Wednesday 7 June 2017

Tuhanku...
Yang Memiliki Kesempurnaan
betapa indahnya diri-Mu itu,
sentiasa sahaja aku tenggelam
di dalam cinta-Mu ini,
pabila pengenalan terhadap-Mu
dibuka seluas-luasnya,
telah lenyap pandanganku terhadap
syurga dan neraka... iblis dan malaikat,
dunia dan akhirat... langit dan bumi,
malam dan siang.... ghaib dan nyata,
dan segala-galanya,
melainkan hanya Engkau sahaja..

Yang berlalu biarlah berlalu pergi, kita telah meninggalkannya sama ada secara langsung atau tidak langsung. Apa yang boleh adalah jadikan iktibar untuk beramal hari ini mudah-mudahan menjadi kejayaan esok hari. Dikenangkan semula pun ia tidak akan kembali, biarpun kau tangisinya atau bersorak ceria.

Usah dikenangkan yang lalu, walaupun ia pahit... apakah kau suka ia berulang kembali? Usah dikenangkan yang lalu, walaupun ia manis... apakah kau suka ia menjadi suatu kelalaian untuk kamu?

Kadang-kala flashback memori itu kembali dengan secara tidak sengaja, maka berhati-hatilah dalam perjalanan apabila terserempak dengan beberapa perkara yang menyebabkan kita berhenti untuk seketika.

Ya Rabb,
Engkaulah yang menguasai malam ini,
kelembutan-Mu lebih dingin sejuk
daripada angin yang bertiup waktu ini,
jiwaku tenteram bersama cinta-Mu,
hatiku meluap-luap untuk meluahkan
perasaan yang membakar dalam diriku,
sesungguhnya Engkau Maha Mendengar,
maka dengan berkat pada waktu ini,
aku panjatkan munajat ke atas-Mu,
ku pohon agar Engkau mengampuni dosaku,
dengan rahmat-Mu ya Allah..
ku pasrahkan diriku yang lemah ini,
alangkah nista dan hinanya aku ini,
ku harap Kau terima taubatku ini,
tiada tuhan selain Engkau..
aku mengharapkan keampunan dari-Mu..

Kadang-kala pabila melihat kelebihan yang ada pada orang lain atau bakat yang luar biasa atau sesuatu yang menakjubkan ada pada dirinya, api kedengkian itu membara dalam hatinya. Dalam hatinya ingin sahaja berharap agar nikmat itu ada juga pada dirinya atau lebih baik darinya atau ia sendiri kecundang sehingga rebah ke muka bumi. Walaupun terpaksa tawaduk tunduk diri dek kerana ego yang terancam akibat ada yang lebih hebat dari kita.

Sahabatku, tidak cukupkah Allah Ta'ala kurniakan padamu sekarang? Tidakkah kau tahu Allah Maha 'Adil dan Maha Halus dalam mengaturkan seluruh hidup makhluk-Nya? Di mana hilangnya pengenalan Allah daripadamu sehingga kamu mahukan kehendak Allah terikat dengan kemahuan kita?

Marilah kita bermuhasabah terhadap apa yang telah kita lakukan dan tilik kembali betapa luasnya kurniaan Allah Ta'ala lebih daripada apa yang kamu impikan.... Alangkah zalimnya diri kita ini...... marilah kita pohon keampunan pada-Nya.

Hebatnya Allah mengajarkan kita semua. Dahulunya kita tidak tahu kemudian pada hari ini kita menjadi tahu hinggakan kita faham sesuatu perkara. Kadang-kala keajaiban ini membuat kita berkata, "Dulu aku tak tahu benda ni, sekarang aku dah tahu" atau "Entah macam mana dulu aku faham ini, tapi hari ini aku faham lain dari dulu" atau "Aneh sungguh dulu aku keliru bab ini, tetapi akhirnya aku boleh hurai bab ini" atau apa-apa yang seumpamanya.

Justeru, usah kita merasa tergugat apabila datangnya orang yang lebih hebat daripada kita atau berasa terancam ego kita apabila orang itu punyai bakat yang lebih tercungkil dari giginya sendiri. Allah Ta'ala mengaturkan seluruh alam ini dengan sifat ketuhanannya yang Maha Mulia dan Allah mencukupkan segala makhluknya dengan sebaik-baiknya. Jangan gusar dan cemas, Tuhan ar-Rahman itu akan memberikan kelebihan masing-masing yang sesuai dengan takdirnya yang disusunkan.

Kadang-kala apabila kita mengejar kesempurnaan, apabila kita melihat orang lain yang masih di takuk kekurangan, kita berharapkan agar orang itu dapat memahami dan merasai kefahaman sesebuah makna. Kemudian, kita bawakan Islah supaya orang lain kembali berfikir sepertimana apa yang diinginkan oleh Islam. Malangnya, kadang-kala perjuangan kita tersasar, lebih-lebih lagi apabila ada teman atau saudaranya yang tidak sependapat dengannya. Lalu kita merungut dan mengeluh, "Kenapalah orang ini tidak mahu faham macam aku?" atau "Aduhai, mengapa engkau tidak mahu terima sepertimana aku nampak?" atau "Kenapa engkau faham begini, sepatutnya kau kena faham macam ini macam itu (cara faham dia)" atau seumpamanya.

