat. Belajarlah erti penantian, kesungguhan, tertib dan berdisiplin dalam mencari kebenaran supaya hasil yang diperoleh bakal menguntungkan kita.

"Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang, maka ulangilah pandangan! dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah pandanganberkali-kali, nescaya pandangan itu akan berbalik kepadamu dengan hampa, sedang ia pula berkeadaan lemah lesu". (Surah al-Mulk ayat 3-4).

Puisi lagu yang terlakar,
cinta yang bersemi dalam kasih,
betapa sang pecintai merindui kekasihnya,
berkeliling dalam penjara sunyi,
hilang arah mencari waras,
gila yang entah gila,
siuman yang tidak lagi mencengkam,
khayalan yang pudar dari pandangannya,
terbuka luas rahmat yang dilimpahkan,
apa lagi untuk ditanyakan?
luahan kasih yang pekat di hati,
tidak ada lagi kata-kata syahdu dari bayangan,
semuanya realiti yang bahagia abadi,
aku tidak lagi mampu berdiri tinggi,
rebah ke bumi bersemadi di dakapan kekasih

Tenggelam dalam khayal,
melayani fikiran yang tak berkesudahan,
hilang sedar dalam nyata,
ghaib yang tidak pada tempatnya,
merasa telah hilang dari pandangan orang,
tetapi penzahirnya tetap kelihatan,
dunia kekacauan menumpah darah,
riuh suara berteriak menyuarakan kepedihan,
hati tidak lagi merasa damai dan tenteram,
keliru terus bertanya tentang yang tidak pasti
penghukum yang sombong mengangkat diri,
memukul orang tanpa peduli pertimbangan
alangkah bodohnya tindakan itu,
matahari membakar menyinari cahaya,
mengapa mereka menyajikan hidangan yang busuk?
atas nama kemuliaan meninggikan megah mereka?
pinggir orang dikejar lalu dibunuh,
dekat orang diperbudakkan lalu menjadi anjing,
tunggulah saat masa yang bakal menjelang,
hari keadilan yang mentampakkan kebenarannya....

Permainan bahasa,
engkau nyata di situ...
wahai Iblis yang berselindung,
mereka terus menggubah puisi,
dari sastera yang menggiurkan,
bacaan yang memukau,
mereka semakin berjauhan,
entah ke mana disesatkan,
namun mereka masih merebut,
berlumba berkhayal dalam fikiran,
dalam fantasi yang tiada sedar
penjara yang meliputi dirinya,
dalam bahasa engkaulah hurufnya,
dalam huruf engkaulah suaranya,
dalam suara engkaulah kenyataannya,
sungguh mereka tidak menyedari...
tipu daya licik yang engkau permainkan,
dalam permainan bahasa....

Perselisihan terus berjalan tanpa hentinya. Kekacauan sana-sini tidak pernah senyap. Arus media dan suara-suara terus menyebarkan provokasinya demi mempertahankan pendirian masing-masing. Kemanusiaan tidak lagi ada, yang ada hanyalah kepentingan diri. Orang-orang yang menyampaikan kebenaran itu menjadi terasing dan diasak seperti hamba yang hina. Entah mengapa mereka terus bermain-main dalam suasana yang merugikan diri sendiri.

Demi masa! Betapa mereka telah hilangnya harga diri. Iblis duduk megah dalam takhtanya dan syaitan bergembira suka ria menyaksikan kejahatan dan pertelingkahan yang meletus dan berpanjangan. Kasihannya seorang penegak kebenaran yang sejati. Hero wiranya tidak menjadi sebutan orang. Sembunyi dalam debu yang menghilangkan jejak mereka. Kerana musuh begitu dengki mereka yang memberontak ke atas mereka. Namun haruman mereka yang perjuangkan kebenaran itu, tetap dihidu bagi mereka yang benar-benar mencarinya.

Allah dan Rasul-Nya ceritakan sesuatu dalam al-Quran dan Hadis supaya dapat petunjuk, bukan berkhayal dalam cerita. Tu yang bila berkhayal banyak syok tapi duduk dalam sangkaan. Cerita yang diceritakan Allah dan Rasul-Nya bukan jadi bahan penglipur lara dan tempat nak hilangkan bosan, tapi supaya celik mata untuk lihat kebenarannya.

dalam cinta ada getaran,
dalam getaran ada rindu,
dalam rindu ada kasih,
dalam kasih ada bahagia,
dalam bahagia ada ketenangan,
dalam ketenangan ada pengenalan,
mereka terus menghuraikan tentang cinta,
dalam lembaran kertas dan bicara lidah,
tetapi malangnya....
mereka menyangka tentang cinta,
berkhayal tentang percintaan,
terus menipu diri sendiri,
di balik topengan wajah yang berilmu,
alangkah nodanya kotoran mereka,
faham dibuat-buat faham,
mabuk dibuat-buat mabuk,
gila dibuat-buat gila,
entah apa lagi sesat dalam bermain dari bahasanya?
dalam penjara yang ia buta melihatnya?
layaknya watak burung kakak tua untuknya,
itulah kebodohan yang menimpa mereka...
Jangan terperangkap dalam permainan bahasa kerana bahasa sekadar menyatakan kenyataan sesuatu yang nyata. Maka janganlah tertipu dengan kenyataan. Kias, perumpamaan, ibarat dan puisi sekadar menyatakan jalan untuk difahaminya bukan dijadikan pegangan. Tidak ada susah pun untuk memahami apa jua corak bahasa yang mendatang. Bagi yang merasa dan sudah menyaksikan dalam pengalamannya tidak ada apa lagi yang dikhuatirkan. Tetapi yang dibimbangi orang yang tidak ada apa-apa bekalan, tentunya terperangkap dalam fikiran, khayalan dan persangkaan. Kalau tidak mengenal apa yang tersurat dan tersirat dari bahasa, mudah sahaja dimakan tipu dayanya.

