Saturday 6 May 2017

Kadang jawapan tidak diberikan secara terus kerana mengenal adalah dengan kefahaman, bukan ikut-ikutan. Malah kadang apa yang diterangkan melalui dakwat dan pena di atas lembaran adalah semata-mata untuk menggerakkan kefahaman akal, bukan menjelaskan hakikatnya sebenar. Manisnya gula, tidak dapat diketahui melainkan merasainya sendiri. Walaupun ada berbagai-bagai ibarat dan perumpamaan untuk menceritakan manisnya gula, itu cumalah untuk memberi faham pada akal semata-mata, bukan pada hakikat yang sebenarnya. Sebab itu sesiapa yang memegang zahir ibarat itu, maka sesatlah ia dalam fikiran yang kononnya sudah mengenal lagi faham.

Mungkin kita mengalami kebingungan kerana jawapan yang diinginkan tiada mendapat, tetapi yakinlah bahawa Allah sekali-kali tidak akan mengabaikan hamba-Nya. Bersabarlah dan tetapkanlah pendirian di atas berserah diri. Jika kita mengeluarkan dirinya dari belenggu fikiran serta pergantungan pada ilmu dan amal, maka terpimpinlah orang itu pada kebenaran sehingga kekeliruan yang ia hadapi terlerai dengan indah. Alhamdulillah..!!

"Dan apabila mereka mendengar apa yang diturunkan kepada Rasul, engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui dari kebenaran, sambil mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami beriman, oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi". Surah al-Maidah ayat 83.

No comments:

Post a Comment