Saturday 8 October 2016

Secara zahir, lailatul qadar hanya ada pada fasa akhir bulan Ramadhan, tetapi batinnya, ia ada setiap hari dan setiap masa, tinggal kita mencarinya atau membiarkannya. Jika pancaran cahaya rembulan malam lailatul qadar itu lebih bersinar dari seribu bulan, ketahuilah bahawa Allah terlebih dari itu. Manifestasi sifat An-Nur Nya memantulkan keindahan gubahan dari af'al-Nya, keagungan dari sifat-Nya dan ghaibnya zat-Nya dari kesembunyian dalam terang cahaya. Sesiapa yang memperoleh cahaya itu, selamatlah ia bersama kebenaran yang sejati.

Memandang yang dekat mengapa perlu diteropong?
Memandang yang jauh mengapa pandanganku tidak kesampaian?
Memandang yang tertutup mengapa mataku tidak dapat ku tembusinya?
Memandang yang zahirnya mengapa aku tidak menyedarinya?
Memandang Allah mengapa mataku terpecah...???

Zahir dan batin tidak sama ibarat tangan kanan dan kiri, tetapi jika tangan kanan dan kiri dicantumkan, jadilah ia satu lalu bergerak seiring dan berpisah tiada. Jangan bila dah dicantumkan tu dah tak boleh nak beza tangan kanan dan tangan kiri tu. Pelihara zahir dan batin sebaik-baiknya

mereka mencari aku...
tetapi aku tetap melarikan diri.
mereka mengharapkan pertolonganku,
malangnya aku jua tidak dapat menolong diriku sendiri,
mengapa engkau terus memandang padaku?
siapakah aku padamu?
aku ingin meninggalkan segala sedih dan sayang,
dari pertemuan dan perpisahan selama yang kita lalui,
betapa berat untuk menanggung semua ini,
aku tidak lagi mampu untuk berhadapan dengannya,
walau kita sama-sama meniti pedih dan gembira,
mengenang semula suatu kepahitan untuk dihadam,
mengingatkan semula salah dan silap terhadapmu,
bersalahan diriku untuk bermuka dihadapanmu,
tinggalkanlah aku... wahai teman yang baik hati,
walau hati ini kecewa kekurangan kasih sayang dari seseorang,
aku akan mencari kebahagiaan.... dalam kesepian seorang diri,
semoga kau semua temui tempat kembali yang indah damai.

Masih jauh lagi rupanya.... untukku sampai pada puncak kebahagiaan itu... di mana kasih sayang diberikan secukupnya padaku.... kebenaran terhias indah di dalamnya... penat lelah ku mendaki gunung yang tinggi... aku semakin dijauh dan dijauhkan... entah mengapa aku masih terperangkap.... dalam penjara yang tidak berpenghujung... berpusing-pusing pada bulatan yang sama.... kerana kegelapan yang menyelubungi ini... aku teraba-raba dan sesat... cahaya yang dipancarkan jua... terlalu terang cahayanya... sehingga mataku musnah kerana sinarnya... alangkah bertambah jauhnya aku darinya...

mengapa aku tidak kesampaian... apa yang masih membingungkan aku? dan apa yang masih tidak ku sedari?.... apakah ini penyesalan yang telah tidak lagi berguna... luahan yang diungkapkan tidak lagi kedengaran, tangisan berdarah tidak lagi berharga... apakah semua ini? di mana logiknya dan di mana jawapannya? mungkinkah di sini aku bersemadikan..?? bersama-sama dengan kecewa yang ditinggalkan akan wasiatnya?

Mimpi yang diberikan padamu jangan diabaikan maknanya, kerana Allah mengajar orang mukmin dengan perumpamaan. Bila dikata perumpamaan ia bukan bermaksud pantun, puisi, syair atau ayat metafora yang perlu diterangkan maknanya, tetapi gambaran dalam mimpi juga boleh menjadi ibarat atau perumpamaan. Tidak ada istilah permainan mimpi. Sama ada baik atau buruk mimpi tersebut, Allah mengajarkan sesuatu.Jawapan tentang pengajaran Allah ada dalam itu bagi orang yang berakal.

Kerohanian kadang pelajarannya bukan dari lidah orang yang menyampaikan ilmu, tulisan dari teks atau pengalaman dari pandangan yang memandang, ia jua berupa mimpi. Bukannya ingin mengatakan mimpi itu sebagai hujah sesuatu, tetapi ia pelajaran untuk diri sendiri sudah memadai. Carilah bimbingan guru mursyid supaya persoalan dan jawapan kerohanian tidak disalahtafsirkan dan diselewengkan maksudnya. Mudah-mudahan kita semua mencapai pemahaman tentang ma'rifatullah.

"Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahwa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?". Dengan perumpamaan itu banyak orang yang di sesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu banyak orang yang di beri-Nya petunjuk. Dan tidak ada yang di sesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik". Surah al-Baqarah ayat 26.

Kata-kata mereka begitu sulit dipahami. Tajam, lembut, syahdu, romantika dan pelbagai lagi corak warna-warni bahasanya. Ada sahaja metafora yang digubah olehnya menimbulkan kelainan pada yang kebiasaan. Disebabkan itulah banyak sahaja tekanan dari orang yang tidak mengerti yang suka memandai-mandai. Apa hendak dibuat lagi, mereka telah mengambil hak yang bukan kepunyaannya baik secara langsung mahupun tidak. Entah mengapa dengkinya menguasai dirinya? Apakah salahnya pada pandangan matanya? Apakah yang telah membuatnya pemikiran begitu sempit sekali?

Mengapa dia membuat perbatasan sesuka hatinya walhal dia tidak berhak untuk melakukan demikian? Itulah apabila sudah hilang kasih pada dirinya. Dia pula lagak menjadi hero di hadapan orang, cuba membongkari kesilapan yang dibuat. Malangnya tidak menyedari dia telah membuka 'aibnya sendiri tanpa dia sedar. Semakin terserlah kebodohan lagi sombongnya dalam bicara yang berapi-api. Mengapa mereka tidak memahami bahasa? Manakah lagi adab yang sepatutnya diletakkan? Patutkah seorang yang berbahasa pasar menilai perkataan seorang sasterawan?

Ku sangkakan ku dalam mabukan dalam cinta, rupanya angan-angan dan khayalan yang memabukkan aku. Tidak aku sedar rupanya aku melampaui batas dalam bermetafora menyatakan perasaan yang membuak-buak di hati. Aku mengharapkan orang mendengar luahan aku, tetapi mereka tidak mahu menuju padaku. Dan jika mereka menghadapku, ludahan mereka berikan padaku. Ku sangka kan lagi telah merdeka dari pemikiran sempit mereka yang tidak menjiwai apa yang aku lalui. Alangkah ruginya aku merugikan diriku sendiri kerana terpedaya dengan indah khabar dari rupa. Selama ini ku mencangkul angin yang hanya mendapat lelah semata-mata.

Oh! Betapa lukanya hatiku ini... menyedari kesilapan yang aku tegukkan selama ini. Oh! Tidak sangka begitu pahit kebenaran yang mendatang ini. Betapa selama ini aku berpisah dengannya sekian lama dan terdampar dalam persangkaan semata-mata. Aku hanya bermain dalam berkata-kata tetapi aku tidak hidup bersama realiti yang membawa ku kepuasan yang memberikan kecukupan dan ketenangan. Lamunan mimpi-mimpi ini dalam fantasi yang tidak penghujung, selama ini menjadi api dalam sekam yang membakar diriku secara perlahan dan sembunyi.

Oh! Biarlah aku menyanyikan lagu menenangkan perasaanku yang berkecamuk, sambil bermadah bahasa yang mengalunkan hiburan... mudah-mudahan aku menemui semula asal dan usul yang telah aku tinggalkan.

Kalau tidak dijadikan jodohnya untuk bertemu memang tidak akan bertemu. Mungkin kita merungut mengapap pertemuan yang diharapkan tidak kesampaian. Walaupun meraung dan menjerit, jawapan tidak diberikan respons. Mahu atau tidak, kita akan tunduk sabar dan redha dengan keputusan yang telah Allah berikan.

Betapa susahnya mahu berserah pada yang menentukan segalanya, sebab kita masih tidak melihat kehalusan-Nya dalam mentadbir segala sesuatu. Entah mahu bersedih atau tidak, biarlah ia berjalan berlalu pergi, kerana kita bukannya punyai kuasa untuk membuat keputusan atau pilihan. Biarkan Dia hendak berbuat apa sahaja, kerana kita tidak layak mempersoalkannya.

Yakinlah.. kerana kebenaran tetap didengari walaupun ia bisikan halus dari sembunyi yang tidak dapat ditemui. Memadamkan sangkaan tidaklah semudah yang disangkakan, sebab itulah kalau masih terduduk dalam sangkaan, kesesatan pasti akan mendatang jua.

:::Kekecewaan yang melanda:::

Kata-kata mereka penuh dengan metafora. Kiasan gubahannya tiada mampu dicapai orang biasa. Hikmah yang dipancarkan menyejukkan darah yang kepanasan. Kalau dibentangkan emas dan permata di hadapannya, tentu hancur kerana menanggung keagungan bahasanya. Itulah kalam yang terbit daripada kebenaran. Kalau ia berbisik di persembunyian yang tiada tempat untuk ditemui, pasti kedengaran walaupun orang itu pekak. Cahaya yang bersinar pasti akan tampak kelihatan meskipun orang buta dalam keghaiban alam. Menggegar bumi dan langit kerana sahutan yang dilaungkan memecahkan keheningan mimpi fantasi yang tiada penghujung.

Hairannya, mengapa ada jua yang menolak kebenaran?

Kalau masih belum menyaksikan, ia masih duduk dalam persangkaan. Dalam persangkaan itulah iblis duduk dalam gelap yang tidak kelihatan dan terang yang tiada perasan kehadirannya. Tidak hairan mudah sahaja syaitan membisikkan was-was kerana keyakinannya masih tidak terbina lagi. Mencari-cari dalam terang dan meraba-raba dalam gelap, akhiranya entah apa yang ditemui? Aahh!! Memang sulit untuk direnungi tetapi itulah yang kita lalui setiap hari. Jeritlah kau sekuat-kuat hati untuk melepaskannya, tetapi apa guna kalau kau memanggil yang kau tidak kenali?

Terima kasih yang sudi mendoakan dan memaafkan secara sembunyi walau zahir tidak seperti kawan yang rapat, malahan bertemu secara berhadapan pun tak lagi. Kalau doa kebaikan kamu terhadap saudara tak diperkenanan ada lah sebab nya tu. Kalau memaafkan orang tapi masih tersimpan panas terhadap orang lain dan susah untuk melupakannya, cubalah berlakon baik walau terpaksa. Kisah semalam belum tentu sama dengan kisah hari ini, biarlah setiap hari diisi dengan kebaharuan. Teruskanlah memaafkan orang walaupun tidak menzahirkannya di hadapannya.

Maafkanlah mereka yang tidak mampu menolong kamu dalam kesusahan atau apa-apa keperluan, sebab mungkin sahaja diri dia sendiri tidak dapat menolong. Maafkanlah mereka tidak dapat tunaikan janji dan bersangka baiklah kerana dia mungkin malu atau tidak sanggup untuk beritahu perkara sebenar. Maafkanlah mereka yang tidak dapat meneruskan komunikasi dan perhubungan kerana mereka jua mahu bersendirian. Siapalah tahu isi hati orang kan? Musyawarah selagi berkemampuan. Saling berdoa sesama rakan walaupun hanya rakan di muka buku. Kalau hidup mahu dengan keindahan sayangilah sesama rakan.

"Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonkanlah ampun dari mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya". (Surah 'Ali Imran ayat 159.

:::Iblis yang bersembunyi:::

Kebangkitan yang bermusim,
beriringan ganti siang dan malam,
Iblis berdiri setiap waktu,
menghamburkan sesat pada orang,
sedang mereka tidak menyedari,
penjara yang tersembunyi,
membelenggu diri,
kasihan mereka terperangkap dalamnya,
tetapi sayang sekali....
mereka masih menyebut tentang perjuangan,
membebaskan sengsara yang ditindas,
kebenaran tidak tercapai pada mereka,
kerana mereka telah buta, tuli dan beku akalnya,
Oh! biarlah mereka bermain-main dalamnya,
peringatan yang disampaikan....
mudah-mudahan mereka merenungnya.

Sembunyikan khianatmu,
simpanlah paling tadahmu,
jangan berundur... jangan sesekali!
kerana kau jarum racun yang halus..
dalam kibaran sayap rama-rama,
alangkah sadisnya permainan yang kau mainkan,
bidak catur yang kau gerakkan,
semua terlaksana dalam perancangan,
konspiarsi yang menyimpan dendam di hati,
Oh! biarlah aku saksikan saat kehancuran itu,
bila tiba masanya... kau ketawa riang gembira,
bertepuk tangan berteriak ceria pengikutmu...
suatu hari nanti kita akan melihat kebenarannya,
suatu hari nanti..!!
suatu hari nanti..!!

Layakkah orang yang berbahasa pasar menilai perkataan orang sastera?

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/594239933959937
Terbelit dalam permainan bahasa. Tidaklah mahu untuk menyulitkan kamu tetapi kerana ia masih belum layak dikalung untukmu. Bukan kerana ketinggian bahasanya, tetapi maksud yang mahu ditujukan itu khuatir tersalah langkah tujuannya. Janganlah terus merasakan ego kerana itulah hijab untuk menikmati keindahan suara yang mereka bisikkan dalam jiwa yang tenang.

:::Malaikat tidak berhenti memuji Tuhannya:::

Terbelit pada filosof, kononnya mahu menyampaikan hal-hal yang halus. Tetapi perangkap fikiran masih lagi terbelenggu. Masih lagi teraba-raba dalam gelap dan berjalan di dalamnya dengan persangkaan. Sudahnya salah mengambil sesuatu sebagai petunjuk, akhirnya bertambah-tambah sesat dalamnya. Bersastera untuk memaparkan kebolehan ia mengolah sesuatu, tetapi gema tin kosong lebih kuat bunyinya. Hanya sekadar hiburan untuk pemabuk fikran yang tidak mengerti kegilaan. Oh tidak! Inilah kehancuran yang bakal dihadapi.... dalam senyap membakar api sembunyi dalam sekam.

::::Syaitan yang membisikkan was-was:::::

Duduk dalam zikrullah, tenangkan hati yang berkecamuk dengan bolak-balik hati yang tidak menentu arahnya. Masing-masing menarik satu sama lain mendabik dada merekalah yang benar. Entah mana pilihan yang perlu diberi kata putus dan keputusan yang muktamad. Usah takut kalau tersalah arah pilihannya, kerana kalau keyakinan pada Allah itu sentiasa menunjukkan hamba-Nya pada hidayah dan sesekali tidaklah Dia mengabaikan hamba-Nya, datanglah dari arah mana jua bisikan yang cuba menarik perhatian, tetap jualah ia dalam lindungan-Nya bagi yang sudi mencari sinar haq-Nya.

Biarlah penghinaan itu datang ke mari bertubi-tubi, mereka memanggil teman-teman, sekutu-sekutu dan ahzab mereka untuk memperlekehkan kita atas apa pandangan yang kita perhatikan, kerana sesekali bukan mereka yang memberi mudharat dan manfaat dan bukan mereka pun yang menunjukkan jalan yang benar dan bukan mereka pun kita mencari keredhaannya. Sentiasa bersedia untuk menantikan pengadilan-Nya kelak pada hari yang ditentukan, sama-sama kita saksikan keputusan yang bakal hadir. Kalau sudahnya mendapat tangan kanan, alamat beruntunglah ia pada rahmat dan kalau peroleh dari kiri atau belakang, maka nantikanlah keadilan atas ia menjalankan hukuman-Nya. Apa nak khuatir lagi? Itu semua ketetapan sejak azali dalam takdir yang telah disusun rapi. Biarlah ia semua berjalan, asalkan kita pandai-pandai membawa diri yang berdiri di atas ketentuan yang telah Dia tetapkan.

Mereka itulah orang yang telah Kam berikan kitab, hikmah dan kenabian, jika orang itu mengingkarinya, maka Kami tidak akan menyerahkannya kepada kaum yang tidak mengingkarinya. Mereka itulah yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka ikutilah petunjuk mereka, katakanlah, "Aku tidak meminta balasan kepadamu dalam menyampaikan, ia tidak lain hanyalah peringatan untuk sekalian alam". (Surah al-An'am ayat 89-90)

Pengalaman membawa kepada pengenalan. Kerana ia suatu yang halus untuk membentuk peribadi dan kefahaman akan sesuatu perkara. Walaupun ia tidak menyaksikan dengan kasyaf, tetapi sudahnya menempuh jalan itu membawa ia kepada kesedaran tentang sesuatu. Walaupun tidak memperoleh pengenalan terhadap syaitan melalui kasyaf, tetapi pengalaman dahulunya yang telah membawa ia hizbussyaitan, akhirnya setelah mana mendapat petunjuk, ia telah benar-benar nekad dan tidak lagi berbelah bahagi terhadap apa yang ia rasakan dan perolehan itu. Syaitan sememangnya pembawa kesesatan yang jahat.

Kerana ia sudah menempuhinya, terbitlah matahari untuk menyinari hatinya dengan haq. Sekarang ia sudah meninggalkan hidupnya yang lama bersama syaitan dan kemudian telah mencapai keteguhan sepertimana para malaikat. Tetapi sisa rasa pengalaman akan kehidupan ia yang lalu, memberi bekas padanya bahawa inilah tentang makrifat tentang syaitan. Walaupun orang lain makrifat akannya melalui kasyaf, tetapi cukuplah pengalaman ini membawa kepada kefahaman. Bukan sengaja ia memilih jalan syaitan dahulu, mungkin sahaja tidak tahqiq kefahamannya atau tidak sengaja salah memilih haluan dari bisikan yang mendatang. Apa jua pun sebabnya, dapatlah ia mengenali syaitan yang direjam. Semoga kita semua mengenal syaitan musuh yang nyata.

"Sesungguhnya orang-orang yang berpaling di antara kamu ketika terjadi pertemuan antara dua pasukan itu, sesungguhnya mereka digelincirkan oleh syaitan, disebabkan sebahagian kesalahan yang telah mereka perbuat, dan sesungguhnya Allah memaafkan ke atas mereka, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun" (Surah Ali Imran ayat 155).

:::Ya Tuhanku! Alangkah pemurahnya diri-Mu, maka ampunilah kami semua:::

Salah satu perumpamaan yang Allah berikan kepada manusia adalah isyarat. Bab ini agak berat untuk difahami kerana memahami isyarat bukanlah semudah mentakwil mimpi yang diterima. Kita memahami isyarat sesuatu perkara yang Allah ingin tunjukkan sebagaimana kita memahami bahawa mendung awan itu tandanya hujan. Seekor kucing yang meow meow pada kita, dan kita faham kucing itu lapar dan mahu makanan. Bagaimana kita boleh mengetahuinya? Kerana kita kenal kucing itu. Datanglah apa jua isyarat dari kucing itu, tetap ia dapat mengetahui apa yang kucing itu mahukan. Tidak perlu syarah ilmu, sudah pun kita tahu tentangnya.

Dalam kerohanian pentingnya kita mengetahui isyarat yang mendatang, kerana supaya dapat beza isyarat dari syaitan, iblis, malaikat, hawa dan lain-lain. Hal ini perlulah diberi perhatian kerana salah arah petunjuk isyarat dan silap memahaminya, alamatnya mungkin terperangkap dalam kesesatan yang jauh. Apabila datangnya ilham, kita menganggap ia dari malaikat, tetapi hakikatnya was-was dari syaitan. Oleh itu kenallah namanya dan barangnya kemudian letakkan ia di tempat yang sepatutnya. Supaya apa jua mendatang kita dapat membezakan isyarat yang mendatang sama ada secara jelas atau halus. Walau apapun bentuk, rupa, wajah, warna, corak dan nadanya, kita dapat mengenal pasti isyarat itu.

Dahulu kita berselisih, akhirnya sepakat dalam satu faham, walaupun pembawaan kita berbeza-beza. Segala puji bagi Allah yang menunjukkan hamba-Nya ke jalan yang lurus. Aku tidak lagi ragu......

:::::Menangis mengenangkan kebodohan yang lalu:::::

Pencarian tiada penghujungnya. Kalau dahulu ia terperangkap dalam tulisan di atas lembaran kertas yang disusun dalam kitab, tetapi kini ia pula berhadapan dengan awang-awangan fikran yang membawa khayalan terbang jauh dari jalan yang sepatutnya dilalui. Kebenaran itu sembunyi, tersangat halus dari pandangan biasa. Kalau ada tembok untuk menyembunyikan, melepasi seribu tembok pun masih lagi sukar untuk ditembusinya. Tetapi ia tersangat dekat, dalam cahaya ia bersinar dan dalam gelap ia menyelubungi. Entah mengapa kita tidak menyedari keberadaannya di sisi kita? Apakah yang menghijab kita sebenarnya? Masing-masing bertanya pada diri.

::::Iblis yang menyembunyikan kebenaran:::::

Monday 5 September 2016

Kalau mulut dah asyik menyebut "baik daripada Allah, buruk daripada manusia"... yang terasa hati orang hina tu kenapa? Dah namanya manusia... mestilah dapat tempiasnya akan keburukan, apa masalahnya lagi? Biarlah mereka terus menghina, sebab memang kehinaan memang layak dituju pada kita. Carilah jua keredhaan Allah itu. Adakah dikritik itu tanda dihinakan?

Ma'rifatullah. Sangat berbeza orang yang berkhayal dan merasa. Sangat berbeza jua orang yang yakin dan bersangka. Masing-masing pertahankan pendirian terhadap apa yang ia genggamkan. Terus menerus berselisih sehingga tertimbulnya kekeliruan mereka yang berjalan mencari kebenaran untuk direnungi. Ada juga yang ingin menjadi hakim. Menjadi hero di hadapan orang tetapi dikuasai oleh iblis yang bersembunyi. Nyata makrifat itu... semata-mata untuk menyatakan dirinya sahaja. Jangan tersilap faham kenyataannya kerana itu akan memalingkan diri kepada kesesatan yang jauh. Kalau Allah membukanya, entah apa lah yang bakal terjadi mereka menyaksikan dan merasakannya. Hanya Allah dan dirinya sahaja yang mengetahuinya.

Oh makrifat..
keindahan gubahanmu,
tidak terlukis dalam wajah,
misteri yang menyimpan rahsia,
tersergam indah dalam sembunyi,
debaran yang menggegar jiwa,
aku mencarinya mengapa tidak ditemuinya?
aku menunggu mengapa tidak dihadirkan dirinya?
aduhai... entah apa lagi yang perlu aku lakukan lagi?
untuk sampai bila aku terus
bersangka tentang Tuhan Yang Agung?
Oh! alangkah pilunya jiwa ini...
mengenangkan kenistaan yang menyelimut diriku..
siapa lagi yang boleh selamatkan fitnah ini...
melainkan hanya Allah Yang Pemurah?
Nafsi... nafsi... nafsi...

