Monday 5 September 2016

Jangan terperangkap dalam permainan bahasa kerana bahasa sekadar menyatakan kenyataan sesuatu yang nyata. Maka janganlah tertipu dengan kenyataan. Kias, perumpamaan, ibarat dan puisi sekadar menyatakan jalan untuk difahaminya bukan dijadikan pegangan. Tidak ada susah pun untuk memahami apa jua corak bahasa yang mendatang. Bagi yang merasa dan sudah menyaksikan dalam pengalamannya tidak ada apa lagi yang dikhuatirkan. Tetapi yang dibimbangi orang yang tidak ada apa-apa bekalan, tentunya terperangkap dalam fikiran, khayalan dan persangkaan. Kalau tidak mengenal apa yang tersurat dan tersirat dari bahasa, mudah sahaja dimakan tipu dayanya.

Tidak sukar pun untuk memahami apa yang dikhabarkan, diberitahu, diungkapkan, diberitakan, disampaikan, diucapkan, dikatakan, dinyatakan dan diceritakan. Tetapi kerana kita yang terlalu bermain-main dalam bahasa, itulah penyebabnya sesatnya jalan yang ia sendiri tidak menyedari ia telah sesat! Dalam alam kerohanian yang tidak ada bahasa, suara, tulisan dan gambaran, tentunya orang yang sudah melaluinya akan mengerti. Belum lagi dikatakan ia telah memulakan perjalanan yang halus lagi seni jika dia terus berputar-putar dalam bahasa.

No comments:

Post a Comment