Sunday 7 May 2017

Kasihan bagi kita yang terhijab dengan ilmu. Sepatutnya ilmu untuk takut pada Allah tetapi akhirnya menjadi suatu modal untuk mengajak orang menyembah diri dan ilmunya serta akhlaknya. Patutlah masih berselisih tentang suatu kebenaran sedangkan kitab al-Quran ini tiada lagi keraguan ke atasnya. Semuanya dari sebab menjualkan ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan sifat hasad yang menguasai diri.

Bila datangnya kebenaran itu, maka jelaslah siapa yang seperti keldai yang menanggung kitab dan anjing yang menjelirkan lidahnya. Dan siapa yang memegang watak seperti Firaun yang menuhankan dirinya untuk dijadikan sesembahan dan Bal'am yang menjualkan ayat Allah dengan dunia yang murah.

Usah membohongi diri sendiri! Apabila datangnya haq maka kalahlah bathil kerana bathil sememangnya akan lenyap. Bukan mata yang buta tetapi hati yang buta.

Faham yang kita ada lain, maka jalan kita jua berbeza, penglihatan kita akan memandang arah yang berlainan dan kita akan berselisih apabila datangnya bertemu dari jiran sebelah. Walaupun begitu matlamat kita sama yang menjadi impian bagi sang salik. Dan titik asal serta usul kita adalah sama sepertimana akhirnya. InsyaAllah. Maka, beritahulah padaku, adakah jalan yang kita tempuhi berbeza menyebabkan kita akan hilang kasih sayang sesama kita?

Kita boleh saksikan siapa yang dengki dan siapa yang suka bersangka. Siapa yang memegang watak Firaun yang mengajak dirinya disembah dan siapa yang seperti anjing yang terjelir lidahnya serta siapa yang menjadi keldai menanggung kitab. Usah membohongi diri sendiri, topeng-topengan itu akan terbuka jua dan pakaian berkolar putih itu akan tertanggal.... setelah kebenaran itu terserlah.

Entah mengapa aku merasa tidak sedih atau gembira dalam apa yang berlaku kekacauan sekitar dunia ini. Tetapi aku merasakan ketenangan yang di antara keduanya. Ya, mungkin sahaja kerana perasaan aku yang melhat apa yang ditakdirkan oleh Allah itu adalah sebaik-baik ketentuan dan pencaturan-Nya sangat menakjubkan dan suatu gubahan yang terindah. Af'al Allah yang Esa, tiada suatu pun yang tersilap dari pentadbiran-Nya.

Oh! Marilah kita tenggelam sebentar dalam "permainan" yang telah diaturkan oleh-Nya. Allah adalah sebaik-baik perancang..... Saksikanlah dengan keasyikan...

Jika mengenal Allah hanya melalui teks, memahaminya secara literal dan dari bahasan-bahasan hujjah, ia telah dijauhkan dari sebuah kebahagiaan yang hakiki lagi abadi.... Alangkah indahnya jika Allah dikenali.

Misteri sebuah bumi,
khazanah yang berharga,
di balik pertumpahan darah
dari tangan-tangan perosak,
yang diletakkan khalifah dalamnya,
menggantikan umat yang lalu,
mengembalikan semula apa yang tertunggak,
dan menegakkan apa yang haq
entah mengapa hairan bermain di fikiran,
apakah yang diwariskan di dalamnya
sedangkan telah diajarkan nama-nama itu?
tidakkah ia terdapat sebuah persembunyian,
yang tidak dirancang oleh dalang konspirasi?
mungkinkah kebenaran itu sebuah cahaya
yang menjadi rahmat sekalian alam...
mengapa aku tidak dapat melihatnya
sedang ia telah zahir dan nyata?

Pemalunya... menyimpan seribu satu kebaikan. Ketampanan itu telah memikat hatiku, dari akhlak yang terindah. Agungnya kalimahnya, aku terbangkit bangun... tersembuh dari luka. Betapa ia seorang makhluk yang agung, dimuliakan di mana sahaja ia berada. Seruan-seruan memanggil namanya.. dan memuji-muji dirinya sering kedengaran, walau sunyi malam itu menyelubungi diri.

Oh Rasulullah! Betapa engkau... seorang kekasih Allah yang dicintai, dipersembahkan kisah engkau kepada seluruh alam, dengan penyaksian bahawa engkaulah seorang jejaka pilhan...... untuk seluruh pecintanya.

Ya Rasulullah! Semoga kau dan aku..... dipertemukan.... kita berbahagia selama-lamanya.

Kalau kamu merasa gelisah, gundah dan tidak senang akan kekucaran dunia ini. Usahlah terus dirundum dalam perasaan itu, dunia ini adalah permainan, gurau senda dan hiburan. Pertumpahan darah dan kerosakan akan berlaku di dunia, usah dihairankan, apa yang penting... enjoy the game! Hiduplah kamu sebagai seorang khalifah dan hamba yang sejati.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?" (Surah Al-An'Am ayat 32)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui." (Surah Al-Ankabut ayat 64)

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu." (Surah Muhammad ayat 36)

Kehidupan yang indah,
dari air mata syurga yang mengalir,
ia tenang di bawah bayu angin
bertiup-tiupan mendendangkan lagu,
dari kicauan burung yang bersuara merdu,
nikmatnya besar untuk orang yang beriman,
impian seluruh umat mencari kebahagiaan,
tetapi sang salik terus berjalan,
walau orang ramai telah berhenti di dalamnya,
mencari Tuhannya Yang Maha Indah,
jauh perjalanannya tidak melelahkannya,
pandangannya tidak lagi padanya,
demi bertemu Yang Maha Mulia,
dia meninggalkan kenikmatan syurga itu,
menempuh derita yang keperitan,
itu semua hanyalah sekelumit kecil sahaja,
dibanding dengan dendam rindu pada-Nya,
yang membakar seluruh dirinya....

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/574050139312250
"Cinta itu buta", "Rindu adalah tegukan minuman dari cinta", "Penyerahan seorang hamba pada Allah umpama seorang anak menyerahkan dirinya pada ibunya", "Apabila kamu bertakbiratul ihram dalam solat, hendaklah kamu mengetahui bahawa Allah di hadapan, malaikat maut di belakang, kanan adalah syurga dan kiri adalah neraka".