Bab hakikat usah diminta penjelasan, kerana ia memang tidak ada penjelasan. Orang marah kalau terangkan secara sekerat-kerat yang menyebabkan kekeliruan orang, tetapi nak buat camna hakikat ini memang sekerat-kerat penerangannya. Bagaimana nak menguraikan rasa manisnya iman? Hanya ibarat atau perumpamaan diberikan mudah-mudahan membawa ia kepada faham akalnya, supaya dari akal turun ke hati untuk benar-benar merasa. Bersyukurlah orang beri ibarat tentang hakikat sesuatu, kalau tak entah sampai bila orang nak mengerti? Diberikan ibarat atau perumpamaan bukannya jenis orang yang tidak menyampaikan dengan jelas, menyembunyikan kebenaran, sengaja menimbulkan kekeliruan, mencari perbalahan dan menyusahkan orang.

Kalau masih mahu bersyarah-syarah dalam ilmu, berterusanlah ia dalam persangkaan. Sangat berbeza orang yang benar-benar merasa dan berkhayal tentang manisnya iman. Sangat berbeza orang yang yakin dan bersangka tentang manisnya iman. Jika disuruh mencari sendiri jawapan itu bukan bermakna orang itu kedekut ilmu. Cubalah renungi bagaimana hendak menceritakan manisnya iman. Mampukah ia disyarah panjang berjela-jela? Merasa sendiri manisnya iman, barulah mengerti apa yang ingin difahami. Kalau mahu berhujjah lagi bab hakikat ini jangan diharapkan ditemukan jawapannya. Kalau peroleh pun hanya gambaran kasar sahaja yang bakal diperoleh, selebihnya jawapan itu tinggal diusaha sendiri.

Kasyaf paling penting adalah dapat mengenal tipu daya syaitan. Setakat dapat tengok rupa menakutkan syaitan tetapi syirik yang tersembunyi masih melekat dalam diri buat apa? Mencari kasyaf bukan mahu mencari karamah, tetapi mahu selamat dari bisikan kesesatan syaitan. Sampai bila mahu mengaku kenal Allah tetapi hatinya kotor dengan syirik? Sampail bila mahu terus menipu diri sendiri? Sampai bila mahu diinjak-injak oleh syaitan sampai ke neraka. Jangan pandang kecil dan remeh terhadap syaitan. Ia lebih penting dari makan dan tidur! Kalau makan dan tidur masih dalam tipu daya syaitan, alamat celakalah nasibnya.

Iblis nyata khayalan tentang sesuatu dan bersangka-sangka dalam pegangan. Kasihannya, tertipu dengan permainan bahasa. Bermain-main dalam gubahan indah sastera yang menggiurkan pembacaan. Akhirnya bertaut pada tulisan, bahasa dan kalam yang mati. Kalau sudah tidak melihat kenyataannya dan tidak mengenal tipu daya syaitan, sampai itulah masuknya dalam kesesatan yang jauh dalam kelicikan dan kehalusan. Mabuk tapi pura-pura mabuk, masih mencari-cari takwil dan meraba-raba yang betul, akhirnya terhijab daripada kebenaran.

Cubalah bersabar sikit nak cari kebenaran. Jangan gopoh. Ikut tertib dan berdisiplin. Kalau semua nak sumbat secara terus, tak ada gunalah penantian dan kesungguhan mencari jawapan itu sendiri. Jawapan yang tidak diberi secara direct bukan bermakna orang itu tak sudi menjawabnya, tetapi mungkin sahaja kamu masih belum layak menerimanya lagi, atau jawapan itu hanya diri sendiri tahu, tinggal mencarinya sahaja atau mungkin sahaja belum waktunya untuk dibuka fahamnya. Tidak berikan jawapan secara direct belum bermakna ia tidak mengetahui jawapannya atau ia tidak menyampaikan secara jelas. Kadang-kala diberi kiasan atau penerangan ringkas supaya kita mengenal erti penantian waktu yang bakal tiba dan kesungguhan mencari jawapan itu sendiri.

Orang-orang kafir bertanya bila waktunya kiamat? Jawapannya tunggu sahajalah saat itu dan kamu akan saksikannya. Tunggulah kerana kami juga termasuk orang yang menunggu. Tak guna terus bahas lagi, biarlah mereka nak ejek kita tak memberi jawapan kerana tidak semua soalan perlu dijawab. Dan Allah suruh memerhatikan langit ini, ada apa pada langit ni? Pergilah keluar rumah, tengok ke langit, kemudian rasailah dan saksikanlah sendiri apa hasil yang kamu dapat. Jawapan itu bergantung pada masing-masing. Kalau minta jawapan dari orang pun, kadang tak sama untuk orang lain. Setakat tahu macam tu je la. Jadi, tak perlu nak desak orang supaya beri jawapan secara direct dan cepat. Belajarlah erti penantian, kesungguhan, tertib dan berdisiplin dalam mencari kebenaran supaya hasil yang diperoleh bakal menguntungkan kita.

"Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang, maka ulangilah pandangan! dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah pandanganberkali-kali, nescaya pandangan itu akan berbalik kepadamu dengan hampa, sedang ia pula berkeadaan lemah lesu". (Surah al-Mulk ayat 3-4).

Puisi lagu yang terlakar,
cinta yang bersemi dalam kasih,
betapa sang pecintai merindui kekasihnya,
berkeliling dalam penjara sunyi,
hilang arah mencari waras,
gila yang entah gila,
siuman yang tidak lagi mencengkam,
khayalan yang pudar dari pandangannya,
terbuka luas rahmat yang dilimpahkan,
apa lagi untuk ditanyakan?
luahan kasih yang pekat di hati,
tidak ada lagi kata-kata syahdu dari bayangan,
semuanya realiti yang bahagia abadi,
aku tidak lagi mampu berdiri tinggi,
rebah ke bumi bersemadi di dakapan kekasih

Tenggelam dalam khayal,
melayani fikiran yang tak berkesudahan,
hilang sedar dalam nyata,
ghaib yang tidak pada tempatnya,
merasa telah hilang dari pandangan orang,
tetapi penzahirnya tetap kelihatan,
dunia kekacauan menumpah darah,
riuh suara berteriak menyuarakan kepedihan,
hati tidak lagi merasa damai dan tenteram,
keliru terus bertanya tentang yang tidak pasti
penghukum yang sombong mengangkat diri,
memukul orang tanpa peduli pertimbangan
alangkah bodohnya tindakan itu,
matahari membakar menyinari cahaya,
mengapa mereka menyajikan hidangan yang busuk?
atas nama kemuliaan meninggikan megah mereka?
pinggir orang dikejar lalu dibunuh,
dekat orang diperbudakkan lalu menjadi anjing,
tunggulah saat masa yang bakal menjelang,
hari keadilan yang mentampakkan kebenarannya....

Permainan bahasa,
engkau nyata di situ...
wahai Iblis yang berselindung,
mereka terus menggubah puisi,
dari sastera yang menggiurkan,
bacaan yang memukau,
mereka semakin berjauhan,
entah ke mana disesatkan,
namun mereka masih merebut,
berlumba berkhayal dalam fikiran,
dalam fantasi yang tiada sedar
penjara yang meliputi dirinya,
dalam bahasa engkaulah hurufnya,
dalam huruf engkaulah suaranya,
dalam suara engkaulah kenyataannya,
sungguh mereka tidak menyedari...
tipu daya licik yang engkau permainkan,
dalam permainan bahasa....

Perselisihan terus berjalan tanpa hentinya. Kekacauan sana-sini tidak pernah senyap. Arus media dan suara-suara terus menyebarkan provokasinya demi mempertahankan pendirian masing-masing. Kemanusiaan tidak lagi ada, yang ada hanyalah kepentingan diri. Orang-orang yang menyampaikan kebenaran itu menjadi terasing dan diasak seperti hamba yang hina. Entah mengapa mereka terus bermain-main dalam suasana yang merugikan diri sendiri.

Demi masa! Betapa mereka telah hilangnya harga diri. Iblis duduk megah dalam takhtanya dan syaitan bergembira suka ria menyaksikan kejahatan dan pertelingkahan yang meletus dan berpanjangan. Kasihannya seorang penegak kebenaran yang sejati. Hero wiranya tidak menjadi sebutan orang. Sembunyi dalam debu yang menghilangkan jejak mereka. Kerana musuh begitu dengki mereka yang memberontak ke atas mereka. Namun haruman mereka yang perjuangkan kebenaran itu, tetap dihidu bagi mereka yang benar-benar mencarinya.

Allah dan Rasul-Nya ceritakan sesuatu dalam al-Quran dan Hadis supaya dapat petunjuk, bukan berkhayal dalam cerita. Tu yang bila berkhayal banyak syok tapi duduk dalam sangkaan. Cerita yang diceritakan Allah dan Rasul-Nya bukan jadi bahan penglipur lara dan tempat nak hilangkan bosan, tapi supaya celik mata untuk lihat kebenarannya.

dalam cinta ada getaran,
dalam getaran ada rindu,
dalam rindu ada kasih,
dalam kasih ada bahagia,
dalam bahagia ada ketenangan,
dalam ketenangan ada pengenalan,
mereka terus menghuraikan tentang cinta,
dalam lembaran kertas dan bicara lidah,
tetapi malangnya....
mereka menyangka tentang cinta,
berkhayal tentang percintaan,
terus menipu diri sendiri,
di balik topengan wajah yang berilmu,
alangkah nodanya kotoran mereka,
faham dibuat-buat faham,
mabuk dibuat-buat mabuk,
gila dibuat-buat gila,
entah apa lagi sesat dalam bermain dari bahasanya?
dalam penjara yang ia buta melihatnya?
layaknya watak burung kakak tua untuknya,
itulah kebodohan yang menimpa mereka...
Jangan terperangkap dalam permainan bahasa kerana bahasa sekadar menyatakan kenyataan sesuatu yang nyata. Maka janganlah tertipu dengan kenyataan. Kias, perumpamaan, ibarat dan puisi sekadar menyatakan jalan untuk difahaminya bukan dijadikan pegangan. Tidak ada susah pun untuk memahami apa jua corak bahasa yang mendatang. Bagi yang merasa dan sudah menyaksikan dalam pengalamannya tidak ada apa lagi yang dikhuatirkan. Tetapi yang dibimbangi orang yang tidak ada apa-apa bekalan, tentunya terperangkap dalam fikiran, khayalan dan persangkaan. Kalau tidak mengenal apa yang tersurat dan tersirat dari bahasa, mudah sahaja dimakan tipu dayanya.

Tidak sukar pun untuk memahami apa yang dikhabarkan, diberitahu, diungkapkan, diberitakan, disampaikan, diucapkan, dikatakan, dinyatakan dan diceritakan. Tetapi kerana kita yang terlalu bermain-main dalam bahasa, itulah penyebabnya sesatnya jalan yang ia sendiri tidak menyedari ia telah sesat! Dalam alam kerohanian yang tidak ada bahasa, suara, tulisan dan gambaran, tentunya orang yang sudah melaluinya akan mengerti. Belum lagi dikatakan ia telah memulakan perjalanan yang halus lagi seni jika dia terus berputar-putar dalam bahasa.