Tidak sukar pun untuk memahami apa yang dikhabarkan, diberitahu, diungkapkan, diberitakan, disampaikan, diucapkan, dikatakan, dinyatakan dan diceritakan. Tetapi kerana kita yang terlalu bermain-main dalam bahasa, itulah penyebabnya sesatnya jalan yang ia sendiri tidak menyedari ia telah sesat! Dalam alam kerohanian yang tidak ada bahasa, suara, tulisan dan gambaran, tentunya orang yang sudah melaluinya akan mengerti. Belum lagi dikatakan ia telah memulakan perjalanan yang halus lagi seni jika dia terus berputar-putar dalam bahasa.

Sesat dalam rindu mencari kekasih, ku sanggup tanggalkan segala jua pengorbanan semata-mata untuk-Mu. Aku hilang dalam kewujudan dimabukkan kecintaan yang tiada dingin dan hangatnya. Oh Tuhanku! Aku semakin mendekati-Mu... jalan yang jauh ini, terasa dekat dan mendekati. Entah di mana lagi bumi ku berpijak dan langit yang aku tembusi, Engkau terus mencurah kasih-Mu padaku. Nikmatnya ini... bagaimana lagi aku ingin membalasnya? Padahal gubahan puitis ini tidak mampu menandingi keagungan cinta yang Kau berikan. Demi nama-Mu yang terindah! Tiada lagi aku gusarkan terhadap apa-apa yang mendatang! Kerana hidup dan matiku hanya untuk-Mu... segalanya ku serahkan pada-Mu..... telah ku musnahkan seluruhnya, walau diriku yang rebah di tanah sujud kasih-Mu.... semata-mata Engkau sahaja tempat tersemainya cita-cita yang tertinggi!

Orang yang mendapat watak jahat dan berlakon dalam watak jahat, tak patut kita panggil jahat sebab ia menjalankan tugasnya. Bukan dia mahu, tetapi kerana perintah dan taat setia serta kecintaan yang mendalam terhadap tuan yang ia abdikan dan diserahkan segalanya, ia sanggup berbuat apa sahaja semata-mata demi melaksanakan amanah yang diberikan. Sangat mendukacitakan orang yang mendapat watak baik, kemudian mencela orang yang berlakon watak jahat tetapi dia pula yang menjadi jahat dan melupakan amanahnya untuk melakukan kebaikan. Patutkah begitu? Inilah kebodohan yang bersarang dalam diri pada orang-orang yang sudah tertipu dengan diri sendiri.

Biarlah mereka sangka kita tidak mengenal, biarlah mereka menganggap kita bukan orang yang selayaknya, biarlah mereka memandang kita dengan ejekan, biarlah mereka melemparkan apa-apa ke atas kita dan biarlah mereka berkata apa pun, tugas kita bukan memuaskan sesiapa, kerana kita hanya menyampaikan. Kalau mereka tidak dapat memahami mahupun menerima mesej kita, biarlah Allah yang menentukan. Bukan sama keperluan yang diperlukan, kefahaman yang perlu diambil dan kehendak yang dipenuhi pada setiap orang. Sebab itulah jangan merungut kalau tidak mendapat nasib yang sama seperti orang lain atau tidak dapat mengelak dari nasib yang seperti orang lain kerana hikmah perjalanan takdir pasti ada sebabnya.

Sentiasalah bersatu dalam jemaah dan tinggalkan mereka yang suka mencari kebodohan orang dengan memisahkan dirinya dengan orang lain. Kerana bukan mereka yang kita mahu carikan keredhaan, tetapi Allah jua tempat disandarkan segala urusan.

Mencari semula cahaya yang hilang.... dari pandangan yang gemerlapan. Terang benderang menyinari dirinya yang hilang dalam kegelapan. Sekarang telah berlalu cahaya itu... perlahan-lahan ia meninggalkan ku. Aku mengejarnya namun tidak kesampaian... Aku menjejakinya namun tidak ditemukan... Aku memanggilnya ia tidak ke mari... Aku menanti kehadirannya semula namun hanya tinggal impian yang sia-sia.

Oh! Betapa bayi itu menangis kerana bakal dihantarkan ke dunia yang ia melupakan penyaksian ketika mana Tuhan Maha Pengasih meniupkan ruh-Nya padanya. Kini insan itu telah menyedari kealpaan tujuan hidupnya mencari semula hakikat diri yang telah ia ikrarkan, janjikan dan diamanahkan. Lalu berjalanlah ia semula mencari dalam pantulan gelap dan terang, baik dan buruk, haq dan batil demi mencari Tuhan yang sempurna menanti kehadiran kita..... tetapi mengapa aku masih terperangkap dalam penjara bahasa yang terus mempermainkan daku?

Ya Tuhanku..... selamatkanlah aku dari fitnah diriku sendiri.