Ibarat atau perumpamaan seperti ini mungkin susah untuk logik akal menerimanya dan kalau mahu menerimanya ia susah untuk mentafsirkannya. Kita boleh andaikan ia seperti manisnya gula. Kita tidak akan mengenal manisnya gula melainkan kita merasainya sendiri dengan lidah. Dan kalau datangnya ibarat atau perumpamaan yang menerangkan manisnya gula, itu cumalah hanya menggerakkan kefahaman terhadap manisnya gula dan ia belum tentu menjelaskan hakikatnya. "Man lam yaqzauq lam yadri" (Barangsiapa yang tidak merasa, tidaklah mengetahui). Rasakanlah sendiri barulah kita mengetahui apa yang disingkapkan melalui ibarat.

Sebab itulah jangan mengambil ibarat sesuka hati kalau tidak memahaminya dengan sebenar. Kerana kita jua akan berbuat kebohongan walaupun ibarat itu benar. Tidaklah menghairankan orang boleh tersesat dan salah faham kerana berpegang pada ibarat bulat-bulat dan melulu kerana dia hanya memahami ibarat semata-mata, bukan pada hakikinya atau hal keadaan yang sebenar.

Kadang-kala ibarat ini bukan menjelaskan apa yang dirasainya, tetapi menjelaskan apa yang disaksikannya walaupun penyaksian itu bukan dari apa yang ada dalam pancaindera. Umpamanya pengibaratan "Dunia seperti bangkai kambing yang busuk dan anjing-anjing liar merebut akannya" atau "Orang Islam sibuk membeli tiket kapal Barat yang sudah tenggelam di lautan". Pengibaratan ini mungkin datangnya dari penyaksian sama ada dari pengalamannya atau pandangan yang "kasyaf".

Ya, mungkin akal kita berkemampuan untuk menjelaskannya secara terperinci dan huraian yang panjang lebar dan lengkap tetapi belum tentu ia dapat "membentuk" apa hal keadaan yang sebenar atau hakikatnya.

Wallahu ta'ala a'lam.

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/574380832612514
Kalau syaitan yang fisik itu sudah dibelenggu pada bulan ini, maka usah pula kau yang menjadi setan.

Jangan takut kalau tersalah jalan kalau yakin adanya petunjuk dari Allah. Dia tidak pernah mengabaikan makhluk-Nya dengan mencukupkan rezeki dan keperluan hamba-Nya. Sia-sialah kalau kita tidak tahu untuk bersyukur. Redha lah kat mana Dia menempatkan kamu berada di mana. Itu lebih baik daripada apa yang kamu rungutkan.

Kalau kamu tidak boleh memberi yang terbaik, jadilah orang yang baik.

Jika kamu sukar untuk melakukan kebaikan, maka baikilah apa yang lemah.
https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/575320965851834
Girangnya.... seorang pemurah yang dermawan. Mengasihi umatnya seperti dirinya sendiri. Setiap malam kau memikirkan di mana kami berada, apakah kami bakal bersama kamu atau semakin jauh darimu. Kau panjatkan doa pada Rabb-mu, memohon keampunan bagi kami, tangisan setiap malam bercucuran mengenangkan umatmu bakal binasa akibat berpaling darimu.

Oh Rasulullah.... indahnya kecintaan kau pada umat. Tidak kau bangun, tidur, bangkit dan berjaga... melainkan engkau penuhi permintaan umatmu. Maafkan diriku kerana tidak mengenalmu. Aku telah merugikan diriku sendiri, bercita-cita tinggi menjadi seorang hamba Allah yang sejati tetapi tidak mengenal kekasih-Nya.

Ya Rasulullah... engkau tidak selalu jauh padaku, jika aku terbaring rebah di sini... menahan luka di hati, engkau hadir menghulur pertolongan. Kau penyelamat umat.... kerana cintamu pada kami engkau tidak pernah mensia-siakan apa yang kami rungutkan.

Maafkan aku ya Rasulullah, kerana tidak mampu menjadi yang terbaik. Walaupun aku hanya mampu senyum gembira melihat tawa riangmu melayani kami, tetapi... aku masih dinodai dosa, menghijab untuk lebih dekat padamu. Maafkan aku ya Rasulullah, ku harap sepanjang aku mengenalimu... adalah bukan khayalan semata-mata.

Meninggalkan bidadari syurga semata-mata untuk bertemu dengan Allah.... kadang-kala entah mengapa menjadi seorang salik sangat derita.

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/575624039154860
Penderitaan dan kebahagiaan, petunjuk dan kesesatan.... semuanya dalam rahmat Allah. Jangan bimbang apa yang telah Dia aturkan.... ikutlah rentak yang telah Dia tetapkan.

Syaitan dirantai... Iblis?

Berjaga-jagalah dengan fitnah al-Masih ad-Dajjal.....

Jangan masih merasa selamat dari syaitan yang dibelenggu dalam bulan Ramadhan ini, kerana syaitan dalam diri masih ada. Orang yang melupakan Allah adalah golongan syaitan. Nah! Hati kamu ingat pada Allah tak? Tidak? Haa... kamulah syaitannya.

"Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati Allah, mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi". Surah al-Mujadillah ayat 19.

Hati yang dikuasai dengan sentimen kebencian. Tiada apa yang diucapkan dimulutnya melainkan mengapi-apikan kemarahan yang memukul-mukul yang dibencinya. Tiada pemikiran melainakan propaganda untuk menghasut orang supaya terpengaruh kebencian yang disebarkan. Kasih sayangnya sudah hilang, tidak lagi mengenal cinta dan belas kasihan. Biarlah apa yang dibenci itu dilanyak selumat-lumatnya, asalkan ia peroleh kepentingan yang menguntungkan.

Cerita-cerita yang membangkitkan suasana kebencian itu, menjadi sebaran dan bualan hangat mereka yang menerima berita itu. Alangkah tidak tenteram rasanya apabila bertambah-tambah dengki di hati itu, sentiasa membuka pekung orang dan mencari-cari takwil supaya orang yang memandang itu bertambah-tambah benci atau memahami lain dari apa yang lainnya. Inilah kehidupan sebuah kebencian. Cacian, makian, cercaan, tohmahan, fitnah, perlekeh, persenda dan hamburan menjadi menu sehariannya.

Entah apalah yang ada pada kebencian itu? Mengapa mereka meneguknya dan menari di dalam iramanya walaupun itu merupakan objek yang sentiasa tidak disenangi orang? Oh yeaah! Indahnya skrip kebencian itu... marilah kita tonton bersama.