Saudaraku, rahmat Allah Ta'ala ini terlalu besar dan luas dan apa yang Allah aturkan untuk sekalian mumkin adalah dari sifat-Nya Yang Maha Adil, Maha Mengetahui, Maha Halus dan Maha Teliti setiap perkara. Pandangan dan perspektif yang berbeza itu salah satu karunia Tuhan. Dia menjadikan manusia itu berbilang-bilang kumpulan supaya kita saling mengenali. Lantas, mengapa kita menutup hati kita untuk melihat kehebatan pencaturan Allah? Bukankah berkuasa Allah Ta'ala untuk memberi faham yang berbeza daripada kamu yang lebih tahqiq dari kamu dan ia juga sama-sama meniti di atas kebenaran yang nyata?

Ya Karim,
Engkau pemberi kurnia pada hamba-Mu,
dan Engkau cukupkan bekalan mereka,
Engkau berikan cinta-Mu padanya,
kelembutan perasaan ini..
menjadikan mereka tenteram
di dalam naungan-Mu,
mereka tidak gusar lagi
terhadap makhluk memperlakukan padanya,
kerna Engkau sebaik-baik pelindung,
cukuplah bagi kami..
hanya untuk-Mu kami serahkan segalanya..
tiada apa lagi kami boleh pintakan,
rezeki-Mu telah dibentangkan
sebelum kami panjatkan doa kepada-Mu..

Ilmu tasawwuf tidak hanya menekankan hablumminAllah, tetapi ia juga hablumminannas. Mereka yang mempraktikkan ini tidak hanya duduk di atas sejadah menangis teresak-esak atau pegang tasbih zikir ribuan kali. Tetapi, mereka jugalah seorang mujahidin yang gagah di medan perang atau seorang penggerak kemajuan Islam dalam pembangunan dan tekonologi atau seorang yang aktif dengan kebajikan masyarakat atau seorang yang berkaliber dalam aspek-aspek yang tidak terjangkau pandangan kita. Apabila melihat orang lain terbaring kelaparan, dialah yang menghulurkan makanan dan apabila menyaksikan orang lain dizalimi, dialah yang pantas membelanya.

Bagaimana seseorang ingin mengurus dan mentadbir bumi Allah ini sedang hatinya tidak mengenal Tuhannya dan tidak beradab dengan Ar-Rahman yang istawa di atas Arasy? Dia berada di mana jua kamu berada dan jika ada empat orang di dalam satu kelompok maka Dia-lah yang kelimanya. Mana mungkin seseorang ingin membimbing manusia lain sedangkan dirinya terabai dengan kekotoran rohaninya yang menutup cahaya Allah yang terang-benderang untuk disampaikan pada mereka yang tertutup?

Kasihan kita yang menyokong perjuangan kepimpinan ulama' tetapi akhlak dan cara hidup tidak seperti mencontohi ulama'.

Alangkah zalimnya kita mengajak untuk kembali kepada ulama' warassatul anbiya' tetapi jejak langkah kita mengejar kepada syaitan yang direjam.

Setiap masa melaung-laungkan untuk kefahaman sebenarnya sepertimana ulama' yang muktabar fahami tetapi batinnya terpalit dengan dosa, syirik dan lalai.

Nama ulama' menjadi barang jualan semata-mata untuk kepentingan dunia dan mereka menggunakannya sebagai cemeti untuk memukul-mukul orang lain.

Betapa jahatnya kita melibatkan ulama' terhadap sesuatu yang tidak membawa faedah dan kebaikan sedangkan mereka berlepas diri dari dakwaan mereka.

Pencaturan Allah terhadap seluruh kehidupan makhluk sangat hebat. Masing-masing dicukupkan segala rezeki dan nikmat yang telah ditentukan dalam takdirnya sejak azali lagi. Penetapan yang telah Allah lakukan adalah sesuatu yang terbaik atas yang terbaik. Dia memperkenankan doa sebelum kita menadah tangan pada-Nya, Dia memberi sebelum kita meminta dari-Nya, Dia membuka jalan kebaikan sebelum kita berharap ke atas-Nya dan Dia menyelamatkan kita dari kesengsaraan sebelum kita mengelakkan daripada-Nya.

Penyusunan yang Allah Ta'ala aturkan adalah sifat-Nya Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha 'Adil dan Maha Halus segala perkara. Tidak usahlah engkau merasa gusar terhadap apa yang belum engkau miliki kerana apa yang ada padamu sebenarnya lebih cukup dari apa yang kamu harapkan dan tidak perlu merasa bimbang kepada yang bakal mendatang kerana apa yang telah Allah perbuatkan ke atasmu tidak lain tidak bukan adalah dari rahmat-Nya yang lebih luas dari murka-Nya.

Di dalam cinta...
ada sebuah keindahan,
bayu di dalamnya
sangat menyenangkan hati,
syair yang dibina ini
masih belum menjelaskan akan ia,
mereka yang tidak merasainya
akan tidak mendapat gambaran,
Oh! aku terusik dalam cintamu..!!!
jantungku berdegup sepantasnya,
dadaku terbuka luas,
hatiku semakin terisi,
ke marilah wahai kekasihku..!!
bersama-sama dalam dakapan cinta ini...