Layakkah seorang miskn yang menerima RM 2 juta dari orang kaya kemudian mendabik dada, "aku sudah kaya"...??

Tak kiralah apa pun sebutan namanya, yang penting madh'u barang yang ditujukan itu menepati apa yang dikehendaki. Walaupun nama penting, tetapi jika nama itu berubah dengan apa-apa nama lain sekali pun, barang yang dimaksudkan tetap tidak berubah. Kalau kerusi ditukar nama almari, tetap tidak mengubah hakikat kerusi itu, tetap dituju pada barang itu. Sebab itulah berjaga-jaga dengan permainan bahasa. Kadang bunyinya seperti tidak ada dalam kamus atau kefahaman biasa orang, tetapi sebenanrya barang yang ditujukan ada tersedia. Cuma mungkin ketidaksedaran keberadaan barang itu menyebabkan adanya yang tersalah faham, terkeliru dan tidak tahu langsung

Apapun yang pasti, bahasa kadang sekadar percakapan atau tulisan sahaja, belum tentu kenyataannya dapat dinyatakan. Nyata itu jelas, terang dan benar, tetapi mungkin terbelit dalam pusing-pusingan bahasa sama ada istilah rumit, filosof teori yang banyak atau yang lain menyebabkan sukar ditangkap maksud yang ditujukan. Mudahkanlah jangan disusahkan...

Pandai pulak bahagikan jodoh ada dari Allah, syaitan dan malaikat. Tapi bila pulak mahu mengenal ilham dari Allah, syaitan dan malaikat? Tiap2 hari dok istikharah nak mintak pasangan baik, tapi tak mau nak kenal ilham dari 3 ni. Last2 ilham dari syaitan dianggap dari malaikat pulak. Bertambah-tambah sesat tu satu hal. Tapi khuatirnya jawapan dari sesuatu persoalan atau istikharah yang datang dari bentuk ilham sama ada dari mimpi atau isyarat jadi tak nampak, buat2 tak peduli atau tak tau langsung. Kan merugikan diri sendiri tuh. Belajar perlahan-lahan dan lakukan secara tertib dan berdisiplin.

Sibuk sangat mengejar syurga tuuu sampai lupa nak mencari dan mengenal Empunya punya syurga.. Kesiannya kita yang tak mengenang budi.

Orang tak merasa memang akan pertikaikan orang merasa.... ada apa pada perumpamaan, ibarat dan kiasan ni? Ianya boleh sahaja dipertikaikan, sebab itulah ia tidak boleh jadikan pegangan.. sekadar membuka jalan untuk pahamnya di mana. Apabila sudah merasa dan sampainya tujuan paham padanya maka ia tidak boleh diragui lagi dan dipertikaikan lagi. Datanglah apa pun, katakanlah "Allah!" dan biarkan orang-orang bodoh terus memperolok-olokkannya.

Inilah jalan hidupnya.. pabila Allah kurniakan pahamnya, maka telusurilah apa yang dibukakannya, hakikat itu akan membawamu pada makrifat. Siap tapak itu kau akan disemai dengan keyakinan yang utuh. Penglihatanmu bukan penglihatan mata, pendengaranmu bukan pendengaran mata, rasamu bukan rasa kulitmu, gerakmu bukan gerak tubuhmu dan reaksimu bukan reaksi tindakanmu. Tetapi tenaga yang terlahir dari cahaya yang terang benderang menyinari kegelapan malam yang diliputi dengan kabut yang menutup keterangan yang nyata. Tiada lagi kepura-puraan dan tiada lagi kekeliruan, semuanya sudah jelas, terang dan terjawab.

Apabila kau meminta pasti kau akan diberi, apabila kau berhajat pasti akan dipenuhi, apabila kau mengharap pasti kau akan dikabulkan dan apa sahaja yang kau lakukan, semuanya akan tercapai. Tetapi dunia yang berpijak ini sudah usang, lapuk, rosak dan lama... oleh itu aku pulang di mana seluruhnya akan kembali padanya.

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/603403333043597
Aku terus meluah dan meluahkannya.... walaupun tiada seorang pun mengambil peduli, kerana aku bukan pemuas mereka. Biarlah perasaan ini terus berlanjutan sehingga sakit yang ditimpa itu berbeza sakit yang pernah dirasai sebelum ini dan kelazatan itu berlainan dengan kelazatan yang pernah dinikmati sebelum ini. Mendayung sampan bermadah puisi. Jalan yang ku lalui rupanya agak jauh,,,, tetapi aku semakin mendekati. Aku tak tahu kenapa aku akan terus mencuba dan mencari puncak pencarian yang entah telah hilang atau tidak disedari keberadaannya.

Hanya untukku. Kalau ianya diintai tidak nampak, kalau dicari tidak jumpa dan kalau ditunggu ia tidak hadir... tiba-tiba ia muncul tanpa diduga... hendak buat bagaimana lagi.. kerana hidup bukan untuk menduga-duga. Aku tahu tiada apa lagi luahan untuk aku terus ungkapkan, tetapi biarlah jiwa yang menari dalam lagu sunyi ini terus bermain sehinggalah tidak ada lagi kebiasaan yang biasa untuk dibiasakan.

Faham syahadah kalau setakat mengucap pastu syarah sana sini panjang lebar siap bawak rujukan kitab tebal berjela-jela nak perincikan tu burung kakak tua pun boleh. Tapi apa beza syahadah burung kakak tua dan insan?