Orang dah minta maaf dan taubat, jangan usung semula kisah lama-lamanya. Biarlah ia berdebu dan diabdikan dalam Lauh Mahfuz. Usah dikarang di atas kertas untuk menghamburkan kebencian dan membuka-buka aib serta mencari-cari takwil untuk memesongkan kefahaman supaya jatuhlah orang itu di tempat yang buruk. Tidak puas hati lagi, bolehlah dakwa di mahkamah Allah kelak, usah risau dengan pengadilan-Nya.

Aku beri nasihat bukan bermakna aku yang terbaik dari kalangan kamu. Kamu yang mendengar nasihat aku belum tentu yang terhina dari kalangan kamu. Jika kamu mengetahui keaiban yang ada padaku, nescaya engkau membenciku. Jika engkau mengetahui kebaikan yang pada kamu, nescaya engkau terpedaya dengannya.

Dari Abu Musa al-Asy'ari, Nabi SAW bersabda, "Sesungguhnya seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain" (Muttafaqun 'Alaih).

Perjalanan sang salik penuh dengan misteri. Hidup seorang murid penuh dengan tanda tanya. Pandangan sang asyikin penuh dengan kehairanan. Corak hidup si zuhud penuh dengan rintangan. Pengetahuan seorang 'arifin penuh dengan hikmah. Cinta seorang wali Allah sangat halus dan lembut. Petah bicara guru mursyid membuka hati yang tertutup.

Kehidupan yang terindah dan mati yang bahagia. Rahmat Allah terbentang luas seluruh alam. Rasulullah SAW hadir dengan kalimat-Nya yang agung. Alangkah indahnya menghayati susunan atur yang ditadbir oleh-Nya... marilah kita mengenal-Nya... untuk kebahagian bersama.

Kasyaf yang kita mahukan bukan sahaja yang dapat tembus di balik tabir atau melihat apa yang tersembunyi di balik kenyataan, tetapi dapat mengenal tipu daya syaitan yang memperdaya. Walaupun ia musuh yang NYATA dan godaannya LEMAH, tetapi kamu berperang dengannya dalam keadaan kamu tidak melihatnya dan kamu jua adalah makhluk yang lemah. Hanya pertolongan Allah sahaja yang mampu selamatkan kita dari tipu daya syaitan. Dan iblis sekali-kali tidak mampu menyentuh hamba-Nya yang ikhlas.

Kita tidak ada kemampuan apapun. Namun, melepaskan pergantungan terhadap kemampuan diri sendiri, ilmu dan amalan sememangnya sukar untuk ditanggalkan. Kerana masih tersisa kepentingan diri dan kelalaian dalam menyedari hidup dan mati seorang hamba. Hanya Allah kita letakkan segala kepercayaan dan penyerahan segala-galanya. Sebagaimana kita seorang bayi yang menyerahkan diri kepada ibu untuk menguruskan diri kita, Allah lebih baik dari yang lain untuk mengaturkan rezeki hamba-Nya.

Kita masih tidak menanam keyakinan dalam hati bahawa Allah tidak pernah lalai dalam menguruskan diri kita. Mungkin kerana kita masih tidak mengenal-Nya. Sebab itulah doa kita menjadi beberan permintaan, istikharah tempat desakan, usaha sebagai pertaruhan dan perancangan sebagai pergantungan. Alangkah ruginya kita tidak memahami tawakkal dengan sebenar-benarnya. Belajarlah dari burung itu yang pagian kelaparan keluar mencari makanan dan pulang dengan kekenyangan. Mengapa masih kita tidak menyedari tugas seorang hamba?

اَللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلَا تَكْلِنِى اِلَى نَفْسِى طَرْفَةَ عَيْنٍ وَأَصْلِحْ لِى شَأْنِى كَلَّهُ لَا اِلَهَ اِلَّا اَنْتَ

"Ya Allah.. rahmat-Mu yang daku harapkan. Jangan kau serahkanku kepada diriku walau sekelip mata. Baikilah untukku urusanku semuanya. Tiada Tuhan melainkan Engkau".

Syurga bertingkat-tingkat, kefahaman kita juga bertingkat-tingkat. Usah mencela orang yang jahil dan jangan sekali-kali mengangkat dirimu. Kerana Allah memuliakan setiap orang dengan orang yang lain dengan keadilan dan kebijaksanaan-Nya. Redha-lah di mana kamu diletakkan kerana pengaturan Allah adalah dari Yang Maha Halus. Tidak terlepas suatu pandangan melainkan Dia telah mengetahui-Nya.

Usah gusar jika tempatmu di bawah dan usah gentar jika tempatmu di atas. Serahkan segalanya dan kembalikan semuanya pada-Nya. Dialah sebaik-baik tempat bertawakkal dan sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.

"Dan demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan tujuh jalan di atas kamu, dan Kami pula tidak lalai daripada makhluk-makhluk Kami". Surah al-Mukminun ayat 17.

Sifat penuntut ilmu memang akan banyak bertanya, selalu bertanya dan sentiasa bertanya. Jangan mencela mereka. Ke mana hilangnya berpesan kepada kesabaran pada diri sendiri jika mereka bertanyakan persoalan yang rumit dan pernyataan yang sukar difahami? Buang sifat suka bersangka, suka menghukum, perasan pandai dan jumud pemikiran sebab kamu akan melontarkan tuduhan yang tidak baik ke atas mereka dan herdikan mencela mereka.

Mereka kadang-kala bertanya soalan yang rumit mungkin sebab mereka keliru dan mereka kadang-kala berkongsikan pernyataan yang sukar difahami sebab mereka mahu mentahqiqkan kefahaman. Usah berlagak kamu ada kasyaf untuk baca hati orang lain kalau kamu yakin kamu tidak punya kasyaf untuk membaca isi hati orang lain sama ada dia bertanya sebab keliru atau mencari permainan (kecuali kalau dia dah zahirkan). Jika dia bertanya atau berkongsi secara baik, jawab secara baik. Kalau dia bertanya semacam kasar jawab jua secara baik.

"Wahai orang-orang yang beriman! JAUHILAH kebanyakan dari SANGKAAN kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah DOSA...." Surah al-Hujurat ayat 12.

Ilmu adalah milik Allah dan kebenaran hanya ada di sisi-Nya. Dia berkuasa untuk mencabut pengetahuan dari orang dan mengajarkan sesiapa yang Dia kehendaki. Kadang sang murid menghadapi kebingungan kerana pertanyaan yang dilontarkan tidak mendapat sambutan, dituduh bermacam-macam yang tidak baik dan jawapan yang dikemukakan tidak memuaskan hati. Kadang seorang salik dirundum kekeliruan mana jalan yang harus ia tempuhi kerana cahaya yang diperlukan untuk membimbingnya tidak terkesamapaian walau ia merintih luka di hati.