Sesat dalam rindu mencari kekasih, ku sanggup tanggalkan segala jua pengorbanan semata-mata untuk-Mu. Aku hilang dalam kewujudan dimabukkan kecintaan yang tiada dingin dan hangatnya. Oh Tuhanku! Aku semakin mendekati-Mu... jalan yang jauh ini, terasa dekat dan mendekati. Entah di mana lagi bumi ku berpijak dan langit yang aku tembusi, Engkau terus mencurah kasih-Mu padaku. Nikmatnya ini... bagaimana lagi aku ingin membalasnya? Padahal gubahan puitis ini tidak mampu menandingi keagungan cinta yang Kau berikan. Demi nama-Mu yang terindah! Tiada lagi aku gusarkan terhadap apa-apa yang mendatang! Kerana hidup dan matiku hanya untuk-Mu... segalanya ku serahkan pada-Mu..... telah ku musnahkan seluruhnya, walau diriku yang rebah di tanah sujud kasih-Mu.... semata-mata Engkau sahaja tempat tersemainya cita-cita yang tertinggi!

Orang yang mendapat watak jahat dan berlakon dalam watak jahat, tak patut kita panggil jahat sebab ia menjalankan tugasnya. Bukan dia mahu, tetapi kerana perintah dan taat setia serta kecintaan yang mendalam terhadap tuan yang ia abdikan dan diserahkan segalanya, ia sanggup berbuat apa sahaja semata-mata demi melaksanakan amanah yang diberikan. Sangat mendukacitakan orang yang mendapat watak baik, kemudian mencela orang yang berlakon watak jahat tetapi dia pula yang menjadi jahat dan melupakan amanahnya untuk melakukan kebaikan. Patutkah begitu? Inilah kebodohan yang bersarang dalam diri pada orang-orang yang sudah tertipu dengan diri sendiri.

Biarlah mereka sangka kita tidak mengenal, biarlah mereka menganggap kita bukan orang yang selayaknya, biarlah mereka memandang kita dengan ejekan, biarlah mereka melemparkan apa-apa ke atas kita dan biarlah mereka berkata apa pun, tugas kita bukan memuaskan sesiapa, kerana kita hanya menyampaikan. Kalau mereka tidak dapat memahami mahupun menerima mesej kita, biarlah Allah yang menentukan. Bukan sama keperluan yang diperlukan, kefahaman yang perlu diambil dan kehendak yang dipenuhi pada setiap orang. Sebab itulah jangan merungut kalau tidak mendapat nasib yang sama seperti orang lain atau tidak dapat mengelak dari nasib yang seperti orang lain kerana hikmah perjalanan takdir pasti ada sebabnya.

Sentiasalah bersatu dalam jemaah dan tinggalkan mereka yang suka mencari kebodohan orang dengan memisahkan dirinya dengan orang lain. Kerana bukan mereka yang kita mahu carikan keredhaan, tetapi Allah jua tempat disandarkan segala urusan.

Mencari semula cahaya yang hilang.... dari pandangan yang gemerlapan. Terang benderang menyinari dirinya yang hilang dalam kegelapan. Sekarang telah berlalu cahaya itu... perlahan-lahan ia meninggalkan ku. Aku mengejarnya namun tidak kesampaian... Aku menjejakinya namun tidak ditemukan... Aku memanggilnya ia tidak ke mari... Aku menanti kehadirannya semula namun hanya tinggal impian yang sia-sia.

Oh! Betapa bayi itu menangis kerana bakal dihantarkan ke dunia yang ia melupakan penyaksian ketika mana Tuhan Maha Pengasih meniupkan ruh-Nya padanya. Kini insan itu telah menyedari kealpaan tujuan hidupnya mencari semula hakikat diri yang telah ia ikrarkan, janjikan dan diamanahkan. Lalu berjalanlah ia semula mencari dalam pantulan gelap dan terang, baik dan buruk, haq dan batil demi mencari Tuhan yang sempurna menanti kehadiran kita..... tetapi mengapa aku masih terperangkap dalam penjara bahasa yang terus mempermainkan daku?

Ya Tuhanku..... selamatkanlah aku dari fitnah diriku sendiri.

Layakkah seorang miskn yang menerima RM 2 juta dari orang kaya kemudian mendabik dada, "aku sudah kaya"...??

Tak kiralah apa pun sebutan namanya, yang penting madh'u barang yang ditujukan itu menepati apa yang dikehendaki. Walaupun nama penting, tetapi jika nama itu berubah dengan apa-apa nama lain sekali pun, barang yang dimaksudkan tetap tidak berubah. Kalau kerusi ditukar nama almari, tetap tidak mengubah hakikat kerusi itu, tetap dituju pada barang itu. Sebab itulah berjaga-jaga dengan permainan bahasa. Kadang bunyinya seperti tidak ada dalam kamus atau kefahaman biasa orang, tetapi sebenanrya barang yang ditujukan ada tersedia. Cuma mungkin ketidaksedaran keberadaan barang itu menyebabkan adanya yang tersalah faham, terkeliru dan tidak tahu langsung

Apapun yang pasti, bahasa kadang sekadar percakapan atau tulisan sahaja, belum tentu kenyataannya dapat dinyatakan. Nyata itu jelas, terang dan benar, tetapi mungkin terbelit dalam pusing-pusingan bahasa sama ada istilah rumit, filosof teori yang banyak atau yang lain menyebabkan sukar ditangkap maksud yang ditujukan. Mudahkanlah jangan disusahkan...

Pandai pulak bahagikan jodoh ada dari Allah, syaitan dan malaikat. Tapi bila pulak mahu mengenal ilham dari Allah, syaitan dan malaikat? Tiap2 hari dok istikharah nak mintak pasangan baik, tapi tak mau nak kenal ilham dari 3 ni. Last2 ilham dari syaitan dianggap dari malaikat pulak. Bertambah-tambah sesat tu satu hal. Tapi khuatirnya jawapan dari sesuatu persoalan atau istikharah yang datang dari bentuk ilham sama ada dari mimpi atau isyarat jadi tak nampak, buat2 tak peduli atau tak tau langsung. Kan merugikan diri sendiri tuh. Belajar perlahan-lahan dan lakukan secara tertib dan berdisiplin.

Sibuk sangat mengejar syurga tuuu sampai lupa nak mencari dan mengenal Empunya punya syurga.. Kesiannya kita yang tak mengenang budi.

Orang tak merasa memang akan pertikaikan orang merasa.... ada apa pada perumpamaan, ibarat dan kiasan ni? Ianya boleh sahaja dipertikaikan, sebab itulah ia tidak boleh jadikan pegangan.. sekadar membuka jalan untuk pahamnya di mana. Apabila sudah merasa dan sampainya tujuan paham padanya maka ia tidak boleh diragui lagi dan dipertikaikan lagi. Datanglah apa pun, katakanlah "Allah!" dan biarkan orang-orang bodoh terus memperolok-olokkannya.

Inilah jalan hidupnya.. pabila Allah kurniakan pahamnya, maka telusurilah apa yang dibukakannya, hakikat itu akan membawamu pada makrifat. Siap tapak itu kau akan disemai dengan keyakinan yang utuh. Penglihatanmu bukan penglihatan mata, pendengaranmu bukan pendengaran mata, rasamu bukan rasa kulitmu, gerakmu bukan gerak tubuhmu dan reaksimu bukan reaksi tindakanmu. Tetapi tenaga yang terlahir dari cahaya yang terang benderang menyinari kegelapan malam yang diliputi dengan kabut yang menutup keterangan yang nyata. Tiada lagi kepura-puraan dan tiada lagi kekeliruan, semuanya sudah jelas, terang dan terjawab.

Apabila kau meminta pasti kau akan diberi, apabila kau berhajat pasti akan dipenuhi, apabila kau mengharap pasti kau akan dikabulkan dan apa sahaja yang kau lakukan, semuanya akan tercapai. Tetapi dunia yang berpijak ini sudah usang, lapuk, rosak dan lama... oleh itu aku pulang di mana seluruhnya akan kembali padanya.

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/603403333043597
Aku terus meluah dan meluahkannya.... walaupun tiada seorang pun mengambil peduli, kerana aku bukan pemuas mereka. Biarlah perasaan ini terus berlanjutan sehingga sakit yang ditimpa itu berbeza sakit yang pernah dirasai sebelum ini dan kelazatan itu berlainan dengan kelazatan yang pernah dinikmati sebelum ini. Mendayung sampan bermadah puisi. Jalan yang ku lalui rupanya agak jauh,,,, tetapi aku semakin mendekati. Aku tak tahu kenapa aku akan terus mencuba dan mencari puncak pencarian yang entah telah hilang atau tidak disedari keberadaannya.

Hanya untukku. Kalau ianya diintai tidak nampak, kalau dicari tidak jumpa dan kalau ditunggu ia tidak hadir... tiba-tiba ia muncul tanpa diduga... hendak buat bagaimana lagi.. kerana hidup bukan untuk menduga-duga. Aku tahu tiada apa lagi luahan untuk aku terus ungkapkan, tetapi biarlah jiwa yang menari dalam lagu sunyi ini terus bermain sehinggalah tidak ada lagi kebiasaan yang biasa untuk dibiasakan.

Faham syahadah kalau setakat mengucap pastu syarah sana sini panjang lebar siap bawak rujukan kitab tebal berjela-jela nak perincikan tu burung kakak tua pun boleh. Tapi apa beza syahadah burung kakak tua dan insan?

:::Usah menjadi binatang tanpa sedar:::

Mereka yang diberikan watak jahat dan melakonkan watak jahat serta melaksanakan amanahnya sebagai watak jahat tidak dipanggil jahat sebab mereka menjalankan tugasnya. Jadinya korang dok ngata kat dia macam2 pun, kisah apa kat dia? dah memang dia menjalankan watak jahatnya, sebab tu la perangainya memang jahat pun, korang kata lah apa pun dia memang jahat sebab dia memang memegang watak jahat. Daripada korang dok mengata mereka yang mendapat watak jahat ni baik korang p tengok pulak orang yang diberikan watak baik dan melakonkan watak baik tapi dia tak melaksanakan amanahnya sebagai wakak baik.. ni barulah jahat yang sebenarnya.

Selalunya orang yang dapat watak baik ni lah perasan bagus. Kononnya rasa beruntung dapat watak baik, maklumlah konon nasibnya bakal menjadi baik, tapi setakat sembang aje lah... hahahaha... siap lagi nak ngutuk bagai mereka yang dapat watak jahat dan melakonkan watak jahat... tapi perangai orang yang dapat watak baik jenis macam ni kadang perangainya lebih jahat dari mereka yang dapat watak jahat... orang camnilah korang patut kasi sembur sebab mereka ni bodoh sombong, ego, lagi tak sedar diri. Dah dapat watak baik jalankan tugas sebagai watak baiknya. Mereka yang dapat watak jahat biarkan mereka nak lakukan apa sebab mereka memang dapat watak jahat, kau orang yang dapat watak baik tak usahlah nak p hamun macam2 kat dia.. hahahaha.. masing2 punya jalan dan watak.. teruskan laksanakan amanah... aku ulang amanah masing2 wehh..!!

Masakan bercinta yang mengaku sanggup meredah lautan api tetapi takut untuk menghadapi penghinaan orang lain dan menjaga tepi kain mereka yang terus menggoyahkan pendirianmu? Bukannya engkau lemah, tetapi kerana keyakinan di dalam diri tidak kuat terhadap kepercayaan sesuatu, sehingga angan-angan lebih banyak bermain daripada kenyataan yang sebenarnya. Tak kenal maka tak cinta, dalam cinta adanya keyakinan terhadap apa yang ia percayakan. Kalau setakat diperosok seluruh tubuh dan jiwa kerana menggenggam cinta yang agung maka tidaklah itu menyakitkan melainkan kenikmatan yang ia rasakan.

