Sunday 7 May 2017

"Cinta itu buta", "Rindu adalah tegukan minuman dari cinta", "Penyerahan seorang hamba pada Allah umpama seorang anak menyerahkan dirinya pada ibunya", "Apabila kamu bertakbiratul ihram dalam solat, hendaklah kamu mengetahui bahawa Allah di hadapan, malaikat maut di belakang, kanan adalah syurga dan kiri adalah neraka".

Ibarat atau perumpamaan seperti ini mungkin susah untuk logik akal menerimanya dan kalau mahu menerimanya ia susah untuk mentafsirkannya. Kita boleh andaikan ia seperti manisnya gula. Kita tidak akan mengenal manisnya gula melainkan kita merasainya sendiri dengan lidah. Dan kalau datangnya ibarat atau perumpamaan yang menerangkan manisnya gula, itu cumalah hanya menggerakkan kefahaman terhadap manisnya gula dan ia belum tentu menjelaskan hakikatnya. "Man lam yaqzauq lam yadri" (Barangsiapa yang tidak merasa, tidaklah mengetahui). Rasakanlah sendiri barulah kita mengetahui apa yang disingkapkan melalui ibarat.

Sebab itulah jangan mengambil ibarat sesuka hati kalau tidak memahaminya dengan sebenar. Kerana kita jua akan berbuat kebohongan walaupun ibarat itu benar. Tidaklah menghairankan orang boleh tersesat dan salah faham kerana berpegang pada ibarat bulat-bulat dan melulu kerana dia hanya memahami ibarat semata-mata, bukan pada hakikinya atau hal keadaan yang sebenar.

Kadang-kala ibarat ini bukan menjelaskan apa yang dirasainya, tetapi menjelaskan apa yang disaksikannya walaupun penyaksian itu bukan dari apa yang ada dalam pancaindera. Umpamanya pengibaratan "Dunia seperti bangkai kambing yang busuk dan anjing-anjing liar merebut akannya" atau "Orang Islam sibuk membeli tiket kapal Barat yang sudah tenggelam di lautan". Pengibaratan ini mungkin datangnya dari penyaksian sama ada dari pengalamannya atau pandangan yang "kasyaf".

Ya, mungkin akal kita berkemampuan untuk menjelaskannya secara terperinci dan huraian yang panjang lebar dan lengkap tetapi belum tentu ia dapat "membentuk" apa hal keadaan yang sebenar atau hakikatnya.

Wallahu ta'ala a'lam.

https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/574380832612514

No comments:

Post a Comment