:::Usah menjadi binatang tanpa sedar:::

Mereka yang diberikan watak jahat dan melakonkan watak jahat serta melaksanakan amanahnya sebagai watak jahat tidak dipanggil jahat sebab mereka menjalankan tugasnya. Jadinya korang dok ngata kat dia macam2 pun, kisah apa kat dia? dah memang dia menjalankan watak jahatnya, sebab tu la perangainya memang jahat pun, korang kata lah apa pun dia memang jahat sebab dia memang memegang watak jahat. Daripada korang dok mengata mereka yang mendapat watak jahat ni baik korang p tengok pulak orang yang diberikan watak baik dan melakonkan watak baik tapi dia tak melaksanakan amanahnya sebagai wakak baik.. ni barulah jahat yang sebenarnya.

Selalunya orang yang dapat watak baik ni lah perasan bagus. Kononnya rasa beruntung dapat watak baik, maklumlah konon nasibnya bakal menjadi baik, tapi setakat sembang aje lah... hahahaha... siap lagi nak ngutuk bagai mereka yang dapat watak jahat dan melakonkan watak jahat... tapi perangai orang yang dapat watak baik jenis macam ni kadang perangainya lebih jahat dari mereka yang dapat watak jahat... orang camnilah korang patut kasi sembur sebab mereka ni bodoh sombong, ego, lagi tak sedar diri. Dah dapat watak baik jalankan tugas sebagai watak baiknya. Mereka yang dapat watak jahat biarkan mereka nak lakukan apa sebab mereka memang dapat watak jahat, kau orang yang dapat watak baik tak usahlah nak p hamun macam2 kat dia.. hahahaha.. masing2 punya jalan dan watak.. teruskan laksanakan amanah... aku ulang amanah masing2 wehh..!!

Masakan bercinta yang mengaku sanggup meredah lautan api tetapi takut untuk menghadapi penghinaan orang lain dan menjaga tepi kain mereka yang terus menggoyahkan pendirianmu? Bukannya engkau lemah, tetapi kerana keyakinan di dalam diri tidak kuat terhadap kepercayaan sesuatu, sehingga angan-angan lebih banyak bermain daripada kenyataan yang sebenarnya. Tak kenal maka tak cinta, dalam cinta adanya keyakinan terhadap apa yang ia percayakan. Kalau setakat diperosok seluruh tubuh dan jiwa kerana menggenggam cinta yang agung maka tidaklah itu menyakitkan melainkan kenikmatan yang ia rasakan.

Biarlah mencuba itu tidak disertai dengan pendugaan sebab jalan cinta bukan menduga. Kerana kalimat cinta yang agung ini, akan menjadi bekalanmu sepanjang jalan. Berjalan di atas duri yang tajam, berenang di lautan yang luas dan terbang di alam angkasa yang tiada berpenghujung, engkau tidak merasa kepayahan... yang ada hanyalah rindu mencari kekasih yang dicintai. Mabuk atau sedar... gila atau waras tidak lagi peduli. Dendam rindu yang membara ini membakar seluruhnya sehingga semangat ia menjulang tinggi menggapai mahkota kekasih yang tidak ternilai jual beli harganya. Bertahanlah! Kerana kebenaran itu pada pencarian yang tidak mengenal erti jemu dan lelah.

:::Oh kasih!:::

Mencari kasyaf bukan nak sandang wali atau peroleh karamah, tapi kasyaf yang penting adalah dapat kenal tipu daya syaitan. Syaitan ni datang dengan pelbagai rupa, warna, corak, gaya, cara, gambaran dan bayangan. Kalau tak kenal syaitan, alamat duduk lah korang dalam menipu diri sendiri. Pohonlah pada Allah agar dikurniakan kasyaf supaya syaitan yang datang beranka ragam dapat dikenal pasti. Kalau takat kasyaf nak tengok rupa jin tu macam mana buat apa kalau tak beri manfaat pun untuk memperoleh hakikat yang menyempurnakan syariat sekali gus membawa kepada makrifat? Berjaga-jaga dalam perjalanan rohani agar tidak sesat dalam bayangan khayalan.

::::Syaitan yang rupa menakutkan tu lah yang pedulinya, tapi hari2 dok bernafas hembusan syaitan.. ish ish ish ish::::

Bergembira dan serius, biarlah bijak untuk menyilih ganti nya sepertimana bersilih gantinya siang dan malam. Usah berlebih-lebihan kelak ia akan menyusahkan dirimu sendiri apa yang telah mudah. Sedarilah bumi itu terus berputar pada pusingannya dan beredar pada orbitnya yang ditetapkan sehinggalah kiamat yang benar akan mendatang. Beringat-ingatlah tentang apa yang telah kita lakukan selama ini baik yang lahiriah atau batin supaya tidak mencemarkan tapak yang suci bersih dari kekotoran.

:::::Dirundum kekeliruan, tiada ubatnya... hanyalah berlegar-legar dalam pusingan gasing::::::

Tak habis2 nak nampak syaitan tu bertanduk, rupa menakutkan dan macam2 yg menyeramkan tapi dalam kalangan manusia.. iaitu pada diri sendiri pun tak nampak. Sibuk cari kasyaf nak tengok rupa syaitan mcm mana, p pergi penjara pudu nak tengok hantu.. Tapi tipu daya halus punyalah tak mau nak mengesannya. Makin dapat kasyaf, makin senang ditipu oleh syaitan. Pergi terbang jauh2 nak melontar batu pada jamrah nak melontar pada syaitan katanya, tapi syaitan dalam diri mau lontar apa?