Biarlah mencuba itu tidak disertai dengan pendugaan sebab jalan cinta bukan menduga. Kerana kalimat cinta yang agung ini, akan menjadi bekalanmu sepanjang jalan. Berjalan di atas duri yang tajam, berenang di lautan yang luas dan terbang di alam angkasa yang tiada berpenghujung, engkau tidak merasa kepayahan... yang ada hanyalah rindu mencari kekasih yang dicintai. Mabuk atau sedar... gila atau waras tidak lagi peduli. Dendam rindu yang membara ini membakar seluruhnya sehingga semangat ia menjulang tinggi menggapai mahkota kekasih yang tidak ternilai jual beli harganya. Bertahanlah! Kerana kebenaran itu pada pencarian yang tidak mengenal erti jemu dan lelah.

:::Oh kasih!:::

Mencari kasyaf bukan nak sandang wali atau peroleh karamah, tapi kasyaf yang penting adalah dapat kenal tipu daya syaitan. Syaitan ni datang dengan pelbagai rupa, warna, corak, gaya, cara, gambaran dan bayangan. Kalau tak kenal syaitan, alamat duduk lah korang dalam menipu diri sendiri. Pohonlah pada Allah agar dikurniakan kasyaf supaya syaitan yang datang beranka ragam dapat dikenal pasti. Kalau takat kasyaf nak tengok rupa jin tu macam mana buat apa kalau tak beri manfaat pun untuk memperoleh hakikat yang menyempurnakan syariat sekali gus membawa kepada makrifat? Berjaga-jaga dalam perjalanan rohani agar tidak sesat dalam bayangan khayalan.

::::Syaitan yang rupa menakutkan tu lah yang pedulinya, tapi hari2 dok bernafas hembusan syaitan.. ish ish ish ish::::

Bergembira dan serius, biarlah bijak untuk menyilih ganti nya sepertimana bersilih gantinya siang dan malam. Usah berlebih-lebihan kelak ia akan menyusahkan dirimu sendiri apa yang telah mudah. Sedarilah bumi itu terus berputar pada pusingannya dan beredar pada orbitnya yang ditetapkan sehinggalah kiamat yang benar akan mendatang. Beringat-ingatlah tentang apa yang telah kita lakukan selama ini baik yang lahiriah atau batin supaya tidak mencemarkan tapak yang suci bersih dari kekotoran.

:::::Dirundum kekeliruan, tiada ubatnya... hanyalah berlegar-legar dalam pusingan gasing::::::

Tak habis2 nak nampak syaitan tu bertanduk, rupa menakutkan dan macam2 yg menyeramkan tapi dalam kalangan manusia.. iaitu pada diri sendiri pun tak nampak. Sibuk cari kasyaf nak tengok rupa syaitan mcm mana, p pergi penjara pudu nak tengok hantu.. Tapi tipu daya halus punyalah tak mau nak mengesannya. Makin dapat kasyaf, makin senang ditipu oleh syaitan. Pergi terbang jauh2 nak melontar batu pada jamrah nak melontar pada syaitan katanya, tapi syaitan dalam diri mau lontar apa?

::::Kami jadikan para Nabi musuh bagi syaitan dari kalangan JIN dan MANUSIA.. (Surah al-An'am)::::

Berubah pandangan... tahqiq kefahaman... itu tanda sudah memperoleh pengalaman... dari merasakan dan menyaksikan... belajar daripada kebathilan dan bertahan pada kebenaran, kerana sulit itu tidak ada keraguan, yang tampak hanya pelajaran bagi yang berakalan. Semoga menemukan jalan kepulangan, yang sebenar-benar kebahagiaan.

Untuk apa bimbang lagi? Bukankah teman yang ada itu hanya khayalan dan musuh yang mendatang itu imaginasi? Hanya semata-mata syaitan itu menakutkan dan menambah jauhkan kesesatan dengan was-was dan kegelapan yang ia pancarkan. Gerombolan sekawan datang mengangkat kamu ke tempat tinggi dan berpusu-pusu musuh yang memberontak semata-mata untuk menjatuhkan kamu, tetapi sayang... mereka tidak mampu memberi mudarat dan manfaat melainkan Allah Ta'ala sahaja. Maka kenallah sahabat sejati dan musuh sebenar... maka kepalsuan dan kebenaran itu pasti akan dinyatakan dengan jelas, terang lagi bersuh. Jadi, marilah lenyapkan ilusi yang menghalang perjalanan kita dan terbanglah kita menuju ke hadrat Ilahi yang agung.

:::::Menenangkan diri pada keraguan yang timbul:::::

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/611230245594239
Bercerita tetapi masih duduk atas cerita... sudah macam penglipur lara. Sejarah yang terukir membentuk hari ini, tetapi malang kalau tidak dapat nyatakan kebenaran itu walaupun cerita itu benar. Duduk berkhayal dalam cerita dan berpusing-pusing alam cerita sehingga tak sedar bumi yang dipijak. Fantasi dan khayalan... cerita yang benar menjadi bahan bualan sahaja, namun kenyataan itu tidak mampu dinyatakan. Sayu nya..... hijab yang memenjara dalam ketidaksedaran.

Orang pandai akan melekehkan orang bodoh dan orang bodoh akan mendengki orang pandai. Permainan biasa yang sudah bermain setiap hari.... masing2 mahu memenangkan untuk diri. Toleransi hanya cakap2 sahaja untuk geng dia sahaja. Itulah lumrah orang yang tamak..... masing2 nak menyalahkan demi menunjukkan mereka betul. Entah apa lagi yang dapat memuaskan hatinya? Biarlah mereka bermain-main permainan itu.... perlahan-lahan masa berlalu dan kita ketinggalan dalam kebuangan.

Friday 2 September 2016

Apa yang dijanjikan Rasulullah SAW pasti akan tertunai... dari keruntuhan empayar Rom dan Parsi sampailah kejatuhan Dajjal oleh Imam al-Mahdi dan Nabi Isa. Jangan risau... nantikan waktunya dengan sabar dan penyerahan tawakkal. Tetapi kerana sikap kita yang gopoh dan terburu-buru mahu membuktikan kebenaran itu secepat mungkin, menyebabkan kita melampaui pagar takdir yang telah Allah tetapkan. Bila sudah melepasi hudud (batasan) yang ditetapkan itu yang menyebabkan perlakuan melampaui batas dan membabi buta, baik secara sedar atau tidak. Maka sebab itu belajar perlu tertib, berdisiplin, berjazam dan beradab, barulah kebenaran itu mendatang dan tampak jelas,l walaupun lambat waktunya. Kalau Allah dah menjanjikan sesuatu, serahkan semula janji-Nya kepada-Nya, jangan rampas hak-Nya. Dia takkan memungkiri janji-Nya. Dia menunaikan janji pada waktu Dia kehendaki, bukan waktu yang kamu kehendaki.

"Jangan engkau gerakkan lidahmu kerana hendak cepat-cepat (menguasai)nya. Sesungguhnya Kami yang akan mengumpulkannya dan membacakannya. Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka ikutilah bacaannya. Kemudian sesungguhnya Kami yang akan menjelaskannya" (Surah al-Qiyamah ayat 15-19).

Hilang bicaraku menyebut-nyebut sebuah kebahagiaan.... maka aku berjalan jauh mencari pengubat duka yang lara, rupanya aku terhimpit dalam penjara fikiranku. Hanya berpusing pada bulatan yang sama, semakin lama ia semakin menambahkan sesak di dadaku. Lalu aku berputus asa..... lenyap harapan dalam pergantungan. Oleh itu, aku angkat tanganku dan memberikan sebuah penghormatan terakhir... yang tiada lagi sebuah puisi atau lagu untuk disemarakkan jiwa ini. Aku tidak lagi peduli akan apa yang mendatang... asalkan aku sudah terisi penuh dengan kecukupan nikmat. Oh! Alangkah indahnya sebuah penyerahan ini... bermain-main dalam angin bayu yang syahdu.

Hatiku penuh dengan bunga... jiwaku dihiasi dengan keindahan gubahan sebuah cinta... mabuk kepayang entah apa yang aku teguk... tak semena-mena aku menangis di hadapanmu menyatakan perasaan aku pada kau. Oh! engkaulah penawar duka ku, sumber kebahagiaanku... seluruh lagu yang ku nyanyikan hanya untukmu. Dalam kasih tersimpannya sanubari kekasihmu yang saling mengikat antara aku dan kau. Pertalian kita walaupun banyak keributan, namun lautan api ini tidak mengapa-apakan kita berdua. Dalam satu engkaulah yang banyak, di dalam banyak engkaulah aku sandingkan segalanya. Oh kasihku! Inilah aku yang kau idamkan...

Yang sedikit sudah memadai dan mencukupi. Malahan terlebih dari cukup untuk memenuhi apa yang ada pada kita. Maka janganlah memandangnya sedikit dan kecil atau tidak mengendahkan kerana sedikit itu sudah boleh menjadi bekal untuk mencapai matlamat. Kalau bukan kerana sedikit itu maka tidaklah terbuka segala rahsianya. Dapatkanlah satu kunci yang mampu membuka mana-mana pintu, menyimpan banyak kunci tetapi tidak tahu yang mana satu dapat digunakan untuk membukanya, maka berlakulah agak-agakan yang akhirnya menjerumuskan pada kesilapan. Dan kalau betul pun hanyalah kebetulan yang mendatang, bukan dari faham akan kunci itu.

"Mereka bertanya tentang roh, maka katakanlah roh itu urusan Tuhanku, tidak diberikan pada kamu daripada ilmu melainkan sedikit sahaja" (Surah al-Isra' ayat 85)

Kadang tak faham... patutkah hina seorang ahli maksiat? Kalau betul2 dia menolak dakwah yang diberikan, itu memang adat biasa, tapi itu bukan alasan untuk menghalalkan cacian dan perlekehan atas mereka. Mengapa belajar ugama tinggi2 jadi lebih suka berpuak-puak dan menubuhkan geng citaraasa sendiri? Mana kasih sayang untuk mendoakan sesama teman yang terjerumus dengan maksiat dan membimbing serta membetulkan mereka? Kerana kita tak faham situasi yang berlaku pada mereka... dalam dilema, mereka tidak rela diperlakukan sebegitu dan merasa sesak menerima takdir sebegitu, tetapi yang lagak berugama ini senang2 mahu hentam mereka habis2an... susahlah macam ni kalau sudah dihidupkan sentimen kebencian.

Sebab dah terbiasa dengar tarannum al-Quran sedap2 sampai amaran dan peringatan Allah yang keras pun boleh rilek jee... tapi bila manusia sampaikan pesanan.. peergghhh... mengamuk sakan, kata orang tak ada adab lah.. tak berhemah lah... macam2.. patut pun kebenaran itu memang pahit.

Katakanlah: "Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai KERA dan BABI dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul" (Surah al-Maidah ayat 60).

Sangat indah nikmat itu.... tatkala kita hendak bermaksiat, sedar2 kita sedang berbuat kebaikan, entah dan tak tahu bila dan kenapa dia boleh terselamat daripada maksiat. Kita langsung tak bersyukur tentang itu... apalah nilai rasanya dapat kenikmatan berbuat maksiat? Sekadar kekosongan jika dibandingkan dengan makrifat Allah yang agung menjamin untuk dicukupkan rezeki dan kebahagiaan yang berpanjangan. Aduhai.... sedang kita mencela ahli maksiat dengan berbagai hamburan, rupanya kita tak sedar Allah menjauhkan kita perlahan-lahan.. sehingga hilang tampak cahaya sirna kebaikan itu. Sia2lah amal dilakukan... hangus terbakar kerana dosa diri.

Oh malangnya diriku yang tidak mengenang budi!