Ilmu tasawwuf ini akan mengajar kamu untuk merasai kenikmatan dalam berugama Islam dan kemanisan iman. Hidup ini sangat indah dihayati kerana Allah Ta'ala menciptakan kita dengan hikmah-Nya. Betapa Al-Karim itu sentiasa mencurahkan ke atas kita dengan cinta-Nya yang melampaui segala sesuatu. Rahmat-Nya mengatasi murka-Nya. Sesiapa yang melihat kemurahan-Nya ia akan melihat betapa kecilnya dosa yang ada pada diri kita jika dibandingkan dengan rahmat yang telah Dia bukakan seluas-luasnya. Hanya Allah Ta'ala sahajalah menjadi pautannya dan tempat ia bergantung.

Bermula tasawwuf itu mendidik hati dengan melatih sifat-sifat mahmudah dan mengikis sifat mazmumah, lantas mujahadah satu peringkat ke peringkat yang lain sehingga mencapai "La maujudun bihaqqiqin illAllah". Pandangannya, kesedarannya, impiannya, cita-citanya, harapannya, doanya, penyerahannya dan segalanya hanya untuk Allah. Mereka tenggelam dalam kelazatan belaian kasih sayang Allah. Dia meredhai-Nya dan Allah meredhai-Nya. Hatinya tenang dan tidak lagi berasa gusar akan jiwanya kerana diliputi perlindungan dna penjagaan Allah Ta'ala. Tiada apa lagi yang boleh menghalangnya lagi untuk memisahkan al-Haq dengan dirinya. Entah bagaimana dia akan menghilang dari sesuatu yang nyata mahupun ghaib.

Semuanya bukanlah hanya perkataan semata-mata, tetapi ia dari suatu perasaan yang tidak tergambar akan kehebatannya..!!

Menangislah! Betapa dihadapan kamu adalah Tuhanmu itu punyai keindahan dan kesempurnaan, sedang kamu dilitupi dengan kekurangan dan kenistaan. Allah tempat bergantung seluruh makhluk, menjadi pautan seorang hamba untuk mengharapkan perlindungan dan penjagaan. Penyerahan engkau terhadap-Nya adalah sepenuh hatinya tanpa mengharapkan suatu balasan atau ganjaran, membiarkan Tuhanmu itu menguruskan dirimu. Apa sahaja Dia perbuat pada-Mu, engkau meredhai-Nya tanpa perbanyakkan persoalan dan mencari-cari hikmah dan sebab. Engkau tunduk malu lalu menangis menyesal serta memohon keampunan kerana masih menyimpan perasaan merungut-rungut pemberitan-Nya yang penuh dengan kemurahan.

Adalah jiwa ini sentiasa terbelenggu dengan penjara-penjara yang memerangkapkan diri untuk mengenal Tuhannya dan tenang di dalam belaian kasih sayang-Nya. Tiada apa yang boleh mengeluarkan dirimu sendiri melainkan kekuatan dan keperkasaan Al-Jabbar. Apabila Dia mengeluarkan dirimu daripada dirimu sendiri, kesedaranmu hilang untuk pandangan selain-Nya. Buaian cinta terhadap-Nya menjadikan engkau menjadi "mabuk" dari kesedaran seorang manusia yang waras dan "ghaib" dari hidup yang nyata di atas muka bumi ini dan engkau sendiri tidak menyedari kemabukan dan keghaiban kamu. Engkau merayu dengan tangisan berdarah dan meronta-ronta sehingga berteriak seluruh zahir dan batinmu agar terbuka tabir hijabmu dan melihat tajalli diri-Nya Yang Maha Mulia.

Apabila Dia membuka tirai-Nya dan memperkenalkan serta memperlihatkan diri-Nya padamu, engkau menjadi musnah dalam pandangan terhadap-Nya! Oh! Terpukau matamu, terketar jemarimu dan menggeletar seluruh tubuh, jiwa dan ragamu merasakan dan menikmati keagungan-Nya.... Bayu angin dan ombak laut tidak lagi membolak-balikkan kamu, hanya tenggelam dalam penyaksian keesaan Al-Qayyum.

Wahai Tuhan kami! Kami telah menzalimi diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampunkan kami dan merahmati kami nescaya kami termasuk orang yang rugi! Ya Tuhanku! Engkau Maha Mendengar rintihan hamba-Mu yang merayu pada-Mu, limpahkan kepada kami kesabaran, dan teguhkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang tidak percaya (kafir). Ya Hayyu ya Qayyum, terimalah kami sebagai hamba-Mu yang dikasihi!

Api biru yang menyala,
penyelamat itu telah hadir,
dalam penjara kegelapan ini,
betapa aku ketakutan
menghadapi penderitaan ini,
ia bersinar dengan gemerlapnya,
cahayanya menembusi pelusuk penjuru,
tidak terhujung akan penghujungnya,
api yang menyala itu
membakar diriku
hingga menjadi abu yang berdebu
dan berterbangan pergi ditiupi angin,
aku tidak lagi merasakan kesedihan,
bahkan ketenangan ini
menjadikan hatiku tenteram...
Ah! Inilah kenikmatan yang tidak dilupakan,
aku tidak akan melepaskannya lagi..

Ayahku,
masih kah engkau tertidur
akan kepenatan mencari
kebahagiaan untuk keluarga?
tidurmu itu tidak lena,
masih memikirkan
untuk apa keluargamu hidup?

Ibu......,,
mencari apa engkau waktu ini?
bukankah aku ada disisi mu..?
dan sekali-kali tidak menghilang
aku dari pandanganmu,
betapa kasih sayangmu itu...
mengalir ibarat sungai,
dan aku tenteram di dalamnya...

