Sunday 7 May 2017

Kebenaran itu pahit. Kata orang "pahit itu ubat". Kalau sudah merasa pahit menerima kebenaran dan mengakui dirinya salah, mengapa pula hendak menafikannya? Kalau seorang doktor memberitahu seseorang patut dipotong kaki kerana kencing manis, patutkah ia sebagai pesakit hendak mendabik dada ia masih sihat? Kerana apa menjadi itu? Sebab ia selalu dibuai dengan kesenangan dan keseronokan. Kalau tahu diri itu berpenyakit mengapa perlu merasa aman darinya? Syukur negara Malaysia aman tiada peperangan tetapi penjenayah sana-sini berkeliaran?! Apatah lagi perjalanan rohani kita yang walaupun kita berjaya menghalang diri dari maksiat zahir tetapi batin iblis masih bertakhta! Maka patutkah kita merasakan aman dengannya?

Belajarlah menerima kepahitan. Kalau menuntut ilmu hendak melalui jalan yang mudah tanpa perlu berkorban sama ada jiwa, harta, masa dan tenaganya, maka khuatirlah diri kamu bakal menjadi Firaun diliputi dengan kesenangan yang akhirnya sombong dengan kebenaran dibawa oleh Nabi Musa. Janganlah menjadi orang yang suka mengajar tetapi tidak suka diajar. Orang-orang yang perasan bagus dan jumud pastinya tertutup hatinya untuk menerima kebenaran. Kalau kamu yakin kamu masih ada penyakit, maka jangan kamu menolak untuk menelan kepahitan ubat kebenaran, apatah lagi angkuh untuk menerimanya dan mendabik dada masih sihat.

"Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang yang diberikan Kitab itu tidak berselisih melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya, (perselisihan itu pula) semata-mata kerana HASAD DENGKI yang ada dalam kalangan mereka. Dan, sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya". Surah Ali Imran ayat 19.

No comments:

Post a Comment