Tak ada siapa mahu menanggung dosa orang lain, masing2 mahu berlepas diri untuk diri masing2... tapi siapa sangka ada sahabat sanggup memberi pesanan terhadap kebenaran, kesabaran dan kasih sayang.. bersabar atas karenah kita dan mencuba yang terbaik untuk memuaskan hati kita? Kadang kita langsung tak hargai kerana sudah di-sentimen-kan kubur masing2.... lebih mahu memenangkan atas diri kita dan kepentingan diri.... lepas ni jangan kata kat akhirat pulak tak ada orang sampaikan peringatan pada kita.

:::Ya Rasulullah.... engkau sahabat yang paling mengasihi orang lain::::

Kita cuba saling memahami.. tentang apa yang kita perselisihkan. Dalam lebar jurang yang besar tetapi kita bertemu di bawah cenuram yang sama, semata-mata mencari titik persamaan untuk menyatukan kita. Toleransi bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi tatkala meluap-luap perasaan untuk memenangkan untuk diri walau apa jua jalannya sememangnya akan memarakkan lagi api yang kecil. Di mana jua engkau berada dan pada setiap masa dan saat ini, aku mencuba yang terbaik untuk membuatkan kau puas walaupun aku bukanlah yang terbaik untukmu. Selagi hayat dikandung nyawa dalam nafasku.... ku teruskan menyambungkan tali kasih sayang mudah-mudahan kita hidup dalam kedamaian tanpa persamaan dan perbezaan yang palsu.

:::Selamat ulang tahun untuk diriku::::

Sebak kerana tidak dapat memahami,,,, cemburu kerana melihat orang yang memahami. Pabila terbuka kefahaman itu, segunung dan selautan tersedia dalam genggaman.. Bercucuran air mata kerana lama menantikan dan puas menderita kerana mencarinya. Dalam menempuhinya, sudah banyak dikorbankan semata-kata kebenaran yang diimpikan. Sesat tidaklah menghalang pencarian itu, namun kerana hilangnya tekad dan putus asa jadilah hanya angan-angan yang pergi menjauh. Aku tidak berkata apa2 melainkan sayu di hati kerana kekosongan menghanyutkan diriku....

::::Kebenaran yang terpendam dalam diri:::::

Kalau kau kenal dirimu yang mutlak dan hakiki, maka terbukalah segala rahsianya. Berakhir satu pencarian, bermula satu perjalanan. Nafas yang kau hembuskan adalah nafas yang baru, pandangan yang kau lihat adalah sebuah hiasan indah yang terukir dan rasa yang kau rasai adalah sebuah kenikmatan yang abadi. Hidup dalam kebenaran walau derita mendatang menimpa. Hanyut dalam cinta sejati yang terlukis sebuah kisah pengembaraan yang teragung dalam kitab yang terpelihara. Bahagia bak seharum bunga mekar yang murni. Kekasih dirindui dalam lautan api yang membara. Terbakar diri tidak membinasakan impiannya... hanya menemuinya dalam kesembunyian di balik terang.

:::Tiada ibarat... yang ada hanyalah kenyataan!::::

Bukanlah tangisan itu pada air mata.... bergelora jiwa mencari diri sebenar diri. Bersusah payah merantau sana sini untuk membuka jawapannya, rupanya diri sendiri yang berdiri di sini membuka rahsia tentang diri sendiri. Terharu menemukan pencariannya, namun menyesal kerana tidak menyedari kesedaran sebenar tentang ini. Walaupun lambat perjalanan membawa kepada puncak, namun redha ia menerima apa jua mendatang. Metafora yang terpancar dari pandangan, rasa dan kefahaman mengaliri kemanisan, walaupun sekadar sekali lalu sahaja. Menangis dan menangis kerana menahan derita ini, namun yakin semakin teguh dalam hati.

:::Kebenaran yang sangat pahit!::::

Orang yang sudah berubah jangan diungkit kisah aib lamanya. Orang yang berkeinginan berubah jangan menghalanginya. Orang yang dalam dilemma jangan mengherdiknya. Orang yang lemas selamatkanlah mereka. Mengapalah sekarang mahu hidup dengan sentimen kebencian? Orang yang mengaku berugama menjadi angkuh dan sombongnya, orang yang ahli maksiat tapi tak mengaku bermaksiat dengan kubur masing2nya. Jika tidak dapat toleransi, maka cubalah memahami apa yang telah masing2 lalui dan fahami. Kalau masing2 mau orang lain ikut cara kepala hotak masing2... apa nilainya kepelbagaian?

:::Keanehan era globalisasi... iblis bertepuk tangan gembira di antara dua perbalahan:::

Kerana masing2 mahu memenangkan atas diri maasing2, sanggup sahaja mereka melibatkan perbalahan demi kepentingan masing2... entah ego atau keangkuhannya, aku cuba melarikan diri daripada setiap apa yang mereka perselisihkan. Sentimen kebencian semakin mendalam dan membiak... lalu ku kembangkan debunga demi melakarkan sebuah pemandangan indah. Namun, aku tak mampu.... aku lemah dan tidak terdaya... semakin hari dunia ini bergoncang, perlahan-lahan membawa taufan yang memusnahkan hidup kita bersama. Hanyut, tenggelam dan terperangkap dalam sebuah permainan yang menyeksakan ini... aku cuba mencari sebuah kebenaran yang membawaku jalan keluar dari kemelut ini. Oh! Mengapa derita ini berterusan meracuni daku yang kesempitan ini?

::::Air mata berdarah tumpah, pecah jiwa menahan sebak dan hilang pancainderaku menerima hakikat semua ini::::: 

Syahdu malam dalam kerinduan. Ku nyanyikan sebuah lagu gembira... mengisi kekosongan dalam hati. Bicaraku sebuah cinta yang tulus mendalam dari gelojak jiwaku yang membakar membara. Tak dapat ku gambarkan sebuah keindahan yang terpateri dalam diriku ini. Bagaikan ombak menghanyutkan diriku ini, perasaan tidak keruan semakin lama semakin bergoncang. Aku tidak mampu menahan lagi riang gembira di hati. Merasakan kemanisan dalam rahmat-Mu yang agung... bulat tekad dalam penglihatanku yang nyata memandang sebuah keindahan yang sebenar. Kebenaran ini telah meliputi aku sehingga ku merasakan bayu angin yang membuai ketenteramanku. Oh Tuhan! Kalaulah berat tanggungan ini tidak mampu ku pikulkan, maka ku serahkan segala daya upayaku hanya untuk-Mu segala bahagia yang abadi.

:::Terbuai dalam perasaan, angan-angan pecah dalam harapan... berdansa dalam takdir yang membuka rahsia yang halus:::

Sudahnya banyak fitnah dan huru-hara mengacaukan ketenteraman sejagat. Mahu atau tidak mahu, terimalah realiti yang bumi ini tempat pertumpahan darah dan kerosakan. Cubaan keluar dari kemelut ini ibarat keluar dari mulut naga, masuk ke mulut buaya. Hinggakan air yang tenang pun masih ada buaya yang tersembunyi. Serba tidak kena di mana bumi berpijak, di situ langit mencucurkan hujan batu. Perlindungan yang dicari dihanyutkan dan perilindungan yang diberi dicemarikan. Oh sudah! Semuanya tidak keruan... hanya bolak balik yang bergelimpangan mayat-mayat yang tidak berdosa. Manakan mahu larinya dalam permainan ini...? Maka, hadapinya lah walaupun harapan hanya tinggal harapan sahaja...

:::Tentu adanya hikmah kita bernafas di atas dunia ini, sang perwira tidak sedar bahawa dia seorang perwira, maka bermainlah dalam permainan ini!::::

Tidak keruan pabila kekeliruan mendatang, lebih-lebih lagi selama ini telah sebati terhadap apa yang menjadi pegangan. Mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang dan apa jua perbuat serba tidak kena akibat tercari-cari jawapan untuk persoalan yang bermain-main. Bertanya tetapi tidak mendapat walhasilnya, mencari tidak menemukan pengisiannya, mencuba intai tetapi tidak kesampaian dan menanti tidak hadir pula petunjuknya. Bersabar dan bersabar dalam menghadapi kemelut yang menghimpit ketenangan diri. Tawakkal dan munajat dengan penuh rendah diri dan rebah ke bumi mengakui kelemahan diri yang tidak dapat menggapai bintang di langit. Kalaulah gelojak ini berakhir....... namun, itu hanyalah semata tinggal harapan dan ia terus mendatang dan mendatang dalam kitaran kehidupan.

::::Kadang bukan sengaja menjadi sesat, kerana orang tidak memahami dilemma kita, maka kesilapan dan kedunguan kita menjadi objek perlecehan mereka:::::

Walaupun sudah menemukan jawapannya, tetapi ia cuma pengakhiran suatu pencarian sahaja tetapi perjalanannya perlu ditempuhi. Sudah sampai masanya untuk menghadapi kesulitan, kegusaran, kekusutan, perasaan tidak senang bahkan berhadapan dengan pertumpahan darah, cercaan orang dan seksaan sang zalim. Kerana sebuah kepahitan inilah, mudah-mudahan dapat menghidupkan akmalul yaqin dalam hati nurani initerhadap pegangan aku. Biarlah apa yang aku perbuat ini mendapat serba salah daripada pandangan orang, namun aku tidak akan goyah dengan kesombongan orang dan pujukan orang. Inilah jalanku... atas hembusan nafasku di bawah kudrat dan iradah Tuhanku. Dengan nama-Nya Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, aku mulakan pencarian dan perjalanan ini dengan penuh penyerahan, mudah-mudahan Dia tunjukkan aku ke jalan yang lurus..... dan begitu jua kamu semua.

::::Gembira selama ini yang menghilang dan terpisah akhirnya dipertemukan semula, namun akan ada selitan dan belitan yang mencoba merusakkan kebahagiaan ini::::

Dalam jerih payah sebenarnya masih ada sahabat prihatin terhadap kita. Kadang habis madu sepah dibuang dan kacang melupakan kulitnya. Tetapi kita mahu mengatasinya sendirian, kerana tidak mahu melukai sahabat tentang kesulitan yang bakal mendatang. Namun, jika mereka masih sanggup, jangan dilupakan untuk mengenang budi pengorbanannya. Nampaknya masih lagi teringat peristiwa pahit tentang perkara yang melibatkan sahabat, akhirnya kami semua merana dan kerugian tergantung padaku. Cukuplah betapa pahitnya persahabatan ini... apatah lagi mahu terjun dalam alam percintaan. Duduk bersendrian memerhatikan jiran dan teman bergembira tanpa kita sudah pun memuaskan hati. Kalau mereka mahu mengajak berborak, ku pendekkan bicara kerana banyak lagi yang akan membuatkan kita semua terbeban. - Kata hatiku pada jiwaku.

:::Kurang kasih sayang eh? Tapi terima sahajalah::::

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda, "Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, ia tidak bersyukur kepada Allah" (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Dengan satu titik, terlahirlah pelbagai idea sehingga melahirkan satu lakaran yang mewarnai coretannya. Bakat-bakat yang ada menghuraikan lagi makna sebuah identiti yang ingin diciptakan sehingga membuahkan hasil yang terbaik. Namun, apakah sebelum titik itu kosong? Atau hanya sebuah kertas putih yang tiada belum disentuh apa-apa pun?

Masing-masing mahu menyatakan kefahamannya. Kadang ia menyalahi kebiasaan orang dan ada pula yang memandang sesuatu itu dengan metafora. Kalau kepelbagaian ini terus dikembangkan, nescaya menjadilah sebuah keluasan dalam dimensi dunia yang terbentang ini. Memakai persamaan palsu merupakan kebathilan yang bertopengan. Malang sekali, perbezaan dijadikan sebab untuk membentuk kumpulannya sendiri demi mencari kemenangan atas diri supaya egonya dapat menjatuhkan mereka yang tidak menyanjunginya. Teruslah dibodek sang Firaun itu, akhirnya ditenggelamkan oleh lautan haq..... sayangnya penyesalan yang dibuat sudah terlambat.