::::Kami jadikan para Nabi musuh bagi syaitan dari kalangan JIN dan MANUSIA.. (Surah al-An'am)::::

Berubah pandangan... tahqiq kefahaman... itu tanda sudah memperoleh pengalaman... dari merasakan dan menyaksikan... belajar daripada kebathilan dan bertahan pada kebenaran, kerana sulit itu tidak ada keraguan, yang tampak hanya pelajaran bagi yang berakalan. Semoga menemukan jalan kepulangan, yang sebenar-benar kebahagiaan.

Untuk apa bimbang lagi? Bukankah teman yang ada itu hanya khayalan dan musuh yang mendatang itu imaginasi? Hanya semata-mata syaitan itu menakutkan dan menambah jauhkan kesesatan dengan was-was dan kegelapan yang ia pancarkan. Gerombolan sekawan datang mengangkat kamu ke tempat tinggi dan berpusu-pusu musuh yang memberontak semata-mata untuk menjatuhkan kamu, tetapi sayang... mereka tidak mampu memberi mudarat dan manfaat melainkan Allah Ta'ala sahaja. Maka kenallah sahabat sejati dan musuh sebenar... maka kepalsuan dan kebenaran itu pasti akan dinyatakan dengan jelas, terang lagi bersuh. Jadi, marilah lenyapkan ilusi yang menghalang perjalanan kita dan terbanglah kita menuju ke hadrat Ilahi yang agung.

:::::Menenangkan diri pada keraguan yang timbul:::::

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/611230245594239
Bercerita tetapi masih duduk atas cerita... sudah macam penglipur lara. Sejarah yang terukir membentuk hari ini, tetapi malang kalau tidak dapat nyatakan kebenaran itu walaupun cerita itu benar. Duduk berkhayal dalam cerita dan berpusing-pusing alam cerita sehingga tak sedar bumi yang dipijak. Fantasi dan khayalan... cerita yang benar menjadi bahan bualan sahaja, namun kenyataan itu tidak mampu dinyatakan. Sayu nya..... hijab yang memenjara dalam ketidaksedaran.

Orang pandai akan melekehkan orang bodoh dan orang bodoh akan mendengki orang pandai. Permainan biasa yang sudah bermain setiap hari.... masing2 mahu memenangkan untuk diri. Toleransi hanya cakap2 sahaja untuk geng dia sahaja. Itulah lumrah orang yang tamak..... masing2 nak menyalahkan demi menunjukkan mereka betul. Entah apa lagi yang dapat memuaskan hatinya? Biarlah mereka bermain-main permainan itu.... perlahan-lahan masa berlalu dan kita ketinggalan dalam kebuangan.

Friday 2 September 2016

Apa yang dijanjikan Rasulullah SAW pasti akan tertunai... dari keruntuhan empayar Rom dan Parsi sampailah kejatuhan Dajjal oleh Imam al-Mahdi dan Nabi Isa. Jangan risau... nantikan waktunya dengan sabar dan penyerahan tawakkal. Tetapi kerana sikap kita yang gopoh dan terburu-buru mahu membuktikan kebenaran itu secepat mungkin, menyebabkan kita melampaui pagar takdir yang telah Allah tetapkan. Bila sudah melepasi hudud (batasan) yang ditetapkan itu yang menyebabkan perlakuan melampaui batas dan membabi buta, baik secara sedar atau tidak. Maka sebab itu belajar perlu tertib, berdisiplin, berjazam dan beradab, barulah kebenaran itu mendatang dan tampak jelas,l walaupun lambat waktunya. Kalau Allah dah menjanjikan sesuatu, serahkan semula janji-Nya kepada-Nya, jangan rampas hak-Nya. Dia takkan memungkiri janji-Nya. Dia menunaikan janji pada waktu Dia kehendaki, bukan waktu yang kamu kehendaki.

"Jangan engkau gerakkan lidahmu kerana hendak cepat-cepat (menguasai)nya. Sesungguhnya Kami yang akan mengumpulkannya dan membacakannya. Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka ikutilah bacaannya. Kemudian sesungguhnya Kami yang akan menjelaskannya" (Surah al-Qiyamah ayat 15-19).

Hilang bicaraku menyebut-nyebut sebuah kebahagiaan.... maka aku berjalan jauh mencari pengubat duka yang lara, rupanya aku terhimpit dalam penjara fikiranku. Hanya berpusing pada bulatan yang sama, semakin lama ia semakin menambahkan sesak di dadaku. Lalu aku berputus asa..... lenyap harapan dalam pergantungan. Oleh itu, aku angkat tanganku dan memberikan sebuah penghormatan terakhir... yang tiada lagi sebuah puisi atau lagu untuk disemarakkan jiwa ini. Aku tidak lagi peduli akan apa yang mendatang... asalkan aku sudah terisi penuh dengan kecukupan nikmat. Oh! Alangkah indahnya sebuah penyerahan ini... bermain-main dalam angin bayu yang syahdu.