Kerana kebingungan menimpa mereka dan terus menghantui, mereka sanggup meninggalkan perjalanan dan pencarian mereka, lalu hiduplah ia sepertimana orang-orang lalai. Kalau lah mereka itu melihat kekuasaan Allah mentadbir hamba-Nya dan Dia sekali-kali tidak mengabaikan makhluk-Nya, tentulah mereka itu meredhai di mana jua Allah letakkan dia di mana. Kerana Allah memberikan pada waktu yang Dia kehendaki, bukan waktu yang mereka kehendaki...!! Maha Suci Allah dari sekutu ke atas-Nya. Teruskanlah hidupmu sebagai seorang murid dan salik, mudah-mudahan ketemui kebahagiaanmu.

"Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS. az-Zumar: 53)

Mereka menjawab: "Kami menggembirakanmu dengan jalan yang sungguh benar oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang berputus asa". Berkata (Nabi Ibrahim) : "Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat". Surah al-Hijr ayat 55-56.

Hidup bertawakkal sepertimana seorang penjenayah menyerahkan diri seorang polis. Dia redha kalau dia diseksa oleh polis, dia tidak peduli jika penjara untuknya seumur hidup dan dia tidak menyesal kerana akui kesalahannya dan dia rela jika hukuman mati untuknya. Siapa lagi yang boleh membebaskannya melainkan polis itu sendiri? Permulaan jalan hidup untuk bertawakkal adalah taubat, yakni kembali kepada Allah Yang Maha Pengampun. Dia sanggup meninggalkan kenikmatan kelalaian itu dan menjauhkan orang yang mabuk dengan cinta dunia hanya semata untuk mencari jalan pulang kepada-Nya. Dia redha jika Allah menimpa musibah atasnya untuk kaffarah atas dosanya dan dia bersabar jika kesulitan bertubi-tubi datang padanya kerana dia sedar bahawa hanya kepada-Nya untuk disembah dan diletakkan segala pergantungan.

Hidup bertawakkal sepertimana seorang bayi yang menyerahkan dirinya pada ibunya. Sesekali ibunya tidak mengabaikan anak kecil itu dan sentiasa melimpahkan kasih sayang kepada sang bayi itu. Si bayi tidak punya apa-apa melainkan ibu berikan padanya dan ia tidak punya pengetahuan melainkan ibunya mengajarkannya. Sang ibu tidak akan membiarkan anaknya itu derita dan tidak merasa jemu untuk melayani karenah kita. Ketahuilah bahawa Allah lebih dari itu. La hawla wala quwwata illa billah. Tanggalkan semua daya upayamu dan serahkan segalanya dan kembalikannya pada Allah semata. Jangan kamu memandang-mandang dengan kekuatan diri kamu nescaya kamu tidak akan memegang tali tawakkal.

Jadilah orang yang bertawakkal. Pelajarilah dari seekor burung yang paginya kelapran keluar mencari makanan dan pulang dalam kekenyangan. Kalau kamu termasuk orang yang yakin dengan Allah yang tidak lalai dalam urusan-Nya, jangan kamu gusar untuk menyerahkan segalanya sepertimana Saidina Abu Bakar menyerahkan seluruh hartanya semata-mata untuk Allah dan Rasul-Nya.

"Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapapun yang akan dapat mengalahkan kamu, dan jika Ia mengecewakan kamu maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah? Dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri". Surah ali Imran ayat 160.

Kebenaran itu pahit. Kata orang "pahit itu ubat". Kalau sudah merasa pahit menerima kebenaran dan mengakui dirinya salah, mengapa pula hendak menafikannya? Kalau seorang doktor memberitahu seseorang patut dipotong kaki kerana kencing manis, patutkah ia sebagai pesakit hendak mendabik dada ia masih sihat? Kerana apa menjadi itu? Sebab ia selalu dibuai dengan kesenangan dan keseronokan. Kalau tahu diri itu berpenyakit mengapa perlu merasa aman darinya? Syukur negara Malaysia aman tiada peperangan tetapi penjenayah sana-sini berkeliaran?! Apatah lagi perjalanan rohani kita yang walaupun kita berjaya menghalang diri dari maksiat zahir tetapi batin iblis masih bertakhta! Maka patutkah kita merasakan aman dengannya?

Belajarlah menerima kepahitan. Kalau menuntut ilmu hendak melalui jalan yang mudah tanpa perlu berkorban sama ada jiwa, harta, masa dan tenaganya, maka khuatirlah diri kamu bakal menjadi Firaun diliputi dengan kesenangan yang akhirnya sombong dengan kebenaran dibawa oleh Nabi Musa. Janganlah menjadi orang yang suka mengajar tetapi tidak suka diajar. Orang-orang yang perasan bagus dan jumud pastinya tertutup hatinya untuk menerima kebenaran. Kalau kamu yakin kamu masih ada penyakit, maka jangan kamu menolak untuk menelan kepahitan ubat kebenaran, apatah lagi angkuh untuk menerimanya dan mendabik dada masih sihat.

"Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang yang diberikan Kitab itu tidak berselisih melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya, (perselisihan itu pula) semata-mata kerana HASAD DENGKI yang ada dalam kalangan mereka. Dan, sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya". Surah Ali Imran ayat 19.

Lembutkanlah hati dengan mempelajari kitab Al-Hikam. Jangan diendah tohmahan busuk orang yang jahil murakkab lagi mereka yang jumud pemikirannya serta yang tertutup hatinya kerana angkuh. Belajarlah kitab itu, mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang sejati dan dilingkungi makrifat pada-Nya. Usah berteori falsafah, marilah kita masuk ke medan rohani yang halus lagi luas perjalanannya.

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/579138888803375
Sepatutnya kita patut khuatir tipu daya iblis, musuh yang tersembunyi di dalam hati. Ia lebih penting daripada makan dan tidur..!! Kalau perasan selamat dari iblis, jaga-jagalah supaya tidak kena heret ke neraka secara tiba-tiba dan mengalami kejutan apabila menyedari kesilapannya yang dia lalaikan. Bayangkanlah Adam AS yang diajarkan asma', ditiupkan ruh dari Allah dan telah bertemu dengan-Nya pun boleh kecundang, apatah lagi diri kita yang entah atau tidak mengenal-Nya, lagi lah iblis tiada masalah nak pijak kepala kita.