Tuesday 30 August 2016

Kembali asas mengenal diri sebenar diri adalah jalan terbaik untuk pulang ke pangkal jalan. Jika tidak, berjalan ke alam kerohanian akan menambahkan jauh sesatnya sehingga hilang pudar rahsia yang ingin dibuka. Dan jika silap pengenalannya, maka boleh jadi kekacauan dalam perjalanan sehingga terumbang-ambing yang membawamu hanyut dalam tenggelam lautan. Sulit dan bingung bukanlah penghalang untuk mencapai matlamat yang sejati, namun kerana tekad dalam tawakkal dan sabar merintangi takdir yang berjalan akan membuka sayapmu untuk terbang ke hadrat ilahi. Perlahan, lambat, cepat, mudah, sukar atau sekejap bukan ukuran..... bergantung pada tuah masing-masing, tetapi itu semata-mata karunia Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang - kata hatiku pada jiwaku.

:::Moga manfaat dapat keberkahan, dalam berkah tertumpahnya rahmat yang banyak, semoga kita dipertemukan kebenaran sejati::::

Sudah sampai masanya untuk tinggalkan perbahasan yang berpanjangan yang tiada keberhasilannya. Dalam dunia yang dilupakan ini, bukanlah mahu terus hanyut dalam permainan yang terus membawa kita jauh pada realiti. Maka, kesedaran seorang hamba yang sejati itulah perlu diwujudkan supaya tampak nyata kebenaran yang terserlah dalam sembunyi dan itulah pencarian yang hakiki mudah-mudahan Tuhan yang ingin kita sandarkan segalanya mendapat tempat di sisi-Nya. Kerana kita semua mahu bahagia, maka bersamalah kita dalam tali-Nya yang tiada cerai-berai........ kerana dalam perselisihan, terselitnya suatu kebenaran!

:::Kalau rezekinya bukan hari ini, maka esoklah gamaknya.... tetapi ku terus menanti dan menanti, walaupun nafas ku semakin sesak untuk menyaksikan waktunya::::

Biasalah tu.. dalam bab salah menyalah ni masing2 mahu mendabik dada mereka berlepas diri dari golongan tu. Tetapi yang khuatirnya kalau cermin yang harapnya dapat membiaskan kepada orang itu terpantul semula pada yang berkata-kata. Memang sedap dapat tundukkan orang supaya jatuh rebah di hadapan kita, namun yang mengalah belum tentu kalah. Satu lubang yang kecil mampu menenggelamkan kapal yang besar, maka berhati-hatilah dengan siapa kamu tudingkan jari!

::::Kalau gajah boleh tumbang dengan bisa ular, inikan pula mesin rumput yang mampu menggondolkan hutan!:::::

Merasa senang rasa kelu lidah dan masa susah pun terkatup lidah. Entah mahu apa lagi ingin diperkatakan. Jadinya, aku terus diam dan mendiam... jika banyak bicara pun tidaklah mendatangkan keberhasilannya, melainkan omongan kosong. Bergolak hati mencari erti kesedaran yang sebenar.... ingin melepaskan permainan perasaan yang membawaku terawangan, namun apakan daya, jiwa sentimental terus berkocak... pecah hati dalam tangisan yang disembunyikan. Air mata yang entah kekeringan membasahi hatiku yang meronta mengharapkan pembelaan. Entahlah! Entahlah! Entahlah! Biarkan sahaja.... dalam sebuah pertanyaan yang membawa penantian yang lama. - Kata hatiku pada jiwaku.

::::Kalau sudah tenggelam dalam perasaan, eloknya ikhtiar supaya tidak lemas di dalamnya, namun apakan daya... ku tak berdaya::::

Dalam terang masih jua ada tersembunyi dan pada terang jua boleh membawa jauh sesat pada orang. Kerana rahsia itu suatu khazanah yang tersembunyi, namun berharga mereka menemukannya. Dalam pendakwaan masing-masing sedang mendabik dada mereka benar dan menyalahkan sesiapa yang disukai, namun dalam perselisihan itulah adanya pencarian sebuah kebenaran. Dalam kekaburan dan kesamaran sebuah kenyataan, akhirnya kau temui kebenarannya setelah sekian lama engkau menempuh lautan derita untuk memperolehnya. Maka, simpanlah rahsia itu.... jangan harungkan susu belanga kepada nila setitik, kerana itulah yang akan menghancurkan kenikmatan sebenarmu.

:::Bahagia bukanlah pada yang sentiasa merasa kegembiraan, namun kita jua mencari kesedaran sebenar seorang hamba yang sejati... semoga dipertemukan oleh kita akannya::::

Jika ditanya tentang pengorbanan, ku katakan berikan aku petunjuk tentangnya (kerana aku tidak memahaminya). Dalam dilemma melayani hati yang sedang berkecamuk dalam sesat mencari kebenaran yang sejati, aku sesekali tidak faham sebuah tangisan yang lahir dari kepedihan bergelut di dalamnya. Kerana aku mencoba melepaskan permainan perasaan yang terus membelenggu aku berpanjangan. Hari demi hari... aku duduk di takuk lama, entah bila lagi dapat keluar dari penjara ini? Merantau sana sini, rupanya kebenaran sudah menanti pada dalam diri. Bintang bersinar dengan cahaya yang benderang.... maka berikan aku tanda, kerana aku tidak memahaminya!

::::Hujan renyai membasahi bumi... yang terkorban menjadi perwira, namun siapalah tahu di sebalik misteri sebuah bayangan yang disembunyikan oleh azazil?:::

Betapa sukarnya untuk melepaskan kehidupan yang lalu untuk menghirup nafas yang baru hari ini. Sudahnya sahabat lama yang menjadi teman sepengajian dan seperjuangan, terpaksa mencari jalan untuk berjauhan semata-mata untuk menempuh apa yang aku lalui sekarang ini. Hanya tersenyum dari jauh melihat kehadiran dan kebahagiaan mereka. Kerana haluanku sekarang berbeza, maka apa yang dahulunya aku adalah bukan yang seperti ini. Minta maaf sahabat yang lama, bukanlah mahu melayani jiwa sentimental, tetapi harapnya kita tahu di mana takdir yang kita berpijak kerana di situlah diri kita berdiri. - kata hatiku pada jiwaku.

:::Sunyi malam merenung erti pengorbanan... eermm untuk apa kehidupan ini sebenarnya?::::

Kerana lebih bermain dengan fikiran, maka ilusi khayalan akan melakar pandangannya untuk mengatakan sesuatu yang ia belum alami dan rasai, lebih-lebih lagi yang ia tidak ketahui. Kalau bukan kerana persangkaan yang menebal, sudah tentu lebih menjulang fantasinya menembusi era batasannya sehingga musnah sebuah realiti. Namun, keterbatasannya yang mendapat penasihat iblis menyebabkan hilangnya nilai sebuah permata dari hikmah bijaksana dan kesedaran sebenar seorang hamba yang sejati. Sebab itulah kita menanti cahaya petunjuk dengan tawakkal dan mencari jalan dengan kesabaran untuk sampai fahamnya erti pengorbanan yang dimujahadahkan dalam diri dengan penghayatan dari sebuah kesedaran yang sebenar-benarnya.

::::Kadang hendaknya mahu menangis kerana tidak dapat fahami mengapa diberikan kehidupan, tetapi suatu hari kita akan memahaminya dengan sebenar-benarnya..... semoga berbahagia dalam kefahaman masing-masing::::

Sekali lagi, jika ditanyakan tentang pengorbanan... entahlah, aku pun tak tahu. Aku pun cuba memahaminya baik dengan membaca, mendengarkan, menyaksikan, merasakan dan mengalaminya, namun apa yang aku temui tidak menemukan makna pengorbanan yang memuaskan jiwaku. Tak apa, aku menanti sahajalah jawapan itu... tawakkal dan menanti dalam penantian yang entah berapa lamanya. Dan jikalau aku tekun dan bersabar dalam mencarinya, entah berapa jauh jarak perjalanannya. Entahlah apa lagi untuk diperkatakan melainkan berbuat apa yang patut. Tetapi harapnya apa yang mendatang itu sebuah keredhaan dan manfaat untuk aku memahaminya - kata hatiku pada jiwaku.

::::Dalam penjara ini, aku kesunyian berseorangan...... tetapi lagu yang sudah tersemat di dada sudah memadai untuk mengubat duka yang lara::::

Hati tenang dalam kelembutan... kerana rindu yang terpancar, Kau adalah ingatanku setiap masa. Dan aku mencari setiap penjuru semata-mata menemukan diri-Mu yang terus melimpahkan rahmat. Namun, tidaklah ku temui melainkan kekosongan semata-mata. Lalu ku tilik dalam diriku dalam hembusan nafasku setiap saat, dan aku menemukan diriku yang sebenar yang mudah-mudahan tawakkal ini dapat menyampaikan aku pada-Mu. Dan apabila masanya yang Kau izinkan, jodoh pertemuan kita akan disambut dengan kegembiraan. Biarpun mengambil masa yang lama untukku, namun aku bersabar menantinya. Walaupun saat siang yang aku terdesak dan Kau pula datang di malam hari yang lapang, aku tidak peduli akan sengsara ini. Kerana rinduku ini sudah cukup memberikan kedamaian yang berpanjangan ini. - kata hatiku pada jiwaku.

:::Orang kata alangkah indah jika dicintai, tetapi aku lebih suka mencintai... semoga jodohnya dipertemukan::::

Tidak sia-sia dijadikan kepelbagaian bakat kerana itulah yang akan memberikan inspirasi sesiapa yang mengambil pelajaran. Manusia bergerak di atas takdir berbeza dan mereka kadang berbalah terhadap apa yang mereka lalui. Maka sebab itulah kita mencuba memahami dalam toleransi. Musuh yang tidak berwajah itu sering sahaja mahu memecahkan kesatuan kita atas nama perbezaan. Dalam kepuakan tersisipnya kepalsuan dalam persamaan. Ideologi yang mereka tebarkan meracuni pemikiran kita menjadikan kita menjadi bahan permainan mereka untuk merencanakan agendanya. Dalam kita menempuh derita, rupanya mereka berhibur sambil menghamburkan provokosi supaya kita terpisah dalam keasingan! - Kata hatiku pada jiwaku.
https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/623034511080479
Terus menerus dalam perbahasan yang berpanjangan sememangnya melegamkan hati. Sebab itulah kadang diam lebih baik daripada berkata walaupun perkara kebaikan. Namun, lidah para 'arifin merupakan hikmah dari sanubari hati yang bercahaya. Cukuplah sedikit bicaranya sudah membuka rahsia seluas lautan tanpa perlu lagi menggali sedalam-dalamnya untuk menemukan isi air terbenam bawah tanah. Malang sekalikalau ucapan mereka dinaqalkan semata-mata dijadikan subjek untuk diperbahaskan dan diperdebatkan tanpa mahu memahami apa yang sebenar-benar ia fahami. Sedang kita sibuk bergelut di pintu gerbang yang entah tidak diketahui jalan penghujungnya, mereka (para 'arifin) sudah sampai ke puncak destinasinya sambil tersenyum melayani karenah kita yang terlebih ghairah dan bersikap kebudak-budakan - kata hatiku pada jiwaku.