Hatiku penuh dengan bunga... jiwaku dihiasi dengan keindahan gubahan sebuah cinta... mabuk kepayang entah apa yang aku teguk... tak semena-mena aku menangis di hadapanmu menyatakan perasaan aku pada kau. Oh! engkaulah penawar duka ku, sumber kebahagiaanku... seluruh lagu yang ku nyanyikan hanya untukmu. Dalam kasih tersimpannya sanubari kekasihmu yang saling mengikat antara aku dan kau. Pertalian kita walaupun banyak keributan, namun lautan api ini tidak mengapa-apakan kita berdua. Dalam satu engkaulah yang banyak, di dalam banyak engkaulah aku sandingkan segalanya. Oh kasihku! Inilah aku yang kau idamkan...

Yang sedikit sudah memadai dan mencukupi. Malahan terlebih dari cukup untuk memenuhi apa yang ada pada kita. Maka janganlah memandangnya sedikit dan kecil atau tidak mengendahkan kerana sedikit itu sudah boleh menjadi bekal untuk mencapai matlamat. Kalau bukan kerana sedikit itu maka tidaklah terbuka segala rahsianya. Dapatkanlah satu kunci yang mampu membuka mana-mana pintu, menyimpan banyak kunci tetapi tidak tahu yang mana satu dapat digunakan untuk membukanya, maka berlakulah agak-agakan yang akhirnya menjerumuskan pada kesilapan. Dan kalau betul pun hanyalah kebetulan yang mendatang, bukan dari faham akan kunci itu.

"Mereka bertanya tentang roh, maka katakanlah roh itu urusan Tuhanku, tidak diberikan pada kamu daripada ilmu melainkan sedikit sahaja" (Surah al-Isra' ayat 85)

Kadang tak faham... patutkah hina seorang ahli maksiat? Kalau betul2 dia menolak dakwah yang diberikan, itu memang adat biasa, tapi itu bukan alasan untuk menghalalkan cacian dan perlekehan atas mereka. Mengapa belajar ugama tinggi2 jadi lebih suka berpuak-puak dan menubuhkan geng citaraasa sendiri? Mana kasih sayang untuk mendoakan sesama teman yang terjerumus dengan maksiat dan membimbing serta membetulkan mereka? Kerana kita tak faham situasi yang berlaku pada mereka... dalam dilema, mereka tidak rela diperlakukan sebegitu dan merasa sesak menerima takdir sebegitu, tetapi yang lagak berugama ini senang2 mahu hentam mereka habis2an... susahlah macam ni kalau sudah dihidupkan sentimen kebencian.

Sebab dah terbiasa dengar tarannum al-Quran sedap2 sampai amaran dan peringatan Allah yang keras pun boleh rilek jee... tapi bila manusia sampaikan pesanan.. peergghhh... mengamuk sakan, kata orang tak ada adab lah.. tak berhemah lah... macam2.. patut pun kebenaran itu memang pahit.

Katakanlah: "Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai KERA dan BABI dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul" (Surah al-Maidah ayat 60).

Sangat indah nikmat itu.... tatkala kita hendak bermaksiat, sedar2 kita sedang berbuat kebaikan, entah dan tak tahu bila dan kenapa dia boleh terselamat daripada maksiat. Kita langsung tak bersyukur tentang itu... apalah nilai rasanya dapat kenikmatan berbuat maksiat? Sekadar kekosongan jika dibandingkan dengan makrifat Allah yang agung menjamin untuk dicukupkan rezeki dan kebahagiaan yang berpanjangan. Aduhai.... sedang kita mencela ahli maksiat dengan berbagai hamburan, rupanya kita tak sedar Allah menjauhkan kita perlahan-lahan.. sehingga hilang tampak cahaya sirna kebaikan itu. Sia2lah amal dilakukan... hangus terbakar kerana dosa diri.

Oh malangnya diriku yang tidak mengenang budi!

Tak ada siapa mahu menanggung dosa orang lain, masing2 mahu berlepas diri untuk diri masing2... tapi siapa sangka ada sahabat sanggup memberi pesanan terhadap kebenaran, kesabaran dan kasih sayang.. bersabar atas karenah kita dan mencuba yang terbaik untuk memuaskan hati kita? Kadang kita langsung tak hargai kerana sudah di-sentimen-kan kubur masing2.... lebih mahu memenangkan atas diri kita dan kepentingan diri.... lepas ni jangan kata kat akhirat pulak tak ada orang sampaikan peringatan pada kita.

:::Ya Rasulullah.... engkau sahabat yang paling mengasihi orang lain::::

Kita cuba saling memahami.. tentang apa yang kita perselisihkan. Dalam lebar jurang yang besar tetapi kita bertemu di bawah cenuram yang sama, semata-mata mencari titik persamaan untuk menyatukan kita. Toleransi bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi tatkala meluap-luap perasaan untuk memenangkan untuk diri walau apa jua jalannya sememangnya akan memarakkan lagi api yang kecil. Di mana jua engkau berada dan pada setiap masa dan saat ini, aku mencuba yang terbaik untuk membuatkan kau puas walaupun aku bukanlah yang terbaik untukmu. Selagi hayat dikandung nyawa dalam nafasku.... ku teruskan menyambungkan tali kasih sayang mudah-mudahan kita hidup dalam kedamaian tanpa persamaan dan perbezaan yang palsu.