Anakku,
kau dengarlah pesan kami,
hidup ini bukanlah untuk keseronokan
mencari kebuangan yang tidak terpakai,
betapa banyak duri yang kau kena lalui,
supaya kau menjadi insan yang berjaya..
semoga Allah tunjukkan kamu
pada jalan yang lurus...
kami bakal meninggalkanmu...
inilah wasiat kami
jagalah dirimu baik-baik..
wahai anakku..

Sistem khilafah,
idaman para pejuang,
suatu naungan yang diimpikan,
mereka semua berkejar menuju padanya,
sedang aku duduk merenung,
sambil memerhatikan pancaroba dunia,
bergelumang dengan kerosakan,
betapa aku sedih
untuk terus menatapnya,
takdir terus berjalan dan berlalu,
aku bersabar menanti kehadirannya,
daku redha akan keputusan Tuhanku,
akan ku tetap berjuang di atas jalannya
bersama komrad yang setia
bila sampai masa yang dijanjikan-Nya,
kita semua hidup bahagia..
suasana nyaman ini membelai hati kita,
Ah! Aku menikmati keindahannya....
marilah kita bersemadi dalam alam ini...
Kita tidak diajar untuk menggunakan ayat al-Quran, Hadis, nama dan kalam ulama' atau ugama Islam sebagai barang dagangan untuk ditukarkan kepada dunia yang murah dan menjadikan cemeti untuk memukul orang lain. Bukan setakat itu sahaja, digunakan akannya untuk mencari perpecahan sesama umat, pertelingkahan sesama saudara, memupuk budaya takfir dan mendoakan kecelakaan ke atas saudara lain. Rasulullah SAW sendiri mengingatkan kehadiran kelompok khawarij. Oleh kerana bahayanya khawarij, maka berhati-hatilah kita supaya tidak termakan dengan kaedah dan manhaj khawarij.

Jangan cepat perasan dan melatah gembira bahawa ayat al-Quran, Hadis, nama dan kalam ulama' kononnya selalu berpihak padanya kerana khuatir kita tergelincir dalam cara khawarij dan menyalahgunakan sumber kesucian agama Islam. Kita memohon kepada Allah Ta'ala agar tidak disesatkan kita ke jalan yang dimurkai dan disesatkan oleh Allah.

Sunyi malam ini....
dibaluti pula dengan bayu yang dingin,
suasana yang nyaman ini
menundukkan semula keadaan
pada siang yang kesibukan,
aku duduk di beranda jendela
sambil menghembuskan nafas yang mengeluh,
memikirkan diri yang semakin terkeliru,
persoalan yang bermain
menjadikan bingung akan daku,
entah apa jawapan
yang boleh menenangkan hatiku,
aku pun tidak tahu
apa sebenarnya aku mencarikan ini..
ingin sahaja aku endahkannya
tetapi ia masih menghantuiku,
aku menggeletar ketakutan
untuk terus bersama perasaan ini..
rebah tubuhku ke bumi
menangis dalam kedukaan..
Aduhai diriku...
apalah salah aku
sampai aku jadi begini..??

Tak perlulah dengki atas kelebihan orang. Masing-masing telah Allah aturkan dengan sifat-Nya Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Adil dan Maha Halus dalam menentukan sesuatu perkara. Redhalah di mana Allah hendak meletakkan kamu di mana.

Terang cahaya
mula tampak bersinar,
ketika itu aku dalam bingung
mencari jawapan tentang kebenaran
lalu datangnya ia tanpa diundang,
aku mula bertanya...
kehadiran apakah ini?
ia tersangat cerah...
aku terpukau dengan tumpuan padanya,
mataku pecah kerna sirnanya,
badanku musnah terbakar menjadi abu
dari hangatnya yang membakar,
aku terdiam kaku melihatnya,
rebah seluruh jiwa dan ragaku,
entah kenapa daku merasa tenteram,
seolah-olah tidak apa lagi yang diperlukan
kecuali padanya yang bersinar itu,
tidak lagi aku ragu dan sangsi,
dan aku tidak mahu lepaskan saat ini,
untuk terus dalam dakapan ini,
baru ku mengerti
akan cahaya di atas cahaya itu....
biarlah perasaan ini
yang bersyair akan keindahan ini...
Ah! Aku terbuai dalam kenikmatan ini..

Perjalanan sebuah kerohanian,
ia begitu halus dimensinya,
entah bagaimana liku di dalamnya,
tidak tergambar akan keadaannya...
aku tertanya tentang sebuah alam itu
yang misteri dari pandangan akal,
sememangnya aku tidak menemui logiknya,
akalku tersekat bagaikan ada penghadang
untuk menembusi dimensi itu,
mengapa boleh jadi begini..?
bukankah akal ini sebuah kebebasan tiada had?
bagaimana lagi untuk aku teroka di dalamnya
sebuah "bayangan" misteri yang tertutup?
maka datang suatu bisikan
entah dari mana arah kehadirannya...
berkata ia padaku,
pelajarilah ilmu tasawwuf wahai engkau!
sesungguhnya terbuka pintu rohani itu
dari hati yang bersih suci
akalmu tidak akan menemuinya,
melainkan engkau tundukkannya pada iman...