Hanya kebenaran sahaja yang dapat selamatkan dari tipu dayanya dan ia hanya kurniaan al-Haq, ilmu belum tentu menjamin keselamatan sebab iblis jua seorang berilmu dan pernah menjadi ketua para malaikat terdahulu. Sentiasalah hati berpaut pada al-Haq dan jangan pernah berhenti meminta pertolongan dari-Nya, kerana hanya Dia tempat diserahkan segala urusan.

Firman Allah pada Iblis, "Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka dan turut campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka) dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata. Sesungguhnya hamba-hambaKu tiadalah engkau mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka, cukuplah Tuhanmu menjadi Pelindung". Surah al-Isra' ayat 64

Permulaan tarekatku adalah majnun (gila) diperkatakan orang, dipertengahan jalan aku peroleh bermacam-macam dari Allah, di akhir destinasi aku ialah kun fayakun...

Bermula jalan dengan la ilaha illAllah
Berjalan dengan Muhammadur Rasulullah
Bekal perjalanan adalah La Haw la wala quwwata illa billah
Berakhir dengan inna lillahi wa inna ilaihi roji'un

Salam ramadhan dan selamat berpuasa sahabatku..

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا

Aku pun dah tak faham apa dah jadi pada bumi ini. Pertikaian sana sini dan perbalahan di mana-mana. Malam dan siang hiasannya tetap tidak berubah walau sang mentari dan rembulan bersilih ganti. Muzik keapi-apian dimarakkan supaya bangkitlah suara-suara pertelingkahan sesama akan bergema. Ramadhan yang diharapkan agar dapat bersunyi-sunyian munajat kepada Allah diganggu dengan kekecohan dari kelantangan suara-suara yang menghidupkan pergolakan. Benarlah pertanyaan malaikat itu kepada Tuhannya, "Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah.....?". Apa yang bermain di sebalik ini hanya Allah mengetahuinya..... marilah kita bergembira atas apa yang Dia takdirkan....

And the blood will dry underneath my nails,
And the wind will rise up to fill my sail...
So, you can doubt... and you can hate!
But i know no matter what it takes...
I'm coming home..!! I'm coming home..!!
Tell the world i'm coming home!!
Let the rain wash away all the pain of yesterday,
I know my kingdom awaits and they've forgiven my mistakes,
I'm coming home..!! I'm coming home..!!
Tell the world i'm coming home!!

Rasakanlah ketenangan itu.... dalam cinta kekasih Nabi Muhammad. Lagu rindu syahdu dibuai indah, seumpama bunga itu menyambut kedatangan tiupan angin... hembusan yang terindah dari sebuah kedamaian. Hiasannya mewarnai seluruh alam, dengan rahmat Allah, ia mengalirkan sungai-sungai.... alangkah indahnya ketenangan itu..... di dalam husnul khatimah. Semoga aku dan kau, menikmati hembusan nafas kedamaian ini.

Aku ingin bersama si salik, tetapi kakiku dibelenggu dengan dunia. Aku ingin bersama murid, tetapi aku dipenjara dalam hawa nafsu. Aku ingin dibimbing oleh guru mursyid, tetapi sayang aku dalam tipu daya iblis. Aku ingin duduk bersama wali Allah, tetapi aku seorang pelaku maksiat lagi penderhaka. Aku ingin bersama ahli zuhud, tetapi aku masih memikirkan kepentingan diri yang tidak bermanfaat. Aku ingin bersama 'arifin, tetapi aku dihijab dengan samar-samar dan kegelapan. Aku ingin bersama ulama', tetapi aku masih dilitupi dengan kejahilan. Aku ingin bersama kamu tetapi aku seorang yang tidak berguna.

Layakkah daku? Ke mana perlu aku tuju dalam keseorangan diri ini dan apa yang perlu aku lakukan? Ohhh... dimanakah aku berada? Aku terus bertanya ini walaupun aku masih menzalimi diri sendiri.

Sekarang kita menghadapi gelombang pertikaian sana-sini. Sehinggakan susah untuk menilai mana yang baik lagi buruk. Menghadapi kekeliruan ini, perteguhkanlah dalam hati kamu sekuat-kuat keyakinan bahawa Allah sesekali tidak akan mengabai hamba-Nya yang ikhlas mencari jawapan yang dia kelirukan dan akan memberi hidayah pada hamba-Nya jika ia tersalah dan tersilap haluan, walaupun ia jurang kesesatan. InsyaAllah, suatu hari dengan izin-Nya, kamu akan diberikan kefahaman tahqiq yang sebenar-benarnya, walaupun ia pahit untuk kamu menerimanya.

Asal yang penting bersihkan diri dari syirik yang halus-halus dan sifat-sifat mazmumah agar cahaya kebenaran itu dapat bersinar dalam hati. Jalanlah ke mana yang ia rasakan benar ketika saat berdepan dua atau lebih pilihan. Kalau terpilih haluan yang benar, bersyukurlah dan kalau terpilih haluan yang salah, redha-lah untuk menerima kesalahan dan bersenang hati untuk berubah dari haluan yang lama. Mungkin kamu merasakan kepedihan merasa kebingungan, tetapi suatu hari jika Allah bukakan pintu-Nya, kamu akan bergembira dengan nikmat yang besar. Dalam kesusahan ada kesenangannya. Alhamdulillah..!!

"Dan bahawa sesungguhnya ada di antara kita yang soleh, dan ada di antara kita lain dari itu, kami masing-masing menurut jalan yang berlain-lainan". Surah al-Jinn ayat 11.

Sakit dan sihat, derita dan damai, sengsara dan tenang... semuanya termasuk dalam sunnatullah yang tidak akan berubah. Allah mengaturkannya supaya kita merasakan hidup ini sebuah kisah yang terindah. Kalau tidak mahu merasakan konflik dan epik yang menyakitkan, maka tiada nilai sebuah novel yang dikarang. Kebijaksanaan dan keadilan-Nya mengatasi segalanya. Jangan pernah merasa jemu dan merungut apabila bertemu sebuah kepahitan. Aku terima kebenaran ini walau aku merasa tidak enak.

Mungkin kau semua lebih memahami corak sebuah jalan kehidupan, dan aku hanya seperti kanak-kanak yang meminta itu ini dan penglipur lara yang berceloteh bermacam-macam. Tapi, aku yakin suatu hari.... Allah akan membawa ku melihatnya. Jangan menghina dan jangan memperlekehkan, kerana siapa tahu di mana pengakhiran kita yang akhirnya?..... teruskan menonton persembahan pentas dunia yang mengagumkan ini.

