Thursday 25 August 2016

Renungan tajam matanya, aku terpaku dalam pandangannya. Tetapi wajah yang berseri bercahaya sinarnya. Bak rembulan memancarkan cahaya di malam bintang yang berkelip. Ku dapat sentuhan gelora hatinya dari jiwa yang bergetar. Ku tahu yang diam ia menyimpan rahsia yang tersembunyi. Lalu, ku harap perkataan daripadanya, namun ucapannya tiada terukir pun kata-kata. Suara yang tiada kedengaran, bahasa yang tiada difahami, huruf yang tiada bentuknya dan gambaran yang tiada ilustrasinya, bagaimana lagi ingin ku fahami tentang dirinya? Terpakai ia pakaian kebiasaan yang tiada luar biasanya, tetapi semat dirinya mewarnai sebuah sentoasa yang tiada rasa dan tiada puncak yang tiada hujungnya - kata aku pada diriku.

Kita tidak tahu siapa yang berhadapan. Kekasih Allah bersemi di mana jua ia bertebaran. Tanda-tanda itu kelihatan bagi yang menyaksikan dan memahami isyarat yang mendatang. Pada keramaian, ia berseorangan dan pada keseorangan, ia berselindung. Bukan melarikan diri ataupun menyembunyikan diri, tetapi kerana rahsia itu sememangnya tertutup rapi pada kesamaran bayangan - kata hatiku pada jiwaku.

Menjadi kekasih Allah itu cita-citanya kita, tetapi jika sudah nampak menara Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, jangan semberono merempuh liku-liku jalannya agar tidak berparking kereta di tepian tasiknya. Biarlah tarekat itu sebenar-benar jalannya supaya matlamat yang tertinggi itu tercapai jua ke hadratnya - kata nuraniku pada sanubariku.

Allah tiada pandang pada rupa kamu, tetapi pada hatimu. Namun manifestasi zahir itu terbitnya pada batin. Keterbatasan manusia pada penglihatannya semata-mata jisim yang nyata, sedangkan seni yang tiada lakaran sememangnya rumit untuk dinyatakan. Jika tampak rupanya, maka awasilah yang mendatang akan wajahnya kerana topengan dari tipu daya iblis sememangnya handal licik - bisikku pada sanubariku.

No comments:

Post a Comment