Malam tiba lagi,
entah sudah berapa malam
telah aku melaluinya,
sudah terbiasa akan aku,
berjaga di malam hari,
kerna ketenangan pada waktu ini,
alangkah nikmatnya bayu ini,
sudah banyak kali telah ku titipkan
perasaan yang syahdu ini,
sehingga jemu sang pembaca yang dihormati,
tetapi hatinya tidak jemu,
mencari berkah malam,
mengejar kebaikan dan kemanfaatan,
terisinya rahmat dari Allah,
yang dibukakan pintu kebahagiaan,
sesiapa yang mendapatkannya
khabarkanlah padanya
syurga yang bahagia menanti..!!

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/551261914924406
Nikmat sebuah ketaatan adalah sangat besar. Walaupun balasan mereka tidak mendapat upah dan ganjaran yang dimahukan tetapi bagi mereka mendapat berbuat taat pada Allah adalah suatu pemberian yang sangat bernilai kerana iman di dadanya telah tersinar cahayanya dan pakaian Islam telah dipakaikan pada dirinya. Iman dan amal soleh tidak lagi terpisah. Zahir dan batin bercerai tiada. Hidupnya hanya mengabdikan diri pada Allah Ta'ala. Segalanya hanya untuk-Nya.

Kalau Allah tidak takdirkan untuk sujud dalam solat, nescaya kita tidak akan dapat sujud pada Allah. Alangkah ruginya kita sia-siakan nikmat dapat bersujud dan merendah diri di hadapan Allah. Macam-macam kita minta pada Allah Ta'ala itu ini, tetapi apa yang dihajatinya tidak diperkenankan oleh Allah. Tetapi, Allah menggantikan dan memberikan kemampuan untuk berbuat taat dengan kehadiran hati yang tenteram dan damai di bawah bayu-Nya.

Ikan jerung tidak pernah ada stok makanan yang disimpan untuk dia makan esok hari, Allah tetap cukupkan rezekinya untuk dia makan. Tetapi kita yang ada peti sejuk, almari dan rak untuk simpan makanan dan perkakas masakan masih lagi merungut kurniaan Allah yang telah diberikannya. Zalimnya kita.

Dahulu :

"Apa pasal lah orang sekarang tidak mau blajar ilmu agama?"

Sekarang :

"Apa pasal lah orang sekarang memandai-mandai dalam urusan agama?"

Kihkihkihkih, sudahkah anda beragama?

Sesuatu yang dikatakan rumit difahami belum tentu ia sesat dalam khayalan. Sesuatu yang dikatakan "level tinggi" belum tentu ia khusus untuk orang tertentu dan tidak perlu diketahui oleh orang awam. Sesuatu yang tidak tahu dan kedengaran belum tentu ia tidak ada.

Selamat menuntut ilmu...

Berpura-pura merendah diri.... rupanya syaitan telah berjaya menipunya.

Kadang-kala kita mengeluh kerana nikmat yang ada masih belum memuaskan hati kita. Kita cemburu melihat kebahagiaan orang lain dan kegembiraan mereka mendapat suatu kejayaan atau kemenangan atau apa sahaja yang menggembirakan hati mereka, sedang kita pula dilanda kesedihan, kekalahan selalu memihak pada kita dan kesusahan yang bertimpa-timpa. Sungguhpun hati tetap bersabar menahan perit derita kekurangan yang ada, tetapi masih merasakan tidak mencukupi untuk ia melapangkan dadanya.

Entah kenapa jadi begini? Mungkinkah kita terlupa bahawa nikmat di dunia tidak cukup ruang memenuhkan balasan kebaikan yang banyak untuk orang beriman, sedang akhirat adalah sebaik-baik tempat pemberian segala anugerah yang berharga? Apakah selama ini kita tidak menyedari bahawa Allah sentiasa mencukupkan nikmat untuk makhluk-Nya dan tidak membiarkan hamba-Nya hidup dan mati dalam tersepit dengan layanan yang tidak adil? Adakah masih buta mata hati kita melihat bahawa hanya Allah yang menjadi tempat bergantungan segala susah dan senang?

Kita duduk merenung dan bermuhasabah, mencari erti kebahagiaan yang sebenar untuk mententeramkan hati dan jiwa yang bergoncang.

Al-Junaid said, "Ketika pengalaman bersama Allah membawa kepada kewujudan Ilahi dalam diri seseorang, bererti ia merasakan kebahagiaan tertinggi atau kesedihan paling dalam".

Malam yang menjelang ini,
aku merasakan kesunyian lagi,
rasa luluh menahan kekosongan ini,
ingin sahaja mencari tempat luahan hati,
akan ruang yang terus menyempit ini,
alangkah rugi rasanya daku,
hidup tanpa teman di sisi,
menyisihkan diri dan menjauhkan diri,
dari apa yang dikumpulkan orang,
serba salah menghentam diri,
kerna khuatir fitnah melanda,
beban ini sangat berat,
ku harap ada yang mengangkatnya
dari terus memikul akannya..

Wahai diriku,
marilah kita kembali pada Tuhan,
hidup dan mati bersama-Nya,
Dialah sebaik-baik perwakilan,
kau tak merasa lagi kekosongan ini,
kerana Dia berada di mana kamu berada,
tidak bercerai dan tidak terpisah,
tidak bercantum dan tidak bergabung,
tetapi Dia sangat dekat... lebih dekat dari urat leher
jangan kau gusar lagi wahai diri,
kita kan punyai Allah?
cukuplah Dia... hanya Dia sahaja... aku memandang!