:::Selamat ulang tahun untuk diriku::::

Sebak kerana tidak dapat memahami,,,, cemburu kerana melihat orang yang memahami. Pabila terbuka kefahaman itu, segunung dan selautan tersedia dalam genggaman.. Bercucuran air mata kerana lama menantikan dan puas menderita kerana mencarinya. Dalam menempuhinya, sudah banyak dikorbankan semata-kata kebenaran yang diimpikan. Sesat tidaklah menghalang pencarian itu, namun kerana hilangnya tekad dan putus asa jadilah hanya angan-angan yang pergi menjauh. Aku tidak berkata apa2 melainkan sayu di hati kerana kekosongan menghanyutkan diriku....

::::Kebenaran yang terpendam dalam diri:::::

Kalau kau kenal dirimu yang mutlak dan hakiki, maka terbukalah segala rahsianya. Berakhir satu pencarian, bermula satu perjalanan. Nafas yang kau hembuskan adalah nafas yang baru, pandangan yang kau lihat adalah sebuah hiasan indah yang terukir dan rasa yang kau rasai adalah sebuah kenikmatan yang abadi. Hidup dalam kebenaran walau derita mendatang menimpa. Hanyut dalam cinta sejati yang terlukis sebuah kisah pengembaraan yang teragung dalam kitab yang terpelihara. Bahagia bak seharum bunga mekar yang murni. Kekasih dirindui dalam lautan api yang membara. Terbakar diri tidak membinasakan impiannya... hanya menemuinya dalam kesembunyian di balik terang.

:::Tiada ibarat... yang ada hanyalah kenyataan!::::

Bukanlah tangisan itu pada air mata.... bergelora jiwa mencari diri sebenar diri. Bersusah payah merantau sana sini untuk membuka jawapannya, rupanya diri sendiri yang berdiri di sini membuka rahsia tentang diri sendiri. Terharu menemukan pencariannya, namun menyesal kerana tidak menyedari kesedaran sebenar tentang ini. Walaupun lambat perjalanan membawa kepada puncak, namun redha ia menerima apa jua mendatang. Metafora yang terpancar dari pandangan, rasa dan kefahaman mengaliri kemanisan, walaupun sekadar sekali lalu sahaja. Menangis dan menangis kerana menahan derita ini, namun yakin semakin teguh dalam hati.

:::Kebenaran yang sangat pahit!::::

Orang yang sudah berubah jangan diungkit kisah aib lamanya. Orang yang berkeinginan berubah jangan menghalanginya. Orang yang dalam dilemma jangan mengherdiknya. Orang yang lemas selamatkanlah mereka. Mengapalah sekarang mahu hidup dengan sentimen kebencian? Orang yang mengaku berugama menjadi angkuh dan sombongnya, orang yang ahli maksiat tapi tak mengaku bermaksiat dengan kubur masing2nya. Jika tidak dapat toleransi, maka cubalah memahami apa yang telah masing2 lalui dan fahami. Kalau masing2 mau orang lain ikut cara kepala hotak masing2... apa nilainya kepelbagaian?

:::Keanehan era globalisasi... iblis bertepuk tangan gembira di antara dua perbalahan:::

Kerana masing2 mahu memenangkan atas diri maasing2, sanggup sahaja mereka melibatkan perbalahan demi kepentingan masing2... entah ego atau keangkuhannya, aku cuba melarikan diri daripada setiap apa yang mereka perselisihkan. Sentimen kebencian semakin mendalam dan membiak... lalu ku kembangkan debunga demi melakarkan sebuah pemandangan indah. Namun, aku tak mampu.... aku lemah dan tidak terdaya... semakin hari dunia ini bergoncang, perlahan-lahan membawa taufan yang memusnahkan hidup kita bersama. Hanyut, tenggelam dan terperangkap dalam sebuah permainan yang menyeksakan ini... aku cuba mencari sebuah kebenaran yang membawaku jalan keluar dari kemelut ini. Oh! Mengapa derita ini berterusan meracuni daku yang kesempitan ini?

::::Air mata berdarah tumpah, pecah jiwa menahan sebak dan hilang pancainderaku menerima hakikat semua ini::::: 

Syahdu malam dalam kerinduan. Ku nyanyikan sebuah lagu gembira... mengisi kekosongan dalam hati. Bicaraku sebuah cinta yang tulus mendalam dari gelojak jiwaku yang membakar membara. Tak dapat ku gambarkan sebuah keindahan yang terpateri dalam diriku ini. Bagaikan ombak menghanyutkan diriku ini, perasaan tidak keruan semakin lama semakin bergoncang. Aku tidak mampu menahan lagi riang gembira di hati. Merasakan kemanisan dalam rahmat-Mu yang agung... bulat tekad dalam penglihatanku yang nyata memandang sebuah keindahan yang sebenar. Kebenaran ini telah meliputi aku sehingga ku merasakan bayu angin yang membuai ketenteramanku. Oh Tuhan! Kalaulah berat tanggungan ini tidak mampu ku pikulkan, maka ku serahkan segala daya upayaku hanya untuk-Mu segala bahagia yang abadi.

