Friday 26 August 2016

Kata hatiku pada jiwaku - Biasalah kalau dah hilang kasih sayang, memang tidak habis-habis akan mempropagandakan kebencian. Caci maki jadi zikir harian dan hentaman jadi ibadah. Apa sahaja yang melebihinya, dengkinya akan membuak-buak. Sebarkan ketakutan dan kegerunan pada orang supaya mereka berlari pada mereka untuk meminta perlindungan. Rupanya hanyalah kepalsuan berita-berita yang diulang supaya dicuci akan minda orang bahawa kebenaran itu tidak akan berhenti berjalan. Usah lagi minta pertolongan darinya, kerana kesempatan yang ingin dibolot berselindung di balik ukiran wajah yang manis. Kalau sedar musuhnya siapa, tentu tidak ada permainan yang tipu daya dengan berhelah yang bermuslihat.

Masakan tidak jika mahu meletakkan jenama eksklusif pada dirinya. Jika ada pasaran yang mampu bersaing dengannya, pastinya monopoli ingin dicantas sehabis-habisnya demi kekayaan yang tamak. Kasihan orang-orang baru, yang mentah dan lemah dicincang selumat-lumatnya semata-mata diperhambakan untuk penyembelihan kenyang nafsu serakahnya - kata aku pada diriku.

Kemudian, Rasulullah diutuskan membawa rahmat sekalian alam yang menyempurnakan akhlak. Kesempurnaan yang tertutup dibalik keindahan kulit lapisan luar yang berkilauan. Siapa sangka apa yang dipersangka orang tidak sepertimana yang digambarkan dan digembar-gemburkan daripada indah khabar dari rupa? - kata nuraniku pada sanubariku.

Biarlah orang mahu kata apapun, jika kami salah, kami memohon ampun dan tunjuk ajar. Jika kebenaran ini berpaksi pada jalan kami, maka kami terima seadanya dengan kesyukuran. Maka berserah dan munajat sahaja yang kami mampu panjatkan - bisikku pada suaraku.

No comments:

Post a Comment