Orang sekarang ni lebih fokus pada kefahaman ilmiah sepertimana yang dipraktikkan oleh generasi salafussoleh, tapi malang mereka mengabaikan akhlak dan gaya hidup generasi yang terbaik tersebut. Apalah gunanya kita sibuk terjun dalam medan debat yang akhirnya masing-masing tidak dapat faedah kerana tidak ada adab dari salafussoleh? Apalah gunanya perbahasan yang berjela-jela tetapi akhirnya tidak memberi manfaat pada umat kerana mengabaikan disiplin ilmu yang diajarkan oleh salafussoleh? Apalah gunanya sembang lebat dan kencang tapi macam tin kosong?

Marilah kita kembali pada manhaj, kaedah, pemikiran dan gaya hidup beragama sepertimana salafussoleh.

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/556745117709419
Mencari tentang cinta,
sebuah kisah yang indah,
ingin sahaja ku titipkan puisi
di atas lembaran kertas putih,
mencatitkan perjalanan kebahagiaan,
entah apa lagi yang boleh aku lakukan,
tidak ada lagi yang boleh difikirkan lagi,
yang ada hanyalah perasaan yang membakar,
menakluk diriku yang gagah,
dan aku terbaring lemah
disakiti rindu yang dendam membara,
aku menantikan kehadiran
suatu saat yang aku tidak lagi
berpaling dari selain yang aku memandang ini,

Oh Allah..
Kau terimalah cintaku ini,
bagi Kau segalanya keindahan,
aku abdikan diriku dalam cinta ini,
tiada lagi pemisah Kau dan aku,
ke mana sahaja daku berjalan
di sisiku Kau menemani aku,
sedih duka.. gembira riang..
antara kita berdua,
cerita kebahagiaan ini..
ku harap ia kekal selamanya...

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/558363690880895
Usah mendendangkan lagunya jika kamu tidak mahu mendengarnya...

Aku tidak melayani kamu bukan bermakna aku menjauhkan dirimu, meninggalkan dirimu, melupakan dirimu atau membenci dirimu, tetapi aku hanya ingin bersendirian walaupun aku tidak mengatakan apa-apa.

Apa lagi ingin ku tanyakan,
tentang sebuah jalan yang tersembunyi,
lorong kembali menemui kekasih sejati,
walaupun jawapan sudah dihidangkan,
tetapi hati masih merasa kekosongan,
perbahasan ini menambahkan kerumitan,
akalku sudah layu untuk memikirkannya lagi,
gangguan ketenteraman ini mengusik jiwa...
entah apa lagi yang masih belum terisi,
ingin sahaja aku membiarkannya,
tetapi luka ini bertambah parah,
mengiris hati sehingga pecah,

aku terus mencari dan mencari,
duduk dan diamku dalam penerokaan,
tentang erti makna kehidupan yang sebenar,
supaya matiku dalam kebahagiaan,
dan aku membisukan seribu bahasa,
untuk berbicara dan bertanya,
akan apa yang tentang nyata dan ghaib,
biarlah Allah menentukan,
Dia-lah sebaik-baik pengajar,
aku menanti kehadiran-Nya
dengan penuh penantian..
semoga Dia membuka simpulan keliru ini,
menjadi kefahaman yang tiada lagi
untuk aku melihat selain dari Haq-Nya...

Meneroka seluruh ilmu memang tidak akan sampai pada penghujungnya. Kalau diberi tempoh kiamat 2 kali tentu masih tidak habis lagi untuk menghabiskan keseluruhanya. Lalu ilmu apa yang perlu dicarikan itu? Carilah ilmu tentang kebenaran yang membawa manfaat untuk diri dan orang lain. Walau ia sedikit mudah-mudahan ia memberi kebaikan pada dunia dan akhirat. Memang kita akan merasa dengki dan cemburu melihat orang lain lebih banyak pengetahuannya dari kita, namun demikian tenangkan hatimu untuk tidak terburu-buru, gopoh dan merasakan tergugat, kerana ilmu yang berguna adalah dari jalan yang tertib, teratur, berdisiplin, beradab dan berperingkat. Mulakan dari bawah dan jangan menaiki ke bumbung tanpa tangga dan tiang yang kukuh.

Mendengarkan rintikan air mata hujan sambil merenungkan diri yang kesepian...

Bila dengki dah kuasai hati, semua benda nak sembur dan tabur. Kalau cemburu kuat sangat, kalung emas pun mahu dia pakaikan ke leher babi. Jangan menipu diri sendiri dengan mulut menafikan tetapi di hati sebaliknya. Banyakkan zikir dalam hati untuk muhasabah kembali adakah dengki itu sudah menawan diri kita. Nanti dah terkena pukulan daripada Allah Ta'ala, terhantuk baru terngadah nak sedar dirinya telah membakar amalnya sehingga hangus. Tak cukup dengan itu, pahalanya diserahkan pada mereka yang difitnah, dicerca dan dikeji akibat dengki yang membara.

Bawakan aku mikraj untuk bertemu Allah....

Mencari rahmat yang telah hilang... rupanya diri sendiri yang menghilangkan diri...

