Monday 5 September 2016

Masakan bercinta yang mengaku sanggup meredah lautan api tetapi takut untuk menghadapi penghinaan orang lain dan menjaga tepi kain mereka yang terus menggoyahkan pendirianmu? Bukannya engkau lemah, tetapi kerana keyakinan di dalam diri tidak kuat terhadap kepercayaan sesuatu, sehingga angan-angan lebih banyak bermain daripada kenyataan yang sebenarnya. Tak kenal maka tak cinta, dalam cinta adanya keyakinan terhadap apa yang ia percayakan. Kalau setakat diperosok seluruh tubuh dan jiwa kerana menggenggam cinta yang agung maka tidaklah itu menyakitkan melainkan kenikmatan yang ia rasakan.

Biarlah mencuba itu tidak disertai dengan pendugaan sebab jalan cinta bukan menduga. Kerana kalimat cinta yang agung ini, akan menjadi bekalanmu sepanjang jalan. Berjalan di atas duri yang tajam, berenang di lautan yang luas dan terbang di alam angkasa yang tiada berpenghujung, engkau tidak merasa kepayahan... yang ada hanyalah rindu mencari kekasih yang dicintai. Mabuk atau sedar... gila atau waras tidak lagi peduli. Dendam rindu yang membara ini membakar seluruhnya sehingga semangat ia menjulang tinggi menggapai mahkota kekasih yang tidak ternilai jual beli harganya. Bertahanlah! Kerana kebenaran itu pada pencarian yang tidak mengenal erti jemu dan lelah.

:::Oh kasih!:::

No comments:

Post a Comment