:::Terbuai dalam perasaan, angan-angan pecah dalam harapan... berdansa dalam takdir yang membuka rahsia yang halus:::

Sudahnya banyak fitnah dan huru-hara mengacaukan ketenteraman sejagat. Mahu atau tidak mahu, terimalah realiti yang bumi ini tempat pertumpahan darah dan kerosakan. Cubaan keluar dari kemelut ini ibarat keluar dari mulut naga, masuk ke mulut buaya. Hinggakan air yang tenang pun masih ada buaya yang tersembunyi. Serba tidak kena di mana bumi berpijak, di situ langit mencucurkan hujan batu. Perlindungan yang dicari dihanyutkan dan perilindungan yang diberi dicemarikan. Oh sudah! Semuanya tidak keruan... hanya bolak balik yang bergelimpangan mayat-mayat yang tidak berdosa. Manakan mahu larinya dalam permainan ini...? Maka, hadapinya lah walaupun harapan hanya tinggal harapan sahaja...

:::Tentu adanya hikmah kita bernafas di atas dunia ini, sang perwira tidak sedar bahawa dia seorang perwira, maka bermainlah dalam permainan ini!::::

Tidak keruan pabila kekeliruan mendatang, lebih-lebih lagi selama ini telah sebati terhadap apa yang menjadi pegangan. Mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang dan apa jua perbuat serba tidak kena akibat tercari-cari jawapan untuk persoalan yang bermain-main. Bertanya tetapi tidak mendapat walhasilnya, mencari tidak menemukan pengisiannya, mencuba intai tetapi tidak kesampaian dan menanti tidak hadir pula petunjuknya. Bersabar dan bersabar dalam menghadapi kemelut yang menghimpit ketenangan diri. Tawakkal dan munajat dengan penuh rendah diri dan rebah ke bumi mengakui kelemahan diri yang tidak dapat menggapai bintang di langit. Kalaulah gelojak ini berakhir....... namun, itu hanyalah semata tinggal harapan dan ia terus mendatang dan mendatang dalam kitaran kehidupan.

::::Kadang bukan sengaja menjadi sesat, kerana orang tidak memahami dilemma kita, maka kesilapan dan kedunguan kita menjadi objek perlecehan mereka:::::

Walaupun sudah menemukan jawapannya, tetapi ia cuma pengakhiran suatu pencarian sahaja tetapi perjalanannya perlu ditempuhi. Sudah sampai masanya untuk menghadapi kesulitan, kegusaran, kekusutan, perasaan tidak senang bahkan berhadapan dengan pertumpahan darah, cercaan orang dan seksaan sang zalim. Kerana sebuah kepahitan inilah, mudah-mudahan dapat menghidupkan akmalul yaqin dalam hati nurani initerhadap pegangan aku. Biarlah apa yang aku perbuat ini mendapat serba salah daripada pandangan orang, namun aku tidak akan goyah dengan kesombongan orang dan pujukan orang. Inilah jalanku... atas hembusan nafasku di bawah kudrat dan iradah Tuhanku. Dengan nama-Nya Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, aku mulakan pencarian dan perjalanan ini dengan penuh penyerahan, mudah-mudahan Dia tunjukkan aku ke jalan yang lurus..... dan begitu jua kamu semua.

::::Gembira selama ini yang menghilang dan terpisah akhirnya dipertemukan semula, namun akan ada selitan dan belitan yang mencoba merusakkan kebahagiaan ini::::

Dalam jerih payah sebenarnya masih ada sahabat prihatin terhadap kita. Kadang habis madu sepah dibuang dan kacang melupakan kulitnya. Tetapi kita mahu mengatasinya sendirian, kerana tidak mahu melukai sahabat tentang kesulitan yang bakal mendatang. Namun, jika mereka masih sanggup, jangan dilupakan untuk mengenang budi pengorbanannya. Nampaknya masih lagi teringat peristiwa pahit tentang perkara yang melibatkan sahabat, akhirnya kami semua merana dan kerugian tergantung padaku. Cukuplah betapa pahitnya persahabatan ini... apatah lagi mahu terjun dalam alam percintaan. Duduk bersendrian memerhatikan jiran dan teman bergembira tanpa kita sudah pun memuaskan hati. Kalau mereka mahu mengajak berborak, ku pendekkan bicara kerana banyak lagi yang akan membuatkan kita semua terbeban. - Kata hatiku pada jiwaku.

:::Kurang kasih sayang eh? Tapi terima sahajalah::::

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda, "Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, ia tidak bersyukur kepada Allah" (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Dengan satu titik, terlahirlah pelbagai idea sehingga melahirkan satu lakaran yang mewarnai coretannya. Bakat-bakat yang ada menghuraikan lagi makna sebuah identiti yang ingin diciptakan sehingga membuahkan hasil yang terbaik. Namun, apakah sebelum titik itu kosong? Atau hanya sebuah kertas putih yang tiada belum disentuh apa-apa pun?

Masing-masing mahu menyatakan kefahamannya. Kadang ia menyalahi kebiasaan orang dan ada pula yang memandang sesuatu itu dengan metafora. Kalau kepelbagaian ini terus dikembangkan, nescaya menjadilah sebuah keluasan dalam dimensi dunia yang terbentang ini. Memakai persamaan palsu merupakan kebathilan yang bertopengan. Malang sekali, perbezaan dijadikan sebab untuk membentuk kumpulannya sendiri demi mencari kemenangan atas diri supaya egonya dapat menjatuhkan mereka yang tidak menyanjunginya. Teruslah dibodek sang Firaun itu, akhirnya ditenggelamkan oleh lautan haq..... sayangnya penyesalan yang dibuat sudah terlambat.