Jangan kamu membataskan kekuasaan Allah Ta'ala dan pecahkan pentadbiran-Nya kepada entiti tertentu sedangkan Dia Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu dan Tuhan sekalian alam yang menjadi tempat berhajatnya seluruh makhluk. Maha Suci Allah dari apa yang kita syirikkan...

Jangan ambil ibarat kalau kau tidak mengetahui hakikinya, jangan ditiru sesuatu perkataan kalau kau tidak memahami maksud kalamnya, jangan dibahaskan kalau kau bukan ahlinya, jangan kau pakaikan kalung emas ke leher babi kalau kau mahukan kemuliaan, jangan kau menipu diri sendiri kalau tidak mahu diazab secara tiba-tiba, jangan kau bukakan rahsia kerana itu keaiban untukmu, jangan kau lacurkan kebenaran yang telah tiba kelak kau akan membinasakan diri dan..... jangan kau menjangankan apa yang telah jangan, kelak kejanganan kau tu akan dijangankan pada hari jangan untukmu.

Kalau kamu seorang salik jangan berhenti berjalan walau apa jua mendatang, kalau kamu seorang murid teruskan istiqamah dengan kebaikan, jika kamu seorang 'arif jagalah 'aibmu daripada terselak, jika kamu seorang mursyid bimbinglah manusia ke jalan kebenaran dan jika kamu seorang wali Allah, berbahagialah kamu dalam cinta yang hakiki.

Jangan kalian termakan hasutan dan tohmahan dari sang jahil yang menjadi sombong, sang penghukum yang menjadi penyembelih dan sang pembenci menjadi dengki, kerana itu hanyalah membinasakan mereka sendiri. Usah dilayani mereka mencari-cari teks supaya dapat membantah-bantah yang mencari pengaruh dan kepentingan diri kerana itu hanyalah menebalkan hijab untuk melihat kebenaran.

Hiduplah kamu dalam sinaran Allah yang terang benderang menerangi bumi dan langit dan meniti di atas jalan Rasul rahmat sekalian alam. Tenteramlah kamu dalam hidup dan mati yang dipayungi dengan rahmat yang telah disediakan untukmu yang telah menempuhi perjalanan yang halus.

Kunci khusyuk dalam solat adalah makrifat pada Allah. Dengan pengenalan inilah akan membuka sebuah tirai untuk kamu memahami apa yang kamu bacakan sehinggalah pada solat itu sendiri. Bagaimana mungkin orang ingin mahu khusyuk dalam solatnya jika Tuhan yang dia hadapkan tidak dikenalinya? Apatalah lagi untuk mencapai suatu ilmu yang memancarkan sanubarimu untuk menerangi solat kamu sehingga jadilah kamu mukmin yang berjaya, walhal ilmu yang kamu diperoleh itu dari yang tidak dikenali?

Marilah kita semua berusaha mencapai makrifat terhadap Allah supaya solat kita menjadi suatu saat indah bersama Tuhan Yang Maha Agung....

Salam subuh untuk sekalian sahabat...

Marilah kalian bersama-samaku, kita menantikan jodoh pertemuan antara kita dan Allah... semoga hidup dan mati dalam meredhai dan diredhai-Nya...

Aku tahu kadang-kala kau marah kerana mereka tidak mendengar seruan kau atau merasa sedih kerana kau tidak dapat menarik mereka ke jalan yang engkau mahukan, walaupun engkau menang dalam perselisihan itu. Hidayah itu milik Allah dan kamu sekali-kali tiada daya dan upaya untuk mengubah pendirian dan pola mereka ke atas corak yang engkau menangkan itu.

Serahkanlah pada kebijksanaan Allah. Biarlah Dia menguruskan makhluk-Nya. Sebaik-baik perancang adalah Dia. Hanya Dia. Usah kau gusar lagi gentar terhadap mereka itu. Mereka tidak mampu memberi manfaat dan mudharat untukmu. Teruskanlah pegang teguh di jalanmu dan hidup dan matilah kau dalam keyakinan yang tidak berbelah bahagi.

Persiapkan dirimu untuk bertemu jodoh sejatimu dengan Allah Ta'ala... Kekasih sejati akan menyambut kehadiran yang dicintai itu dengan gembira dan sesekali tidak akan dibiarkan ia tidak terurus. Ooohhh! Aku tidak mampu bertahan lagi penantian yang sangat lama...!! Semoga dipercepatkan pertemuan aku dengannya...

Jika kamu tak ketemukan apa yang kamu carikan, jangan kamu bimbang dan jangan kamu lupa bahawa Allah takkan mengabaikan hamba-Nya dan Dia mencukupkan rezeki kepada makhluk-Nya. Tunggulah jawapan itu suatu hari yang ditakdirkan oleh-Nya dan teruslah berjalan di atas apa yang kamu fahamkan setakat itu yang ditetapkan oleh-Nya, nescaya Allah akan tunjukkan pengajaran yang berguna untuk kamu.

Aku tahu aku ada dosa dan kesalahan yang perlu aku tanggungkan terhadap apa yang aku lakukan pada sahabat semua. Tidak mengapa, aku menanti pengadilan dari Allah kelak, biarlah Dia menentukannya. Aku sendiri bertanggungjawab apa yang aku lakukan selama ini. Aku redha jika kalian semua tidak memberi maaf atau akan menyimpan benci, dendam dan marah terhadap aku. Marilah kita serahkan kebijaksanaan-Nya untuk Dia menghakimkan ke atas diri kita semua.