Alhamdulillah, terima kasih sahabat kerana sentiasa berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran, walau aku merasa pahit untuk menelannya, tetapi tidak terbalas budi aku untukmu. Hanya mampu memohon pada Allah agar ditempatkan kamu bersama-sama kekasih-Nya. Kadang aku juga lalai untuk menyedari yang tersembunyi, merasa sudah lengkap terhadap apa yang ada dan tertipu dengan pandangan warna warni dunia. Sebab itulah ubat kepahitan itu disediakan supaya aku tidak terus tertipu dalam kesenangan ini. Dan kadang seorang doktor yang melayani pesakit supaya aku terbuka hati bahawa ada harapan yang tersedia.

Segala puji bagi Allah yang mengaturkan sunnatullah menjadikan skrip kisah manusia itu begitu indah susunan jalan cerita. Kita semua adalah dari-Nya dan kepada-Nya kita kembali. Di situlah kebahagiaan abadi...... untuk para makrifat dan mahabbah atas-Nya.

"...untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan, Kami berkan aturan dan jalan yang terang...." Surah al-Maidah ayat 48.

Mula-mula keliru dan bingung sampaikan rasa "aku tidak akan mengetahui selamanya", tetapi akhirnya sama ada secara mengejut atau perlahan, manis atau pahit, kita menemukan jawapan itu, kemudian kita akan bertemu persoalan baru yang membuatkan kita keliru, lalu kita mendapat jawapannya walau ia mengambil masa yang lama dan apa jua cara jawapan itu diperoleh. Begitulah kitaran yang Allah susun supaya kita menyedari ilmu Allah ini terlalu luas dan tiada penghujung. Bersihkan pandangan mata kita bahawa apa yang dilihat itu bukanlah segalanya, hanya cuma cebisan yang tersusun atur yang kadang-kala menyembunyikan sesuatu.

Tidak akan diketahui melainkan Allah mengajarkan pada kita. Walau dari sudut mana ia mendatang, tetapi ia tetap dari-Nya. Kembalikan seluruh urusan kepada-Nya. Kadang-kala kita "memberontak" jawapan yang kita mahukan sangat itu tidak diketemui dan merasa goyah jawapan yang kita dapat mendapat tentangan dari orang. Oleh sebab itulah perlu menyedari haluan kita adalah berlainan dari yang lain, itu pasti kita akan temukan, tetapi apa yang kita tidak lupa adalah kita semua dari Allah dan kepada-Nya kita kembali.

"Allah mempergantikan malam dan siang, sesungguhnya pada yang demikian itu, pasti terdapat pelajaran bagi orang yang mempunyai penglihatan". Surah an-Nur ayat 44.

Aku keseorangan.......aku bagaikan pepohon yang telah layu, di bawah cahaya matahari yang terik. Panas bahang ini melemahkan semangatku. Kering kontang air ini, tidak mampu lagi aku berdaya untuk berdiri lagi. Ku sangka kan di sinilah aku abdikan diriku, dicatatkan sejarah kisah tentang aku. Dan aku dikenang sepanjang zaman.

Tetapi sayangnya, aku tidak ditemui. Tiada siapa yang peduli tentangku, aku hanya dipandang sekali lalu.... aku tidak dikasihani. Mengapa hidup aku ditakdirkan begini? Adakah di sini sepatutnya jasad aku dikuburkan? Menginggalkan bersama wasiat yang tidak bermakna.... jalan yang tiada kebahagiaan, segala yang dirancang semuanya musnah... dibakar lembaran kertas itu sehangus-hangusnya. Mungknkah aku layak menjadi begini. Entah mengapa... luahan hati ini, tidak kedengaran orang.

Sekarang aku mengetahui, di sebalik ketidakperikemanusiaan ini, semestinya ada yang mengaturkan kisah hidupku ini, supaya aku mengerti, tuan yang mengaturkan skrip ini. Dan sekarang aku rebah... terbaring bersama alam, yang bergerak menurut aturan, dari ketetapan sang pengatur. Aku tidak lagi resah.... tidak lagi bimbang, biarlah diriku ini dibakar api panas ini... kenikmatan ini..... biarlah aku merasainya.... untuk bertemu dengan kekasih yang mengasihani aku.

Biasalah tu, kita akan bertemu orang yang suka bersangka dengan kita, malah yang menghukum kita pun ada. Ada juga nak bandingkan diri kita dengan orang lain dan ada juga nak bandingkan diri dia sendiri dengan diri kita. Ada juga yang mengajak agar ilmunya dan akhlaknya.... malahan cara hidupnya disembah. Akhirnya kita akan berkata, terpulang pada diri masing2 mana haluan nak pergi. Apa yang berlaku semua itu adalah sunnatullah.

Dah tau tak boleh puaskan hati semua orang, jangan marah kalau ada orang tak puas hati ngan kita. Dah tau tu perkara yang diperselisihkan, jangan bengang kalau ada orang tak sependapat. Dah tau kita hanya berkongsi ilmu, jangan p ajak sembah ilmu kita. Kalau dah sedo sedang beri peringatan, jangan tau nak cakap tapi diri sendiri tak nak dengar nasihat jugak.
https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/581449715238959
Walaupun kisah aku tidak dibukukan, cukuplah cerita tentang diriku diabdikan dalam Lauh Mahfuz.....

Harapan datangnya selepas merasa putus asa. Kadang secara sengaja atau tidak sengaja kita mengotori diri kita dengan dosa sehinggakan cahaya dalam hati itu tidak lagi terbit. Kegelapan mulai menyerlah dengan tutupan hijab melihat kebaikan. Maka penyuciannya adalah taubat, mengharapkan maghfirah dari Al-Ghafur yang menanti hamba-Nya kembali pada-Nya. Di tangan-Nya segala pintu keampunan dibuka, semoga kita bersama yang mendapat pengampunan daripada-Nya.

"Dengan sebab itu dapatlah ia (syaitan) menjatuhkan mereka berdua (Adam dan Hawa) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru kepada mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?” Berkata (mereka) : ” Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”. Surah al-A'raf ayat 22-23.

"Kemudian Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". Surah al-Baqarah ayat 37.

Bukalah sayapmu.... terbanglah padaku... bawalah aku ke sana... kepada kebahagiaan yang abadi itu.

Saturday 6 May 2017

Daripada darah terjadilah insan.... terhamparlah ia dalam tulisan pena kitab al-Quran, firman pertama yang mengangkat Muhammad bin Abdullah menjadi Rasul Ummiy al-Amin, rahmatan lil 'alamin. Selawat dan salam ke atasnya. Lalu mengajarlah akan Allah pada baginda apa yang tidak ketahuinya. Iqra'..... setelah baginda dirundum kebingungan akhirnya mendapat petunjuk. Menyaksilah baginda akan Tuhan Yang Menciptakan dan Yang Maha Mulia dan jadilah baginda kekasih-Nya yang agung.