::::Walau apa jua jalan kita tempuhi, itu bergantung pada pengalaman dan kefahaman masing-masing, kepelbagain diwujudkan supaya kita saling mengenali dan mengambil manfaatnya, maka semoga kita semua bahagia dalam bahtera masing-masing::::

Sunyi sepi dalam bayangan malam... sedang sahabat berteriak sorakan dengan permainan yang menghiburkan mereka, aku pula memandang jendela di luar... memikirkan tentang dirimu..entah apa lah yang kau fikirkan sekarang? Oh! Ku seolah-olah dihanyutkan perasaan yang terus membuai.... mungkin sahaja jiwa sentimental ini menarik untuk terus mendekatimu lalu ku cuba fahami dan selami, tentang apa yang telah aku peroleh... untuk hadiah dan kongsikan bersama mu supaya kita menikmatinya bersama. Fahamilah... dengarkanlah bisikan ku ini, kau mendengarnya walaupun ia sembunyi dalam keheningan. Hayatilah nya! ku tujukan khas untukmu sahaja!


Bulan bersinar menyinari sinaran,
nyata sebuah lukisan yang terlakar,
dalam gubahan sebuah hati
yang diisikan sebuah cinta,
dalam mahligai inilah ku bersemayam,
pada hembusan nafasmu yang tenang,
menikmati keindahan romantika,
yang bersembunyi dalam maya,
fatamorgana gemerlap menghiasi pandangan,
kerana kau dan aku saling berdekatan,
dalam kasih yang menyatukan...
Ambillah masa perlahan, tenang dan tertib untuk memahaminya, usah gopoh dan tergesa-gesa untuk menghadamnya. Perjalanan ini panjang, entah pantas atau lambat, entah sukar atau mudah, entah sampai atau tidak... itu adalah semata karunia Tuhanmu. Lautan yang luas engkau tak mampu renangi untuk diteroka kan seluruhnya, namun cukuplah kau punya sebuah kunci untuk membuka khazanah yang ada pada lautan itu. Apa pun, pengakhirannya adalah beramal soleh dan tidak menyekutukan Tuhan walaupun apa yang ada itu sedikit, kerana sedikit itu sudah mencukupi jika dimanfaatkan daripada banyak yang disia-siakan. Pohon sakura yang berdiri megah dengan bungaan yang mekar bermula dengan benih yang kecil dan hina.

::::Kerana itulah kita hidup dalam kepelbagaian supaya kita saling mengenali. Tak kenal maka tak cinta. Kerana anjuran Rasul untuk saling mencintai::::

Khuatir kerana merasa banyak benda yang bakal terlepas, padahal rezeki untuk tiap-tiap orang telah ditetapkan kecukupannya. Sehinggakan jika kita menyedarinya betapa tidak layak untuk kita meminta lagi kerana semua yang diberikan sudah pun dipenuhi pada setiap nafas yang dihembuskan. Maka, tidak layak seseorang itu menyamakan setiap orang lain dengan yang lain ataupun dengan dirinya sendiri keranakepelbagaian yang Tuhan aturkan adalah kerana rahmat-Nya yang mulia. Sewajarnya seorang hamba itu menyedari tentang apa yang ia sebenar-benar tentang sebuah kesedaran sebenar terhadap ia diadakan dan diteruskan kehidupan ini supaya dengannya diri itu mendapat kemuliaan di sisi Tuhannya yang mnejadi rahsia sebuah kebahagiaan.

::::Jauh tidak bertepi, dekat tidak kesampaian.... namun jika dunia ini berharga di sisi Allah, nescaya tiada diberikan seteguk air kepada orang kafir::::

Bermulalah satu perjalanan,
menemukan pencarian yang lama,
menantikan sebuah kebenaran,
indah terhias dalam nyata,
hilang fatamorgana dalam khayalan,
kaki ku melangkah dengan nafas yang baru,
menempuh kehidupan dengan kesedaran,
seorang hamba yang mengharapkan kasih
dari Tuhan yang sentiasa mengalirkan cinta,
dengan rahmat-Nya yang agung,
aku menyambut tangan-Nya,
menuju ke mahligai indah,
sebuah makrifat yang teragung,
kisah abadi tersemai dalam realiti,
selamat tinggal diriku yang lalu.......

Inilah dia kebenaran....
tentang pencarian yang direnungi,
gali dan menggali di perantauan,
tersemat dalam diri yang tersembunyi,
terang cahaya membiaskan rupanya,
sehingga hilang jejak yang terhampar,
temui padanya dalam sengsara,
kerana diri terus bermain...
dalam sebuah ilusi yang tercipta,
dari lakaran sebuah khayalan,
pecah angan-angan ini dalam percikan,
bercaya terang kebenaran sejati,
hilang sudah mimpi yang membuai,
kini kesedaran menawan diri,
hiduplah ia dalam ketenangan,
syahdu di jiwa yang berkelocak,
menerima rahmat Tuhan yang agung....

:::Semoga menemukan jalan para 'arifin::::

Mengapa tangisan hanya dilihat pada mata?... sedangkan dari dalam pandangan matanya terkelocaknya jiwa yang berkecamuk namun ia sedaya upaya menyembunyikan... dalam sembunyi ia misteri, dalam mimpi ia berilusi, dalam realiti ia dizahiri tetapi terang cahaya.. rahsia terselindung, itulah romantika yang syahdu. Alangkah indahnya kesedaran seorang insan yang memahami tentang dirinya.

:::Kerana itulah apa yang dikatakan lamunan::::

Cerita yang berfikir-fikiran ini sememangnya tidak mampu disampaikan fahamnya. Walaupun ibarat itu indah dalam bahasanya, namun apakan daya bagaimana ia mampu membuka sesuatu yang tidak punya bahasa. Hitam dan putih itu berlawanan dan saling merebutkan haknya, namun pabila ia mencantum jadilah ia kelabu yang mengelabui pandangan. Dalam kesamaran tersembunyinya rahsia yang tertutup tersimpan rapi. Sesak nafas karena mencuba menempuhnya namun berbaloi hasilnya dengan pengorbanannya. Cukuplah ia menjadi sesuatu nilai untuk kita bawakan dalam setiap hembusan nafas dalam menikmati kebahagiaan abadi.

::::Tiada ada apa-apa yang patut diperkatakan kerana ia bukanlah sesuatu kata-kata... maka berhiburlah ia dalam kesedaran yang malamnya hilang dari pandangan siangnya:::

Entah bagaimana untuk dilepaskan dosa ini. Sentiasa sahaja merasa tidak selamat bagaikan air yang tenang tersembunyinya buaya. Serba salah untuk merenanginya di sana. Namun, sungai ini jualah yang menyucikan daki yang terlekat pada badan ini. Maka, keseronokan bermandi-manda pada sungai ini biarlah bijaksana untuk bermain-main di dalamnya agar yang berbahaya tersembunyi itu membaham kita. Perjalanan kerohanian ada sahaja iblis datang untuk mengelabukan pandangan kita. Entah2 tak sedar sudah disesatkan dalam alam yang tidak diketahui di mana sesatnya. Pulang2 mencari pangkal jalan rupanya sudah hanyut jauh ke laut. Penat mendayungnya untuk kembali ke tepian, namun setimpal jualah hasil nya daripada duduk lama di lautan akhirnya ditenggelamkan oleh ombak yang besar. Sebab itu, taubat jua yang membawa kesedaran sebenar tentang hamba itu! - kata hatiku pada jiwaku.

:::Kat mana2 pun tak selamat, namun semua yang mendatang itu ketetapan Tuhan jua, semua yang terjadi biarkan terjadi.. maka hadapilah dengan senyuman::: 

Menangis sebak kerana melihat diri yang serba kekurangan. Ingin meniti di jalan para 'arifin namun apakan daya kita dengannya jika mahu membuat perbandingan. Maka, tunduk malu lah kita kerana tidak mampu mencapai apa yang mereka lalui. Tetapi kesedaran untuk terus cari dan mencari sebuah kebenaran yang sejati itu membawa kita tekad untuk tekun menghadapi gelora lautan semata-mata untuk menemukan khazanah yang tersembunyi di balik lautan. Air mata, peluh dan darah yang ditumpahkan, serta diri yang sengsara... musnah dalam kegempitaan, akhirnya mengangkat tangan menyatakan syukur pada Tuhan kerana selama ini apa yang dikorbankan mendapat nikmat yang besar ini. Dalam tawakkal yang kuat dan sabar yang teguh, membawa makrifatullah yang teragung... maka semoga dapat bersama tempat para 'arifin.

::::Mahu atau tidak... kekurangan akan diakui dan ego terpaksa dilepaskan kerana kehinaan layak tertuju pada kita. Kerana kesenangan dalam kesusahan, maka apa yang terjadi biarkan terjadi.... kita hadapinya dengan senyuman:::

serba salah pulak nak memperlakukan kehidupan seharian.... ada jee masa terpampang kekurangan dan kesilapan kita... tak de sapa2 pun mau benda tu terjadi, tetapi bila sudah dibongkari orang dan disedari oleh sendiri. Terima je lahh... asyik2 kehinaan tempias kat kita je.. bertempek kat muka kita hari2... bagaikan hujan ludah membasahi kita setiap masa. Oh sudah! buat je lah apa yang patut... kang cuba yang terbaik dikata lagak perfect plak.. kalau buat cara biasa2 dikata tak ada kesedaran untuk berubah.. kalau tak buat pape, dikata pemalas pula!.. itulah pandangan orang sentiasa... hhmmmmm 

Budak-budak sememangnya aktif dan semangat. Ceria dan ghairah sentiasa sahaja mewarnai kehidupan mereka. Mereka lebih menyukai sesuatu yang baru, sebab itulah mereka banyak bertanya dan bersuka gembira apabila mendapat apa yang baru baginya. Jika mereka tidak memperolehnya, bersungguh-sungguh ia mencarinya walaupun terpaksa melepaskan egonya dengan tangisan yang menderaukan keheningan. Dan mereka jua suka mendapat perhatian orang dan berharap sentiasa orang memahami perasaannya supaya apa yang ia kongsikan dapat dinikmati bersama.

Jadi, maafkan saya kerana bersikap kebudak-budakan. Ghairah tak tentu pasal sampai terlebih mentebarkan sesuatu yang tidak patut dibawa bersama dan menyebabkan kemarahan orang dewasa. Maafkan saya yaa.

"...ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami dan bantulah kami terhadap orang-orang kafir" (Surah Ali Imran ayat 147)

Jangan kamu bertanya jika kamu tidak mengharapkan jawapannya... dan jangan mengambil jawapannya jika itu bukan bahagian untukmu.

Jika waktunya belum tiba, maka menantilah dengan sabar sehingga sampai waktunya. Kita marah pada lampu isyarat yang berwarna merah untuk cepat2 berwarna hijau, tetapi ia langsung tidak mengendahkannya kerana ia sedang menjalankan tugasnya mengikut ketetapan yang ditentukan, walau hina dimarahi orang. Jangan gopoh, nanti pabila hijau nanti, maka pecutlah sesuka hatimu. Khuatir tertinggal sesuatu dan terlepas banyak perkara, tetapi pernahkah kita mempersoalkan bahawa apa kurniakan kepada kita selama ini tidak pernah cukup? walau untuk sesaat? - kata hatiku pada jiwaku.

:::Syukur untuk apa yang ada walaupun sedikit, daripada banyak sehingga lupa untuk berserah pada Tuhan. Kerana itulah kesabaran perlu teguh:::

Ada orang nak belajar sebab nak syok bercerita... maka sebab itulah lihat semula apa niatnya.... adakah sebenar-benar seperti yang dilafazkan dan dihebahkan itu?