Dakwah bukan untuk melahirkan ramai pengikut atau mengajak untuk menyembah ilmu dan akhlak kamu. Illa masyaAllah, aku mengerti engkau kecewa kerana manusia tidak mahu mengikuti jalan yang engkau serukan dan tidak mahu memahami sepertimana yang engkau fahami. Engkau berharap agar dunia aman dan tenteram di bawah naungan Islam, tetapi apakan daya mereka terus menghinjak-hinjak kemurniaan Islam dan merosakkannya. Jangan kau gusar, jangan kau bimbang, jangan kau kecewa, jangan kau marah dan jangan kau gelisah. Allah Ta'ala telah menjawab rayuan, rintihan dan kekeliruan kamu.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya: "Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?" Tuhan berfirman: "SESUNGGUHNYA AKU MENGETAHUI APA YANG ENGKAU TIDAK MENGETAHUINYA". - Surah al-Baqarah ayat 30.

Serahkanlah kebijksanaan pada Tuhanmu menguruskan seluruh alam ini. Tidak diciptakan dunia melainkan sebagai senda gurau dan permainan serta hiburan. Jangan kau mengikut jejak langkah mereka dan hiduplah engkau dalam Islam. Dan sampaikanlah peringatan dari Tuhanmu dengan istiqamah.

Malam yang sunyi,
ditemani dengan hujan yang merintik,
sejuk dingin menyelubungi tubuhku,
aku menggigil kesejukan,
namun ku merasakan damai,
rahmat-Nya yang mengasihi makhluk-Nya,
indah-Nya kasih yang dilimpahkan,
saat manusia sesak dadanya,
menahan kesempitan dari asap yang berkepul,
ketika itu mereka merasakan
ajal mendekati pengakhiran mereka,
tetapi Allah memberi nafas yang baru,
dari tiupan angin yang tenang,
membawakan mata air yang segar,
bumi yang mati hidup semula,
derita yang ditimpa menjadi sembuh,
kini aku memahami,
dari apa yang telah Dia manifestasikan,
kemurahan-Nya mendahului azab-Nya,
wahai Tuhanku...
Engkau yang aku maksudkan,
keredhaanmu semata aku tujukan
atas segala penyaksian ini....

Berdoalah sebagai hamba, bukan berdoa sebagai tuan, disuruh itu dan ini kepada Tuhan seperti dia yang tuan dan Tuhan itu pula hamba. Berdoa dengan rayuan bukan suruhan, dengan lafaz umum, dan tidak berlebih-lebih permintaannya. ~ Fathi Al-Sakandary~

Wahai diriku sendiri,
pertengahan malam telah berlalu,
kita melaluinya untuk sekali lagi,
dan sedikit demi sedikit
kita meninggalkan waktu yang lalu,
aku tidak tahu lagi...
untuk ungkapkan perasaan ini,
yang kecewa kerana banyak menghabisi
suatu kesia-siaan yang tiada berkesudahan,
ku sangkakan 24 jam sehari
itu tidak cukup buat diriku,
tetapi alangkah sedih dan hibanya
engkau tidak memanfaatkan dengan sebaiknya...

Wahai diriku sendiri,
marilah kita berjalan
dalam menuju ke hadrat Allah,
Dia menantimu dalam mahligai-Nya,
menyarungkan makrifat untukmu,
sebuah anugerah yang teragung,
terindah dari segala nikmat,
maka telah sempurnalah Islam kamu,
esok kau akan bergembira dengannya,
walaupun hari ini kau menanggung keperitan,
marilah wahai diriku sendiri..
kita menemui kekasih-Nya yang dicintai,
Muhammad Rasulullah SAW...

Ya dzal Jalali wal Ikram,
Segala kemuliaan milik-Mu semata,
aku serahkan takhtaku ini pada-Mu,
aku tidak lagi peduli hilangnya kekuasaanku ini,
sudilah Kau terima daku sebagai hamba-Mu,
ingin aku abdikan segala hidup dan matiku
hanya menjadikan-Mu sebagai Tuhan yang ditaati,
sesungguhnya Engkau memiliki keperkasaan,
aku memandang keindahan-Mu,
hanya Engkau yang aku bulatkan perhatian,
maafkan aku atas kealpaan aku ini,
ku harap Engkau menyambut aku kembali
setelah aku jauh pergi meninggalkan-Mu,
kini yang ada aku dan Kau...
sebuah kisah kebahagiaan yang abadi.

Akibat dari suka bersangka dan kemaruk dalam persangkaan. Yang ditemuinya hanyalah kebencian yang telah hidup dari kedengkian. Nilai-nilai kasih sayang dan menghormati orang sudah tidak ada lagi. Itulah hidupnya yang akan terus menyelongkar peribadi, aib dan kesalahan orang serta akan sentiasa mengkoreksi mana-mana mereka yang tidak mahukan ilmu dan akhlaknya disembah. Lama dan semakin lama mereka akan bermusuhan dan memerangi dengan dasar-dasar yang palsu dengan berbagai-bagai topeng semata untuk mempropagandakan minda masyarakat. Tidak lain tidak bukan, fitnah akan melanda dan menghemburkan hiruk pikuk yang akhirnya kedamaian yang dinikmati dicabut daripada hak yang sepatutnya.