Kisahnya yang agung disebarkan pada seluruh manusia, teladan bagi yang mengharap keredhaan-Nya. Bermulalah dan bertemulah pada Iqra'.

اللهم صل على محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم

Malam Nuzul al-Quran.... elok kita perhatikan semula tentang firman Allah Ta'ala yang pertama, kerana dengan Iqra' terangkatlah insan yang mulia, Muhammad bin Abdullah menjadi Rasul, rahmatan lil 'alamin. Selawat dan salam ke atasnya. Dan bermulalah era hidup baru baginda, iaitu setelah dilanda kebingungan akhirnya mendapat petunjuk, mengajarkan baginda dengan "Qalam" tentang apa yang tidak diketahuinya, dan mendapat undangan mikraj bertemu dengan Tuhannya yang menciptakan dan mulia, jadilah baginda kekasih-Nya yang agung.

Sebab itu, jangan pandang kecil tentang Iqra' ini..!! Kerana iqra' inilah pembuka dan kunci untuk seluruh al-Quran. Diceritakan padanya tentang insan ini diciptakan tentang darah. Sekali gus, seruan untuk mengenal diri kita siapa yang sebenarnya, bila sudah mengenal diri, kenallah kita Tuhan. Keywordnya adalah "darah". Prediketnya adalah insan daripada darah. "Objek"nya Tuhan yang menciptakan dan mulia. Keterangannya mengajarkan apa yang tidak diketahui dengan qalam. Tujuannya Iqra' dengan nama-Nya dan kenal Tuhan Yang Maha Mulia.. Semoga kita termasuk dalam golongan yang Iqra'.

"Iqra' dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Ia menciptakan manusia dari darah (yang beku). Iqra', dan Tuhanmu Yang Maha Mulia. Yang mengajar dengan Qalam. Mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya". Surah al-'Alaq ayat 1-5.

Dan apabila telah kita Iqra', dapatlah kita membedakan yang haq dan bathil. InsyaAllah.

"Ingatlah! Sesungguhnya insan tetap melampaui batas. Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. Sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali. Adakah engkau nampak orang yang melarang, hamba apabila ia solat? Adakah engkau nampak jika ia berada di atas jalan yang betul? Atau ia menyuruh orang bertaqwa? Adakah engkau nampak jika ia mendustakan serta ia berpaling ingkar? Tidakkah ia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat? Jangan (derhaka)! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti, nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya. Ubun-ubun yang berdusta, yang bersalah! Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya! Kami pula akan memanggil malaikat Zabaaniyah! Ingatlah! Janganlah engkau menurut kehendaknya, dan sujudlah dan dampingkanlah dirimu (kepada Allah)". Surah al-'Alaq ayat 6-19.

Tertipu dengan fikiran, sangkanya dapat memahami keseluruhannya. Tertipu dengan rasa, sangkanya sudah punya banyak pengalaman. Racun paling halus yang menghalang untuk melihat kebenaran. Itulah kebolehan iblis... mengindahkan pandangan sesuatu keburukan. Disangkanya baik tetapi sebenarnya buruk, disangkanya buruk tetapi sebenarnya baik. Kita boleh lihat sendiri apa yang dibawa oleh "utusan"nya, al-Masih ad-Dajjal, mengelirukan antara api dan air.

Sebab tipuan fikiran dan rasa inilah melahirkan sifat keakuan dan seterusnya mazmumah yang lain. Cahaya kebenaran hanya dibuka setelah mana menyerahkan segalanya pada Allah dan mengosongkan keupayaan dalam diri. Selagi mana dalam fikiran dan rasa, selagi itulah dalam tipuan yang halus menipu diri sendiri.

Bukalah sayapmu,
kibarkanlah kepakmu,
luaskan kekuasaanmu,
jajahlah dengan kegagahan,
engkau pahlawan yang perkasa,
berdiri di atas takhta yang mulia,
dalam singgahsana yang agung,
kekuatanmu dalam genggamanmu,
darjatmu dijulang tinggi,
mereka berarak patuh kepadamu,
akur dengan titah perintahmu,
tunduk dengan aturan yang kau binakan,
gerun mereka mencabar keberaniannya,
semarak semangatmu membakar dada,
engkau sekali-kali tidak gentar pada mereka,
musuh engkau ditakuti,
kawan engkau dihormati,
dan engkau.... khazanah segala kebesaran!

Perlunya diberi perhatian tentang Iblis lebih dari makan dan tidur. Silap langkah termakan tipu daya dia, alamat nerakalah jawabnya. Usah peduli paras rupa yang menakutkan, yang khuatirnya bagaimana kita nak lepas permainan dia. Kalau dah terperangkap, jadilah orang yang berpura-pura perwatakan baik dan membuat keburukan yang telah ditipu akan indahnya. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Kalau dah tertipu dengan rasa dan fikiran, terlituplah penglihatannya dalam hijab kegelapan persangkaan.

Orang yang hanya melihat iblis secara teks semata-mata tidak akan dapat melihat liciknya kerana takhta iblis ada dalam hati setiap orang, dan hati itu bukanlah urusan yang zahir, tetapi ia batin yang tidak dapat digapai pancaindera kta. Mahu atau tidak, hanya cahaya kebenaran Allah sahajalah yang dapat menerangi alam batin yang sangat gelap. Orang yang meletakkan pergantungan pada amal dan ilmu, jadilah sepertimana iblis yang azazil dahulu. Keluar daripada diri meletakkan pergantungan pada keduanya, serahkan segalanya dan kembalikan semuanya pada Allah Ta'ala kerana haq dan hidayah hanya milik-Nya. Dengan itu, atas izin-Nya, datanglah kekuatan Allah membungkam iblis dalam diri.

"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan, manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu". Surah al-An'am ayat 112.

Sudahnya kemaruk dengan iblis.... mengapa pula dinantikan kehadiran sang Dajjal? Apa yang menyebabkan kau ingin lebih tahu tentang mereka? Bukankah mereka ini musuh yang nyata padamu? Mengapa engkau mencuba mencari apa yang mereka sembunyikan, padahal sesekali iblis itu ghaib dari pandanganmu dan dajjal sesekali akan membinasakanmu?

Sahabatku, tidak aku fahami... mengapa engkau dilontarkan tuduhan yang tidak elok padamu? padahal engkau bertanyakan sesuatu yang engkau tidak tahu dan faham? Oh! Apa yang menyebabkan engkau dibenci? padahal engkau ingin mengenali mereka? Adakah kerana persoalan kau yang tidak mendapat jawapan, menyebabkan engkau kebingungan? dan kau merasakan seolah-olah tiada orang walaupun sang 'alim membantu kamu menyelesaikan kekusutanmu?

Wahai sahabat... aku masih tidak memahami, apa yang kau cuba carikan pada Iblis dan Dajjal? bukankah mereka ini tidak membawa pada kebahagiaan melainkan kesesatan? aku tidak mampu untuk berbuat apa terhadapmu... aku mengharapkan kau menemukan jawapan yang akan mententeramkan hatimu. Biarlah orang itu melemparkan kebodohan ke atasmu kerana semangat kuatmu untuk mencari jawapan tentang mereka, semoga engkau sentosa sentiasa...

Iblis... Dajjal... Syaitan... dan lainnya, mengapa engkau sangat misteri?

Menyebarkan kanser... dalam terang cahaya matahari.... biarkan mereka merasakan bahangnya... sehingga terbenam matahari...

engkau menyembunyikan khianatmu.... engkau menyebarkan kerosakan sehingga hancur selebur-leburnya... indah gemerlap dalam kibaran sayapmu, rupanya wajah syaitan engkau sembunyikan dari topeng bidadari.

Betapa hebatnya dusta kamu, menghamburkan kata-kata yang menggoda semata-mata kepura-puraan yang diliputi dengan kebencian yang nyata. Ohh! terbanglah kamu pada penghujung dunia... kelak engkau akan dibinasakan walau terbakar kamu yang berdiri di situ.

Kadang jawapan tidak diberikan secara terus kerana mengenal adalah dengan kefahaman, bukan ikut-ikutan. Malah kadang apa yang diterangkan melalui dakwat dan pena di atas lembaran adalah semata-mata untuk menggerakkan kefahaman akal, bukan menjelaskan hakikatnya sebenar. Manisnya gula, tidak dapat diketahui melainkan merasainya sendiri. Walaupun ada berbagai-bagai ibarat dan perumpamaan untuk menceritakan manisnya gula, itu cumalah untuk memberi faham pada akal semata-mata, bukan pada hakikat yang sebenarnya. Sebab itu sesiapa yang memegang zahir ibarat itu, maka sesatlah ia dalam fikiran yang kononnya sudah mengenal lagi faham.

Mungkin kita mengalami kebingungan kerana jawapan yang diinginkan tiada mendapat, tetapi yakinlah bahawa Allah sekali-kali tidak akan mengabaikan hamba-Nya. Bersabarlah dan tetapkanlah pendirian di atas berserah diri. Jika kita mengeluarkan dirinya dari belenggu fikiran serta pergantungan pada ilmu dan amal, maka terpimpinlah orang itu pada kebenaran sehingga kekeliruan yang ia hadapi terlerai dengan indah. Alhamdulillah..!!

"Dan apabila mereka mendengar apa yang diturunkan kepada Rasul, engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui dari kebenaran, sambil mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami beriman, oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi". Surah al-Maidah ayat 83.

engkau sembunyi dalam kesamaran kabut...,, entah terang entah gelap... kau tetap musuh yang nyata, walau dirimu itu ghaib dari pandangan... engkau menjalankan tipu dayamu dalam kesamaran itu, menjadi penyelamat palsu bagi mereka ditimpa kesusahan dan teman yang berpura-pura pada mereka yang senang. Rupa, wajah, warna dan corak yang engkau ciptakan itu semata-mata untuk mengaburkan mata mereka yang tidak mengenalimu. Ohh! engkau pelakon pentas dunia yang termahsyur lagi teragung, kisah yang engkau calitkan itu.... semuanya telah tertulis.

Mereka hanya mengajak kamu menyembah ilmu, akhlak dan cara mereka. Firaun moden tidak akan sekali-kali mengaku secara terang bahawa dia adalah tuhan atau memaksa sujud padanya, cukuplah ia mencerca kamu kerana tidak mahu menyembah apa yang ia punyai kelebihan dan mengagungkan dirinya yang lebih dari orang lain. Kadang ia sendiri tidak menyedari bahawa dia telah menjadi Firaun, walaupun mulut menafikan dan akal mencari-cari takwil untuk menipu diri sendiri. Mereka kononnya mengajak orang pada kebaikan, tetapi mencuba mengangkat dirinya sebagai tuhan.

Biarlah pujian-pujian dari mulut pengampu itu menjadi tegukan dan celaan atasnya menjadi musuh yang perlu dibunuh. Jika kamu tidak mengikutinya sama ada kefahaman, akhlak dan cara mereka pasti kamu akan dibenci dan ditentang habis-habisan. Bersabarlah kamu dalam menghadapi Firaun moden yang bertopengkan kebaikan.... kerana bongkak dan takabburnya pasti akan dibinasakan dan dibalas dengan setimpal. Dan janganlah kamu terperangkap dalam tipuan diri sendiri.

"Dan dengan itu Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan, dan tidaklah ia membawa mereka ke jalan yang benar". Surah Thoha ayat 79.

Peduli apa rupa syaitan dan iblis ni menakutkan, yang patut pedulinya bagaimana nak selamat tipu dayanya. Setakat tahu paras rupa Dajjal, syaitan dan iblis belum tentu aman dari fitnahnya sebab fokus pembawaannya adalah mengelirukan antara api dan air serta menyesatkan kamu, bukan setakat menakutkan kamu. Kalau Nabi Adam AS yang telah bertemu Allah pun boleh tewas, bagaimana dengan kamu yang entahmengenal Allah atau tidak? Lagilah tiada jaminan untuk selamat!!. Buang perasaan telah sentiasa merasa selamat dari iblis, sentiasalah berwaspada kerana "Air yang tenang jangan disangka tiada buaya!"

Iblis bertakhta di hati setiap orang dan hati adalah urusan yang halus dan ghaib. Maka pandangan zahir dan teks semata-mata tidak dapat untuk mengawasi kelicikan iblis, hanya pandangan batin sahaja dapat melihatnya.

"Selain dari Allah? dapatkah mereka menolong kamu atau menolong dirinya sendiri? Maka mereka dijungkirkan dalam neraka bersama orang yang sesat dan bala tentera Iblis semuanya". Surah asy-Syua'ara' ayat 93-95.